Assalamualaikum wbt.

Sebelum ini saya agak keberatan untuk setting Pakej Umrah Visa Ziarah, walaupun ramai yang bertanya. Telah 3 tahun visa ziarah tidak dibuka pada hujung tahun. Walaupun ada kabar visa ziarah dibuka tahun ini tetapi saya tidak mahu terlalu optimistik. Saya tidak mahu menghampakan harapan jemaah yang begitu teruja ingin ke tanah suci. Bayangkan jika segala usaha telah dibuat seperti membuat pasport baru, melakukan suntikan dan beberapa prosedur yang lain tiba-tiba dikabarkan sekali lagi seperti tahun sebelumnya visa ziarah tidak dibuka. Hampanya rasa hati.

Syukur alhamdulillah saya baru terima berita dari Arab Saudi bahawa Visa Ziarah telah dibuka dengan beberapa tawaran yang menarik. Sebelum saya cerita lebih lanjut mengenai tawaran visa ziarah, kita kena faham dahulu apa itu Visa Ziarah. Visa Ziarah bukannya visa Umrah. Tetapi visa Ziarah digunakan bagi membolehkan sesiapa yang ingin menunaikan Umrah boleh melakukannya ketika visa Umrah belum lagi dibuka. Visa Ziarah dibuka lazimnya selepas musim Haji dan ketika itu visa Umrah belum lagi dibuka. Saya pernah menyambut jemaah Umrah yang menggunakan Visa Ziarah semasa saya bertugas pada musim Haji beberapa tahun yang lalu. Ketika itu masih ada lagi Jemaah Haji Malaysia yang belum balik dan berada di Madinah.

Visa Ziarah biasanya ditawarkan oleh pihak Muasasah dengan beberapa tawaran dan syarat-syarat yang tertentu. Harganya pula lebih mahal berbanding dengan visa Umrah. Terma dan syarat yang diberikan akan menyebabkan Penganjur Pakej hilang sedikit kuasa dalam pengurusan jemaah di tanah suci. Namun begitu sebagai Penganjur Pakej kita mesti menerima Terma dan Syarat yang diberikan jika mahu Visa Ziarah dari mereka.

Ziarah al-Ula atau Madain Saleh

Pihak Muasasah menawarkan setiap jemaah mesti melawat suatu tempat yang begitu bersejarah iaitu di Al-Ula atau biasa dipanggil Madain Saleh. Terletak kira-kira 400km dari Madinah. Jemaah akan menginap satu malam di hotel Madain Saleh dan melakukan lawatan seharian di kawasan ini sebelum kembali semula ke Madinah. Sampai di Madinah, jemaah akan melakukan aktiviti ibadah seperti biasa termasuk melakukan Ziarah Dalam dan Ziarah Luar Madinah.

Apa yang menarik di Madain Saleh ?

Daerah Madain Saleh ialah suatu tempat di mana umat Nabi Saleh pernah mendiaminya. Kepandaian umat Nabi Saleh ketika itu ialah kemahiran memahat batu yang terdapat di dalam bukit menjadi binaan seperti rumah, bilik mesyuarat dan juga kubur. Keunikan bukit yang dipahat seperti yang terdapat di Petra, Jordan.  Tetapi malangnya mereka kufur kepada Allah sehingga tergamak membunuh Unta Mukjizat Nabi Saleh. Akhirnya umat Nabi Saleh dibinasakan. Peninggalan tamadun mereka dapat kita saksikan dalam lawatan kita ke Madain Saleh. Kisah ini ada dicatat di dalam al-Quran.

Ziarah Kota Taif

Pihak Muasasah juga akan membawa jemaah menziarahi Kota Taif yang terletak 100km dari Makkah. Lawatan ke Taif bermula seawal pagi selepas jemaah bersarapan. Di Taif jemaah akan dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah di Kota Taif seperti tempat Nabi menyandarkan sikunya di sebuah masjid selepas penat dikejar oleh kanak-kanak dan penduduk Taif yang membaling batu kepada Nabi.

