Assalamualaikum wb.

Seharusnya saya tidak jemu-jemu mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana atas kasih sayangNya, saya sekali lagi dipilih untuk menjadi Tetamu Allah bersama isteri tersayang dan 35 jemaah yang lain pada 8 Februari hingga 19 Februari yang lalu. Pemergian kali ini benar-benar bermakna buat saya kerana kesemua perancangan yang dibuat dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Bermula dari urusan visa, mendapat flight Saudi, tempahan hotel di Madinah dan Makkah yang sukses dan jemaah yang baik-baik belaka benar-benar menggembirakan hati saya.

Majoriti jemaah kali ini ialah yang pertama kali menunaikan Umrah. Di antaranya ada yang berkerusi Roda bersama 14 orang ahli keluarga, seorang Nenek (berkerusi roda juga) bersama anak-anak dan cucunya, di samping pasangan suami isteri yang membawa anak dan sahabat saya satu universiti dan kelas dahulu Saudara Najmudin dan isteri.din tamarMenunaikan Umrah pada Musim Sejuk memang amat digemari oleh masyarakat Arab termasuklah juga kita. Hanya segelintir sahaja yang tidak suka Umrah Musim Sejuk lantaran tidak tahan dengan suhu sejuk dan yang ada masalah kesihatan. Justeru pemergian kali ini menyaksikan begitu ramainya jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia samada di Madinah dan juga di Makkah. Malah jemaah dari negara Cina juga kelihatan. Biasanya hanya musim Haji sahaja yang jumpa Jemaah dari negara China ini. Ini menyebabkan banyak hotel Madinah yang sudah “fully booked”. Syukur alhmdulillah kami menginap di Hotel Saha Safir yang dekat dengan Masjid. Mudah untuk jemaah wanita memasuki Raudhah kerana laluannya yang dekat.

madinahfeb14Senario di Madinah

Suhu di Madinah pada waktu Subuh boleh mencecah sehingga 12 darjah Celsius. Jika tak pakai Baju Tebal memang tak tahan. Sejuk giler. Di dalam Masjid Nabawi memang tak dipasang aircond. Malah bumbung atau Dorm Masjid yang selalu dibuka sebaik selesai waktu Solat juga tidak dibuka, lantaran suhu yang amat sejuk.

Semasa program Ziarah sekali lagi kami meyaksikan terlalu ramai jemaah di lokasi Ziarah seperti di Masjid Quba dan juga di Uhud. Malah kunjungan ke Kilang Mencetak al-Quran juga terpaksa kami mengalah walaupun dah sampai di situ. Demi melihat begitu ramai jemaah yang beratur panjang untuk memasukinya sehingga terkeluar dari kawasan Pagar hingga ke kawasan Mesin ATM al-Rajhi (sebelah Galeri Quran), maka kami mengambil keputusan untuk tidak jadi beratur sama. Saya fikir jika beratur juga pasti akan mengambil masa yang lama sehingga tak sempat nak pergi Pasar Kurma.

ziarah nabiKeadaan dalam Raudhah juga amat padat dengan jemaah. Bagi jemaah wanita mereka harus melepasi 3 check point sebelum sampai ke kawasan Raudhah. Bagi jemaah lelaki dinasihatkan jika nak duduk ikhtikaf lama dalam Raudhah boleh pergi seawal jam 3 pagi atau 2 jam sebelum masuk waktu Subuh. Malah pergi jam 3.30 pagi, kawasan dalam Masjid sudah penuh dengan jemaah.

makam nabiSaya selalu nasihatkan Jemaah supaya jangan kerap mandi. Saya sendiri hanya mandi sekali sahaja sehari iaitu sebelum Subuh. Dalam cuaca sejuk begini, kerap mandi boleh mengundang demam dan selsema. Malah kulit badan kita juga boleh merasa gatal-gatal kerana suhu sejuk kering ini boleh mengeringkan kulit. Sebaiknya sediakan losyen pelembap seperti “Vaseline” atau “Nivea” ikut mana yang sesuai dengan kulit.

Pergerakan Madinah ke Makkah

Kami mengambil pendekatan untuk keluar dari Madinah sebelum masuk waktu Zuhur. Sekitar jam 12 tengahari kami sudahpun bergerak meninggalkan Madinah dan Solat Jamak Zuhur dan Asar di Masjid Bir Ali (tempat Miqat). Pada congakkan saya, jika kami keluar selepas makan tengahari (selepas Zohor), keadaan di kawasan Masjid Bir Ali pastinya sesak dengan Bas-bas Persiaran yang membawa begitu ramai jemaah Umrah ke Makkah.

Jemaah makan tengahari di Restoran Tempatan tidak jauh hanya beberapa kilometer sahaja selepas meninggalkan Bir Ali. Makan tengahari ditanggung oleh Ajwa Travel dengan hidangan Nasi Arab bersama 1/2 ekor ayam Panggang yang dikongsi berdua. Almaklum menu satu dulang Nasi memang tak habis dimakan seorang.

Syukur alhamdulillah, jemaah selamat sampai menjelang waktu Maghrib dan berjaya menyempurnakan Umrahnya pada jam 10 malam dan ada yang jam 12 tengah malam. Tidaklah seperti selalu yang selesai menjelang solat Subuh.

Keadaan di Makkah.

