Assalamualaikum wbt. Bertemu kembali.

Syukur alhamdulillah, Pakej Umrah Idaman yang saya promosi dalam blog ini semakin mendapat sambutan. Setakat hari ini sudah ada 37 orang yang mendaftar dengan memberikan nama untuk menyertai Pakej Umrah Idaman kumpulan pertama pada 22hb Februari 2013. Saya boooking seat flight Saudi 50 pax untuk kumpulan pertama ini. Jika berlaku lebih dari 50 orang, maka saya harus wujudkan kumpulan 50 yang kedua pula. Mengenai Pakej Umrah Super Ekonomi pula, ada juga yang mendaftar tetapi Umrah Idaman lebih mendapat sambutan. Visa Umrah dimaklumkan akan keluar pada akhir bulan Januari 2013. Jadi kenapa saya tidak mulakan akhir Januari sahaja ?

Tahun ini sama seperti tahun lepas iaitu tiada visa ziarah dibuka untuk musim cuti sekolah Disember 2012. Walaupun ada pihak yang mendakwa visa ziarah dibuka tahun ini, saya ambil pendekatan tunggu dan lihat. Saya tak mahu hampakan harapan jemaah yang berkobar-kobar nak pergi dengan membuat pasport baru, mengambil suntikan untuk pergi umrah, ambil gambar dan sebagainya tiba-tiba hampa kerana visa ziarah tidak dibuka. Pastinya yang kecewa ialah jemaah. Malah yang lebih tragis apabila penganjur pula dimarahi kerana kegagalan membawa mereka ke tanah suci.

Untuk makluman, setiap tahun sering berlaku kekecohan masalah visa ketika ianya mula dibuka. Tambahan pula tahun ini ramai yang tidak dapat menunaikan haji disebabkan tiada kuota tambahan dari Kerajaan Arab Saudi. Maka ramai yang akan buat keputusan untuk menunaikan Umrah bagi mengubati kekecewaan mereka. Maka ketika visa Umrah mula dibuka sahaja akan ramailah jemaah yang tidak sabar untuk pergi menunaikan Umrah. Ibarat pintu stadium yang baru dibuka, pasti akan berpusu-pusu orang berebut untuk memasuki stadium.

Saban tahun ketika di awal musim iaitu semasa visa Umrah mula dibuka, berlaku lambakan jemaah yang ingin ke tanah suci. Kerana terlalu ramai yang nak pergi maka sering berlaku visa Umrah tidak sempat disiapkan. Jemaah sudah menunggu di airport KLIA tetapi pasport belum keluar lagi dari Kedutaan Arab Saudi. Kesian pada jemaah yang kandas di airport lagi. Jika rumah dekat tak pa, tapi jika jauh ?

Jika keadaan ini berlaku, yang rugi ialah penganjur. Rugi kerana terpaksa membeli tiket flight yang baru, tiket lama terpaksa tunggu beberapa bulan untuk mendapatkan bayaran balik. Lebih malang jika tiket flight tersebut “not refundable”. Biasanya berlaku kepada flight tambang murah. Jika jemaah yang datang jauh dari luar bandar seperti Pahang atau Kelantan misalnya, penganjur terpaksa menyewa hotel untuk penempatan jemaah sementara menunggu jemaah dapat terbang semula (samada tunggu visa Umrah siap atau dapat tiket flight untuk terbang ke Saudi).

Malah selalunya rombongan jemaah Umrah yang asal terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan. Ini kerana tiket flight yang “available” biasanya dapat dalam kuantiti yang sedikit dan jarang yang dapat semua. Contohnya, jemaah ada 40 orang dalam satu kumpulan, tiket flight A yang kosong ada 10 sahaja misalnya, maka 30 jemaah lagi harus menunggu untuk mendapat tiket flight yang “available”. Ini ditambah pula dengan masalah mahram kerana untuk terbang mahram mesti ikut bersama. Bimbang masalah timbul semasa “check In” imigresen di Jeddah.

Bagi Pakej Umrah Idaman lebih lagi risikonya. Tempahan hotel bertaraf 5 bintang di Makkah memerlukan penganjur membayar “full payment” baru boleh “check in” hotel. Apa akan berlaku jika jemaah check in lewat dari tarikh check in asal disebabkan oleh lambat dapat visa dari jadual asal. Pastinya tempahan awal dikira lupus dan wang tidak dikembalikan. Untuk membuat tempahan baru belum pasti diperolehi kerana hotel 5 bintang di Makkah sentiasa sahaja penuh. Pernah terjadi ada rombongan jemaah yang terpaksa berpatah balik ke Madinah kerana nak masuk hotel di Makkah semuanya over booked. Kesian pada jemaah yang sudah berniat Umrah dan berpakaian ihram.

Oleh yang demikian, saya rasa lebih selamat saya setting pakej Umrah selepas confirm visa Umrah sudah keluar. Kerana itu saya mulakan kumpulan pertama saya dalam bulan Februari dan tidak Januari 2013. Ini dilakukan bagi mengelakkan semua masalah di atas dari berlaku.

Jumpa lagi.