Marahnya Malaikat melihat kejadian itu sehingga Nabi s.a.w pernah ditanya oleh Malaikat untuk mengangkat sebuah bukit dan ditimpakan kepada penduduk Taif, tetapi Nabi menolak. Malah Nabi mendoakan kesejahteraan kepada penduduk Taif dan moga akan lahir dari penduduk Taif yang beriman kepada Allah. Kabarnya di Kota Taif paling ramai yang melahirkan ulamak. Allahu Akbar, berkat doa Nabi Kota Taif penuh dengan keberkatan. Sayunya rasa hati ketika membaca Sirah Nabi mengenai kejadian yang menimpa Nabi bersama anak angkatnya Zaid bin Harithah di Taif.

Ziarah Bandar Jeddah

Pihak Muasasah juga menawarkan penginapan satu malam di bandar Jeddah. Semasa di Jeddah jemaah akan dibawa melawat tempat-tempat menarik seperti melewati Persisiran Pantai Laut Merah, makam Hawa, Masjid Qisas dan juga Kompleks Membelibelah Corniche. Lawatan dan menginap di hotel Jeddah ini dilakukan pada hari terakhir jemaah berada di Arab Saudi sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Selain tawaran melawat di 3 tempat yang dinyatakan di atas, pihak Muasasah juga menetapkan kemudahan hotel pilihan mereka sendiri di Madinah termasuk sajian menu makanan sekali. Kelazimannya catering yang diambil dari Catering Patani dan jemaah tidak perlu bimbang mengenai menu dan citarasa. InsyaAllah menepati selera orang Malaysia.

Pihak Muasasah juga menyediakan kemudahan transport jemaah selama program Umrah di tanah suci. Bermula dari pergerakan dari Jeddah ke Madinah atau airport Madinah ke Hotel (bergantung kepada sektor flight yang diambil), ziarah sekitar Madinah, pergerakan dari Madinah ke Makkah, Ziarah Manasek Haji dan juga keberangkatan pulang jemaah ke airport Jeddah.

Peranan Penganjur Pakej

Ajwa Travel diberi kebebasan memilih hotel penginapan di Makkah dan juga sajian makanan untuk jemaah di Makkah. Maknanya dalam tempoh seminggu program di Makkah dikawal oleh Ajwa Travel dan bukannya Muasasah. Untuk itu saya berhasrat memilih Hotel Qasr Qamar sebagai hotel penginapan jemaah. Maklumat mengenainya ada saya post dalam entry terdahulu.

Program di Makkah seperti ziarah Manasek Haji dan Ziarah Tambahan dilaksanakan seperti biasanya. Bezanya semasa berada di Makkah, jemaah dibawa melawat di Taif tetapi tidak bermalam di sana. Begitu juga semasa keberangkatan pulang jemaah akan menginap 1 malam di bandar Jeddah.

Sekiranya berminat ?

Saya mohon supaya daftar segera dengan datang berjumpa saya atau email kepada saya nama-nama penuh jemaah beserta salinan Pasport Antarabangsa jemaah. Maklumat di dalam pasport jemaah akan dihantar kepada pihak Muasasah di Arab Saudi untuk tujuan Pemprosesan Visa Ziarah. Biasanya urusan ini akan mengambil masa seminggu. Dan jemaah akan terbang ke tanah suci 2 minggu selepas itu, insyaAllah. Oleh kerana masa yang singkat dari sekarang, maka saya nasihatkan supaya bersegera membuat tindakan.

Hubungi saya di no 019-350 5395 atau isteri saya Hjh Norhayati 019-341 8822 ataupun pejabat Ajwa Travel 03-3342 3395. Atau email kepada hjiqbal.safwan@gmail.com

Oleh kerana harga Visa Ziarah yang tinggi saya bercadang akan setting Pakej Umrah Ekonomi sahaja. Saya anggarkan kosnya sekitar RM6500 seorang. Tarikh keberangkatan samada akhir Disember atau awal Januari 2013 bergantung kepada kelulusan visa Ziarah.

Jumpa lagi.