Assalamualaikum wbt.

Sambungan cerita perjalanan Umrah Idaman Jun 2012.

Sampai sahaja di Makkah ketika waktu sudah hampir Maghrib. Jemaah terus diberi kunci (kad bilik) di Hotel Safwah Royale Orchid. Hotel ini terletak paling hadapan dalam bangunan Safwah Tower. Jelas terpancar wajah kegembiraan para jemaah apabila mengetahui inilah hotel yang akan mereka diami selama di Makkah. Sebahagiannya terperanjat apabila mendapati pasarana hotel ini yang serba mewah dan paling hampir pula dengan Masjidi Haram. Tambah lagi kepada 10 orang Saudara Kita (Muallaf) yang pemergian mereka ke tanah suci ditaja oleh Kak Zaiton Hassan kerana tidak menyangka akan menginap di hotel mewah ini. Rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana berjaya mendapatkan hotel ini.

Ruang lobi di Hotel Safwah Royale Orchid

Jemaah sempat solat Maghrib di Masjidil Haram. Dan selepas itu mereka melakukan ibadah tawaf dan saie yang dipimpin oleh adik angkat saya Ustaz Uwies al-Qorni. Sebelum itu taklimat ringkas diberikan oleh Ustaz Uwies di lobi hotel sebelum mereka bergerak ke Masjid. Ada juga sebahagian jemaah yang melakukan tawaf dan saie secara sendiri kerana sudah berpengalaman melakukannya sebelum ini. Syukur alhamdulillah, jemaah selesai melaksanakan Umrah sekitar jam 10 malam. Dan selepas itu jemaah kembali pulang ke hotel untuk istirehat. Ini untungnya bergerak dari Madinah seawal jam 9.30 pagi kerana ibadah Umrah dapat diselesaikan dengan segera. Sebab kebiasaannya jika jemaah mula meninggalkan Madinah selepas Zuhur, ibadah Umrah mereka akan selesai ketika menjelang waktu Subuh. Maknanya jemaah tidak tidur semalaman.

Sarapan Pagi di Hotel

Keesokkan pagi selepas Subuh bermula jam 6 pagi, jemaah memulakan Sarapan Pagi yang pertama di Hotel Safwah Royale Orchid. Ketika itu hanya jemaah kami sahaja yang berasal dari Malaysia, selainnya ialah jemaah dari negara-negara Arab dan Indonesia. Malah jemaah dari Indonesia yang paling ramai menginap di hotel ini, cuma tempoh menginap mereka amat singkat berbanding kami yang tinggal 8 hari dan 7 malam.

Bilik Tidur di Hotel Safwah Royale Orchid

Makan tengahari dan makan malam, jemaah diberi kemudahan untuk menikmati menu makanan di Restoran d’saji Felda yang terletak di tingkat 2 bangunan hotel ini. Jemaah makan dan DZ Travel yang bayar. Santainya jemaah kerana saya beri kebebasan untuk jemaah memilih menu yang mereka gemari. Cuma saya berpesan supaya jangan membazir kerana kuantiti makanan yang diberi memang banyak ikut selera perut orang Arab walaupun menu makanan Malaysia. Selesai menjamu selera, jemaah boleh terus naik ke bilik masing-masing yang terletak antara tingkat 3 hingga 21. Bagi yang ingin “shopping” boleh terus turun ke tingkat 1 dan tingkat bawah. Banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan ada dalam bangunan Safwah Tower.

Lunch dan Dinner di Restoran d’saji Felda

Program Ziarah Manasek Haji iaitu program wajib berjalan mengikut perancangannya iaitu pada hari ke-3 jemaah berada di Makkah. Kali ini mutawwif ziarah ialah Ustaz Uwies al-Qorni. Hanya 33 dari 48 jemaah yang mengikut program ini kerana jemaah yang kerap hadir ke tanah suci ini sudah biasa dengan program berkenaan. Mereka lebih banyak menghabiskan masa mereka dengan ikhtikaf di Masjidil Haram dan melakukan tawaf sunat. Tambahan lagi, suhu di Makkah semakin lama semakin panas. Ketika mula sampai suhu sekitar 42 darjah celcius tetapi pada hari-hari terakhir di Makkah suhu sudah mencecah 50 darjah celcius. Suhu di Makkah memang panas tetapi saya buat-buat biasa sahaja tanpa komplen. Lama-lama dah jadi biasa.

Program ziarah tambahan iaitu menziarahi Ladang Unta dalam perjalanan ke Masjid Hudaibiyah dan selepas itu ke Muzium Haramain juga dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kali ini mutawwif ziarah dipimpin oleh saya sendiri. Dalam bas saya buat “joke” dengan mengatakan unta di sini sangat suka dengan lelaki berkepala botak. Tak percaya, siapa berani boleh cuba? Dan yang kelakarnya seorang jemaah Batharul Saman benar-benar kepala botaknya dijilat-jilat oleh seekor Unta semasa ziarah kami ke Ladang Unta. Bagi yang pertama kali datang ke tanah suci berpeluang menikmati kelazatan minum susu Unta terutama bagi 10 Saudara Kita yang ikut rombongan Umrah ini. Masing-masing memuji kelazatan susu unta segar yang enak lazat dan tidak berbau. Alhamdulillah selepas Masjid Hubaiyiyah, jemaah dapat memasuki Muzium Haramain pada jam 11 pagi bersama satu lagi bas yang membawa rombongan jemaah Indonesia. Sebenarnya banyak travel yang tidak berpeluang menziarahi Muzium Haramain ini kerana kesukaran memperolehi permit. Oleh yang demikian, dapat menziarahi Muzium ini sudah menjadi satu rahmat buat kami.

Saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana selama tempoh kami berada di 2 kota suci Madinah dan Makkah, segala-galanya dipermudahkan olehNya. Daripada hotel penginapan selesa yang begitu hampir dengan Masjid, perjalanan ziarah yang berjalan lancar tepat pada masa, menu makanan yang enak di Makkah dan Madinah, bas persiaran ekskusif berstandard VIP dan peristiwa bersejarah yang kami alami benar-benar membuatkan Pakej Umrah Idaman ini memuaskan hati jemaah. Tidak hairanlah ada jemaah yang email kepada saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas perjalanan Umrah yang benar-benar memuaskan hati mereka sekeluarga dan selepas ini katanya jika ada rakan taulan yang bertanyakan tentang Pakej Umrah, pasti ia akan cadangkan Pakej Umrah Idaman kami.

InsyaAllah selepas ini saya akan ceritakan Peristiwa Bersejarah yang saya maksudkan yang berlaku semasa kunjungan kami kali ini. Jumpa lagi. Wassalam.