Assalamualaikum wbt…sambung cerita Kembara Muslim Vietnam.

Hari ke-4 di Nha Trang

Nha Trang atau disebut “nha chang” oleh orang sini amat terkenal kerana mempunyai pantai yang indah dan airnya yang jernih. Pasir putih bersih yang terdampar di sekeliling pantai Nha Trang membuatkan pemandangan sekitar pantai amat cantik sekali.

Aktiviti pagi dimulakan dengan bersarapan pagi di Restoran Muslim Karim sekali lagi. Hanya satu je Restoran Halal di sini, maka tiada pilihan bagi kami untuk menikmati makanan Halal di tempat lain. Mujur menu sajian boleh membuka selera kami.

Seusai sarapan pagi, kami bersiar-siar di pantai Nha Trang sambil mengambil gambar post yang menarik di sini. Ada satu tempat di suatu sudut pantai yang mempunyai batu-batuan yang cantik tetapi bila mendapat tahu dikenakan caj masuk di kawasan berkenaan untuk mengambil gambar maka kami batalkan niat kami untuk ke situ.

Vinpearl Theme Park

Agenda utama aktiviti di Nha Trang ialah lawatan di Taman Tema Vinpearl yang terletak di satu pulau persendirian. Vinpearl Theme Park ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Pelancung boleh menikmati segala macam aktiviti yang terdapat di Vinpearl sehingga puas.

Oleh kerana di Vinpearl tiada kemudahan surau untuk solat dan juga makanan Halal maka kami memutuskan untuk memasuki Vinpearl selepas makan tengahari dan Solat Jamak di Restoran Muslim Karim.

Maka untuk mengisi masa yang terluang kami dibawa melawat Pasar Tradisonal Nha Trang terlebih dahulu. Barangan yang dijual di Pasar ini agak mahal berbanding dengan Ho Chi Minh. Boleh jadi kerana kami ini warga asing maka peniaga sesuka hati menawarkan harga yang tinggi sehingga hilang mood kami untuk membeli belah.

Kami makan tengahari agak awal sedikit dan menunggu masuk waktu solat sebelum menuju ke Vinpearl.

Untuk ke Vinpearl Theme Park, pelancong harus menaiki Kereta Kabel merentas lautan sejauh 3,320 meter menjadikannya Kereta Kabel yang terpanjang di dunia. Perjalanan mengambil masa sekitar 20 minit. Dalam tempoh yang berkenaan, kami boleh menyaksikan keindahan pantai dan laut Nha Trang yang mempunyai beberapa pulau kecil di sekitarnya.

Kawasan Vinpearl teramat luas dan menyajikan terlalu banyak permainan dan pertunjukkan dari Taman Air, Taman Haiwan, Akuarium Under Water World, Taman Binatang dan Hotel.

Sebaik sampai di sini, kami melihat dahulu Jadual Aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung melalui booklet yang diberi. Kita kena pandai merancang lokasi yang perlu dilawati supaya tidak memenatkan kerana pasarana Vinpearl yang teramat luas. Boleh semput dibuatnya.

Pertunjukkan Ikan Lumba-lumba

Lokasi awal yang kami ziarahi ialah pertunjukkan Ikan Lumba-lumba yang amat menarik sekali. Pertunjukkan ini diselia oleh jurulatih profesional warga asing (orang putih tak ingat asal negara mana).

Pertunjukkan selama 30 minit ini amat menghiburkan dan pengunjung juga diberi peluang untuk bergambar dengan Ikan lumba-lumba berkenaan.

Vinpearl Water World

Antara tarikan utama Vinpearl ialah Akuarium Under Water World yang mempunyai lebih dari 300 specis ikan laut yang berwarna-warni. Memang mengujakan.

Tetapi pengunjung sebenarnya lebih tertarik untuk menyaksikan Pertunjukkan Ikan Duyung dalam akuarium. Semasa sampai di kawasan pertunjukkan, saya dapati terlalu ramai pengunjung yang sedia setia menunggu seperti tidak sabar menyaksikan Ikan Duyung.

Ikan duyung ini terdiri dari 2 orang wanita Vietnam yang dipakaikan kostum ikan duyung menyelam dalam akuarium kaca. Sempat juga saya rakam aksi ikan duyung yang saya kira secara purata mereka menyelam dalam tempoh 10 saat sahaja. Almaklum dalam air mana tahan menyelam lama-lama.

Pertunjukkan aksi burung-burung

Seusai pertunjukkan Ikan duyung kami bersegera ke kawasan Pertunjukkan burung-burung pula. Kawasan ini terletak di lokasi yang agak tinggi berhampiran dengan Giant wheel yang terbesar di dunia.

Amat menakjubkan melihat kepandaian burung-burung menerima arahan dari si juru latih. Memang awesome. Memang saya tak sangka burung-burung boleh beraksi dan ada yang mencuit hati.

Giant Wheels

Kami ambil peluang menaiki Giant Wheels ini seusai pertunjukkan burung-burung. Kami boleh saksikan pemandangan Vinpearl Theme Park dari atas dan kawasan sekitarnya. Terasa puas bila berada di puncak.

Sebenarnya ada pelbagai aktiviti pertunjukkan menarik sehingga ke malam. Aktiviti sebelah malam jangan lepaskan peluang menyaksikan Pertunjukan Water Music Show selama 30 minit. Rasa rugi jika terlepas show ni..memang nampak grand kerana pancutan air mengikut irama music yang dimainkan..

Keberangkatan Pulang dari Vinpearl

Lazimnya jika kita pergi dengan menaiki Kereta Kabel, balik pun begitu juga. Kecuali jika berlaku kes hujan lebat dan tiupan angin kencang sehingga berlaku “black out”, maka tetamu dibawa pulang dengan menaiki Speed boat yang besar.

Jumpa lagi…