Assalamualaikum wbt.

Ziarah Luar Madinah kelazimannya dilakukan pada sebelah pagi selepas jemaah selesai sarapan pagi. Semua jemaah dinasihatkan supaya kekal dalam keadaan berwudu’ kerana ada hadis yang menyebut ” sesiapa yang bersuci dari rumahnya di Madinah, kemudian pergi ke Masjid Quba berjalan kaki ataupun menaiki kenderaan dan mendirikan solat 2 rakaat di masjid tersebut, kemudian pulang ke Madinah, dia akan mendapat ganjaran pahala seperti mengerjakan satu Umrah. Dan lokasi pertama lawatan ialah di Masjid Quba.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAKelihatan ramai peniaga yang menjual barangan mereka di laluan menuju ke Masjid Quba

Masjid Quba terletak kira-kira 5km dari Masjid Nabawi. Ianya merupakan masjid yang pertama didirikan dalam Islam atas dasar Taqwa. Semasa ziarah di Masjid Quba ini, jemaah amat dituntut supaya patuh kepada arahan masa yang diberikan. Kegagalan seorang sahaja jemaah mematuhi arahan masa ini boleh menyebabkan semua jemaah satu bas akan lewat untuk program Ziarah yang seterusnya. Kebiasaannya jemaah lewat disebabkan leka membeli-belah barang-barang jualan yang banyak terdapat di kaki lima jalan.

SONY DSCCeramah ringkas mengenai Sirah Nabi disampaikan oleh Ustaz Shafiq sebelum memasuki Masjid Quba

Kebun Tamar

Lokasi yang seterusnya ialah lawatan ke Kebun Tamar yang banyak terdapat di kawasan Quba. Suka atau tidak, kebiasaannya Pemandu Bas akan tetap membawa jemaah ke kawasan Kebun Tamar yang menjadi pilihan mereka. Ini kerana pemandu bas ini mengharapkan ‘baxis’ atau imbuhan dari Tuan Punya Kedai di Kebun Tamar. Kerana itu harga kurma yang terdapat di Kebun Tamar jauh lebih mahal berbanding dengan kurma yang dijual di Pasar Kurma. Tetapi ada juga yang mendakwa kurma Ajwa yang dijual di kedai ini ditanam dalam Tanah Haram Madinah, kerana itu harganya lebih mahal. Cuma yang bestnya, jemaah boleh menikmati minuman teh yang dicampur dengan daun pudina atau teh gahwa secara percuma sambil santai di kebun tamar yang terdapat di situ.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAKedai yang terdapat di Kebun Tamar

Ziarah Perkuburan Syuhada Uhud

Biasanya masa yang diperuntukkan di Kebun Tamar sekitar 30 minit sahaja. Selepas itu jemaah akan dibawa ke Perkuburan Uhud di Bukit Uhud. Rasa pilu amat terasa sekali ketika berada di kawasan Jabal Uhud. Terkenang pengorbanan para Sahabat memperjuangkan Islam sehingga syahid dalam Peperangan Uhud. Dikisahkan jenazah Uhud pernah timbul ketika berlaku banjir besar di kawasan kaki Bukit Uhud, dan mayat syuhada Uhud masih kelihatan utuh dan darah masih basah mengalir seolah-olah ianya baru berlaku. Ketika itu orang awam dapat mengenal jenazah Saiyidina Hamzah berdasarkan keadaan jenazahnya. Dan kemudian jenazah syuhada Uhud dikebumikan di kawasan yang ada sekarang. Semoga Allah merahmati para syuhada Uhud.

Jabal Rumat atau Bukit Pemanah di Uhud

Para jemaah kebiasaannya diperuntukkan masa 30 minit sahaja di kawasan Uhud. Selepas jemaah diberi taklimat ringkas mengenai sejarah Peperangan Uhud, jemaah bebas untuk mengambil gambar kenang-kenangan dan juga membeli belah barangan jualan yang terdapat di Uhud.

Ziarah Kilang mencetak al-Quran

Kebiasaannya driver bas enggan membawa jemaah untuk menziarahi Kilang mencetak al-Quran kerana katanya tempat ini tiada dalam program lawatan. Jika ingin melawatnya penganjur terpaksa memberi baxis kepadanya. Mahu tidak mahu terpaksa juga baxis diberi kepada driver bas sebab selalunya lawatan ke sini memang disukai oleh jemaah.