Suhu di Makkah tidaklah sesejuk Madinah. Suhu di waktu Subuh paling rendah pun sekitar 17-18 darjah Celcius, manakala maksimum sehingga 28 darjah Celcius. Kira OK kerana badan boleh tahan dengan suhu sesejuk ini. Jika di Madinah mesti pakai Baju Tebal atau Blazer untuk ke Masjid. Jika di Makkah, pakai Jubah dah dikira memadai.

jewar dan safwahHotel Penginapan Jemaah Ajwa di Makkah. Di tengah foto ialah Hotel Broj Jewar, manakala di sudut kanan foto ialah Hotel Safwah Tower. Gambar diambil dari Pintu Masjidil Haram

Lokasi hotel yang dekat dengan Masjid benar-benar digunakan sebaiknya oleh jemaah. Saya dapati jemaah begitu seronok dan gembira untuk ke Masjid. Sungguhpun ada 2 atau 3 jemaah yang dilihat berkeadaan uzur dan berkerusi roda tetapi waris terdekat cukup rajin dan prihatin dengan membawanya ke Masjid untuk solat Fardhu berjemaah.  Malah jemaah juga kerap melakukan Tawaf Sunat dan mengerjakan Umrah semasa bermiqat di Jaaranah dan Hudaibiyah. Sememangnya ganjaran besar diperolehi untuk mereka yang suka membantu insan lain untuk turut dapat beribadah sama seperti mereka.

Terujanya jemaah untuk beribadah sehingga terlupa faktor cuaca di sini. Yang kasihannya ada jemaah yang demam lantaran melakukan Tawaf Sunat selepas waktu solat Zohor. Waktu Zohor di mana matahari berada di atas kepala dan suhu terik matahari mengatasi suhu sejuk sebelum ini. Tapi hanya yang begitu kuat dan tebal imannya berani mengharungi melakukan Tawaf di waktu matahari berada di atas kepala.

Sewaktu melakukan Tawaf Wida (ketika ingin pulang) pada waktu selepas Solat Zohor, keadaan terik sekali. Mujur bukan Musim Panas, kata saya dalam hati. Saya cukup kagum dengan semangat dan kuatnya iman jemaah yang sanggup mengharungi Panas Matahari untuk melakukan Tawaf Sunat di ketika itu. Tambah kagum apabila melihat 2 insan lelaki cacat yang tidak mempunyai kaki, mengengsot-engsot menggunakan kedua tapak tangan mereka melakukan Tawaf Sunat di waktu itu. SubhanaAllah…betapa tipisnya iman saya berbanding mereka. Kita ni bila nak beramal tunggu peluang masa dan keadaan yang selesa. Tidak seperti mereka. Allahuakbar..mengucap panjang saya.

masjidil haram terkiniMasjidil Haram yang terkini

Keadaan dalam Masjidil Haram

Boleh dikatakan lebih dari separuh kawasan Masjidil Haram yang tidak boleh digunakan lantaran kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran Masjidil Haram. Di kawasan bawah, hanya kawasan Dataran Kaabah sahaja yang boleh digunakan, selain dari kawasan yang meghala Pintu 1 Malik Abdul Aziz. Kawasan Babul Fatah dan Babul Umrah memang sudah tidak boleh dimasuki lagi.

haram rooftopDi Tingkat Atas pun sama. Tak sampai separuh kawasan Masjid yang boleh digunakan. Bahagian atas sudah putus dan tidak boleh dilalui lagi.

Memang diakui menunaikan ibadah Umrah dan yang lainnya di Musim Sejuk ini memberi keselesaan kepada jemaah berbanding pada musim Panas. Jemaah tidak merasa berpeluh langsung semasa di Makkah, tambah lagi di Madinah. Suhu yang sejuk dan tidak panas ini memudahkan jemaah untuk sering berulang alik ke Masjid.

mataffebBinaan lantai Mataf di bahagian bawah tetapi belum lagi dibuka untuk kegunaan jemaah, hanya di bahagian atas sahaja yang digunakan.

Kunjungan kali ini saya langsung tidak berpeluang untuk melakukan Tawaf di kawasan Mataf. Nak masuk ke Mataf, saya lihat jemaah yang membawa jemaah berkerusi Roda beratur amat panjang sekali dari Pintu Masjid. Saya yang jenis tidak suka menunggu lama ambil keputusan masuk sahaja ke dalam Masjid dan pilih lokasi di bahagian Roof Top Masjid. Memang berangin dan amat sejuk. Pernah sekali, apabila tak tahan dengan suhu ketika itu (waktu selepas Maghrib), saya  balik semula ke Hotel untuk pakai Blazer dan kembali ikhtikaf menunggu Isyak.. Almaklum jarak Hotel ke Masjid hanya 100 meter sahaja, tak da masalah.

Sebaik kembali ke Tanah Air, ramai jemaah yang demam termasuk kami suami isteri. Boleh jadi faktor cuaca sejuk di sana dan kemudiannya bertukar menjadi Panas sebaik sampai di Tanah Air menjadi faktor penyumbang demam ini berlaku, Apa pun sebagai hamba Allah, demam yang datang juga boleh menjadi pelebur dosa atau “Kaffarah” atas dosa-dosa kita yang telah lalu. Mungkin juga ada baiknya menunaikan Umrah pada musim Panas kerana sebenarnya badan kita sudah terbiasa dengan suhu Panas. Kerana itu jarang terdengar jemaah yang balik demam ketika menunaikan Umrah pada musim Panas berbanding musim Sejuk.

Jumpa lagi.