Assalamualaikum wbt.

Menguruskan Pakej Umrah Idaman untuk bulan Disember sememangnya benar-benar menguji kekuatan mental dan emosi pengelola dan juga jemaah. Sungguhpun semua visa Umrah jemaah Ajwa diperolehi tepat masanya tetapi rupa-rupanya ujian yang dihadapi dalam bentuk yang lain pula.

Dari awal lagi sebelum permohonan visa Umrah dibuka, kami dimaklumkan bahawa Tempahan Tiket Saudi flight direct Madinah dibatalkan atas alasan yang tidak munasabah. Dan wang tempahan juga dikembalikan kepada Ajwa oleh pihak yang berkenaan. Ketika itu betapa hampanya perasaan saya dan satu tugas yang sukar pula untuk mencari flight gantian untuk jemaah yang ramai. Syukur alhamdulillah, akhirnya flight alternatif diperolehi iaitu flight Egypt transit Cairo yang berlepas pada 17hb Disember dan kembali semula ke tanah air pada 28hb Disember 2013.

Semua jemaah Ajwa terutama Ketua Keluarga dimaklumkan mengenai hal ini dan pilihan diberi samada menarik diri sekiranya tidak bersetuju dan semua wang pembayaran dikembalikan 100% tanpa potongan atau bersetuju dengan pilihan flight yang ada. Sekali lagi saya bersyukur kerana majoriti jemaah bersetuju untuk menyertai Ajwa walaupun dengan menaiki flight Egypt Air. Manakala hanya ada 2 pasangan jemaah yang menarik diri dan Ajwa tidak ada masalah mengembalikan wang mereka. Kami bersalaman tanda muhibah dan tidak ada pihak yang berkecil hati. Di lain masa ada rezeki mereka akan bersama Ajwa semula. Mafi musykilah..

Dalam tempoh 21 hari sebelum berlepas pihak Egypt Air memohon supaya pembayaran penuh dibuat. Jika tidak, tempahan tiket akan terbatal secara automatik. Gigil rasanya untuk membuat bayaran penuh ketika itu, sedangkan kabar mengenai Visa Umrah akan dibuka pada 4hb Disember belum lagi nampak kesahihannya. Ini kerana masa pembayaran penuh dibuat belum lagi sampai ke tarikh 4hb Disember. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa berdebarnya hati saya. Jika visa Umrah tidak keluar, maknanya saya akan merana nanti. Mana nak cari duit untuk ganti duit tiket jemaah.

Ada juga rakan travel seperjuangan yang cuba mengambil jalan selamat dengan menunggu Visa Umrah keluar baru nak cari tiket penerbangan.  Langkah ini memang selamat kerana tidak bermain dengan risiko kehilangan duit jika visa Umrah tidak keluar . Tetapi langkah ini juga mengundang masalah iaitu ketika Visa Umrah sudah diperolehi, baru nak cari tiket memang menyukarkan. Jika adapun harga tiket sudah menjadi terlalu mahal dan sukar memperolehi dalam jumlah yang banyak. Penganjur juga tidak mempunyai pilihan. Asal ada tiket mereka akan ambil walaupun terpaksa transit lebih dari 8 jam di negara ketiga. Yang penting dapat tiket.

Semasa saya di Makkah, seorang rakan Travel yang berjumpa saya mengatakan keluar berita dalam akhbar Malaysia, ramai jemaah terkandas di airport kerana tidak memperolehi tiket penerbangan. Tak tahu agensi mana yang terlibat. Malah salah seorang jemaah saya menyatakan rakan beliau sudah terbang ke Jakarta bersama rombongan yang lain tetapi terpaksa kembali semula ke Malaysia kerana gagal memperolehi tiket untuk ke Arab Saudi.

Perjalanan menaiki flight Egypt memang mengambil masa yang lama. Dari KLIA, flight ini singgah 2 jam dahulu ke Bangkok. Kemudian baru meneruskan penerbangan ke Cairo pula. Sampai Cairo, jemaah transit 2 jam pula sebelum menukar Pesawat menuju ke Jeddah. Tiba di Jeddah, selepas selesai pemeriksaan Imigresen jemaah menaiki bas pula menuju ke Madinah. Jika dikira tempoh perjalanan kesemuanya lebih dari 24 jam. Tetapi jemaah kekal sabar dengan perjalanan yang panjang ini. Semoga Allah memberkati dan melimpahkan ganjaran pahala yang sebanyak-banyaknya ke atas jemaah Ajwa yang redho dengan perjalanan yang panjang ini.

Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana langkah saya meng’upgrade” standard Hotel di Madinah dari hotel bertaraf ekonomi biasa kepada Hotel Al-Haram Madinah (Fullboard) benar-benar memberi keselesaan kepada jemaah. Jemaah tidak perlu berebut-rebut dan menunggu lama untuk menaiki lif. Begitu juga semasa di Dewan Makan, jemaah tiada masalah untuk mendapatkan meja dan kerusi semasa makan. Tidak seperti di hotel-hotel bersebelahan yang mempunyai masalah seperti yang dinyatakan. Jemaah benar=benar gembira semasa di Madinah.

UJIAN SEBENAR BERMULA

Rupa-rupanya cabaran terhebat berlaku di Makkah. Sesampai kami di Makkah, hotel Safwah yang telah kami tempah dan dibayar sepenuhnya telah dibatalkan tempahannya pada saat-saat akhir. Ketika kami dalam perjalanan ke Makkah, pihak yang menguruskan tempahan Hotel Safwah kami memaklumkan bahawa Hotel alternatif ialah Hotel Zamzam dan perkara ini saya maklumkan kepada jemaah semasa di dalam bas. Kira-kira 20km memasuki Makkah, saya dimaklumkan pula Hotel Zamzam telah “full” dan jemaah akan “check in” di Hotel Hilton pula. Sebaik sampai di Hotel Hilton (ketika semua jemaah sudah berihram Umrah), saya dimaklumkan Hotel Hilton juga telah penuh. Rasa nak pitam saya dibuatnya.

Akhirnya saya bersetuju untuk ditempatkan sementara ke Hotel Rawda Qaswah kerana yang penting jemaah dapat hotel penginapan untuk berehat sementara dan dapat menyelesaikan Umrah mereka. Akhirnya ketika semua jemaah sudah mendapat bilik dan makan malam di Restoran dsaji Felda, mereka semua menuju ke Masjidil Haram untuk meneruskan ibadah Umrah.

PUNCA MASALAH 

Tidak pernah berlaku sebelum ini tempahan Hotel Safwah saya dibatalkan. Dan tidak pernah berlaku juga sebelum ini semua Hotel bertaraf bintang yang berhampiran dengan Masjidil Haram ditutup sistem Tempahannya. Benar-benar memeranjatkan dan melampau. Kabar yang dimaklumkan kepada saya, masalah ini berlaku disebabkan oleh kedatangan berbondong-bondong Tetamu Diraja Arab Saudi sehinggakan semua bilik-bilik hotel bertaraf bintang diperuntukkan untuk mereka menyebabkan banyak tempahan hotel sebelum ini dibatalkan.

Rupa-rupanya saya tidak bersendirian menghadapi masalah ini. Banyak lagi rakan travel seperjuangan yang mengalami masalah yang sama iaitu tempahan mereka dibatalkan. Malah ada rakan travel yang sudah menempatkan jemaah mereka di hotel bertaraf bintang dipaksa untuk keluar (check out) bagi memberi laluan kepada mereka ini. Melampau betul. Sebaik mengetahui masalah ini, maka saya adakan satu sessi Taklimat pada Hari ke2 di Makkah untuk menjelaskan kedudukan perkara yang sebenarnya. Syukur alhamdulillah ramai jemaah yang dapat menerima permasalahan ini sebagai satu ujian dari Allah dan redho menghadapinya. Yang penting ‘sudah dapat sampai ke sini dan dapat beribadah di Masjidil Haram”. Semoga Allah melimpahkan ganjaran pahala yang berkekalan kepada jemaah yang kekal istiqomah untuk beribadah di Tanah Suci.

Saya percaya masalah penginapan di Hotel bertaraf bintang di Makkah bukanlah berkekalan. Masuk bulan Januari 2014 nanti keadaan pasti reda kerana tiada lagi musim cuti sekolah hujung tahun dan Tetamu Diraja juga sudah berangkat kembali ke negara masing-masing. Malah jemaah saya yang akan memasuki Hotel Safwah pada 2hb Januari 2014 sudah mendapat pengesahan tempahan bilik.

PROMOSI UMRAH FEBRUARI 2014

Pada kesempatan ini ingin saya promosikan Pakej Umrah Flight Saudi yang berlepas pada 8hb Februari 2014 hingga 19hb Februari 2014 sektor KUL/JED dan JED/KUL. Mengenai Harga Tawaran pula sama seperti harga terdahulu iaiu Pakej Idaman bermula dari RM7500 seorang dan Pakej Super Ekonomi bermula dari RM6300 seorang.

Jumpa lagi dan Wassalam.