Memasuki Kilang Mencetak al-Quran

Hanya jemaah lelaki sahaja yang dibenarkan memasuki Kilang mencetak al-Quran manakala jemaah wanita tidak dibenarkan masuk. Sebagai alternatif, jemaah wanita boleh memasuki Galeri Menjual al-Quran yang terdapat di luar kawasan kilang. Jemaah tiada halangan mengambil gambar semasa berada di dalam kawasan kilang ini. Lawatan di dalam kawasan kilang tidak mengambil masa yang lama kerana terlalu ramai jemaah yang ingin mengambil peluang menziarahi. Dan selalunya jemaah lelaki dihadiahkan senaskah al-Quran ketika keluar dari kawasan kilang.

Masjid Qiblatain

Lokasi lawatan seterusnya ialah di Masjid Qiblatain. Ianya dipanggil Masjid Qiblatain bermaksud masjid 2 kiblat. Kiblat sebelumnya ialah mengadap Baitul Maqdis dan Nabi s.a.w sentiasa berdoa agar qiblat ditukarkan arahnya ke tempat yang disukai iaitu Kaabah. Ini kerana Nabi s.a.w tidak tahan menerima ejekan kaum Yahudi yang menyatakan Nabi sudah mengikut agama nenek moyang mereka kerana berqiblatkan Baitul Maqdis. Ketika Nabi s.a.w sedang solat di sebuah masjid, 2 rakaat pertama menghadap Baitul Maqdis, turun ayat yang mengarahkan Nabi s.a.w mengalihkan qiblat yang diingini iaitu Baitullah. Maka Nabi s.a.w pada 2 rakaat terakhir mengalihkan qiblatnya ke arah Masjidil Haram Makkah.

Masjid Qiblatain

Jemaah hanya melalui kawasan ini dan bas tidak berhenti di sini. Sebelum ini saya pernah berpeluang solat di masjid ini, tetapi kelazimannya jika jemaah diberi peluang untuk solat di masjid ini, tempoh masa yang diambil terlalu lama. Ini kerana tempat wuduk jemaah agak jauh dengan dewan solat di tingkat atas, tambah lagi bagi jemaah wanita memang agak menyulitkan. Dan akhirnya jemaah tidak sempat untuk meneruskan program Ziarah kerana kesuntukan masa. Lagi pun tiada fadhilat khusus seperti di Masjid Quba’, sama sahaja seperti masjid-masjid lain.

Masjid Tujuh

Kawasan ini dikenali sebagai tapak berlakunya Peperangan Khandak (Parit) atau Ahzab. Dinamakan parit kerana Nabi s.a.w dan para sahabat telah menggali parit selepas menerima cadangan dari Salman al-Farisi bagi menghalang kemaraan musuh yang terdiri dari kaum Quraish Makkah dan juga kafir Yahudi Madinah. Kerana itu juga dipanggil “Ahzab” kerana musuh-musuh Islam telah bersekutu menentang kaum Muslimin Madinah. Tempat ini asalnya bukanlah masjid, tetapi sekarang ini pihak berwajib telah mendirikan Masjid Besar yang tersergam indah. Jemaah juga tidak berhenti di kawasan ini, hanya melaluinya sahaja.

Pasar Kurma

Lawatan diakhiri di Pasar Kurma. Tempat ini dianggap wajib untuk diziarahi. Jemaah pasti tidak berpuas hati sekiranya sampai di Madinah tidak membeli kurma di Pasar Kurma. Tak da maknanya, bak kata orang sekarang. Kerana itu saya selalu mengambil berat mengenai ketepatan masa dalam setiap program ziarah kerana bimbang tidak sempat ke Pasar Kurma.

Pernah juga berlaku kepada rombongan saya Mac lalu. Kerana bermula agak lewat dan berlaku jemaah sesat di Masjid Quba menyebabkan kesuntukan masa untuk ke sini. Akhirnya saya tawarkan kepada jemaah untuk ke Pasar Kurma keesokkan harinya dengan menaiki van persendirian. Yang penting jemaah seronok kerana berjaya juga sampai ke Pasar Kurma.

Kurma terbaik di dunia berasal dari tanah haram Madinah. Kurma Ajwa atau Kurma Nabi boleh dijual dari serendah SR60 sekg hingga SR120 sekg bergantung kepada grednya. Malah Nabi s.a.w dalam satu hadis menyatakan ” sesiapa makan 7 biji tamar Ajwa pada waktu pagi, nescaya racun dan sihir tidak akan memudharatkannya pada hari itu.” Selain kurma Ajwa, kurma Ambar juga popular di kalangan jemaah selain dari kurma-kurma yang lain.Jemaah boleh membeli seberapa banyak kurma yang ia mahu asalkan ingat had bagasi ketika pulang ke tanah air nanti.

Jumpa lagi dan Wassalam.