Assalamualaikum wbt dan selamat membaca..

Menjadi Tetamu Allah ialah pilihan dari Allah. Maka beruntunglah sesiapa yang dapat menunaikan Umrah kerana Allah yang menjemput kita datang sebagai TetamuNya. Bukan sebab kita daftar dengan Travel Agensi maka kita sudah menjadi Tetamu Allah.

Sebenarnya yang menggerakkan hati kita untuk menunaikan Umrah datangnya dari Allah jua. Berapa ramai manusia di luar sana yang banyak duit, kaya raya, sebut aje mana negara yang belum pernah ia pergi tetapi kerana Allah tidak menjemput dia sebagai TetamuNya maka sekali pun ia tidak pernah datang ke Tanah Suci.

Ramai juga yang datang ke Tanah Suci dalam keadaan ia bukanlah orang yang berada. Tahu2 ada Hamba Allah yang sudi menaja ia pergi Umrah. Boleh jadi kerana ketaqwaan ia kepada Allah, selalu solat berjemaah di masjid atau surau, tiba2 Allah gerakkan hati seorang yang berada untuk menaja jemaah berkenaan pergi Umrah.

Sesiapa yang pergi Umrah mesti tahu apa tujuan ia pergi Umrah?

Umrah bukannya melancung !

Menunaikan Umrah adalah satu ibadah dan bukannya pelancungan ibadah. Sungguhpun Pengurusan Umrah diuruskan oleh syarikat pelancungan tetapi kita jangan ingat ianya satu pelancungan. Mungkin ada di kalangan kita yang terfikir “ketika masa cuti sekolah ni dari aku pergi ke tempat lain ada baiknya aku pergi umrah, dapat pahala”.

Ada betulnya juga tetapi sebagai Tetamu Allah kita kena tahu bezakan antara pergi Umrah dengan pergi melancung supaya pemergian kita ke Tanah Suci menjadi betul2 bermakna. Jika objektif kita pergi melancung untuk melihat keindahan tempat orang dan mendapat layanan yang baik atau istimewa dari Penganjur Pakej, maka pabila pergi Umrah kita kena buang jauh2 tanggapan sedemikian.

Kerana apa? Sebab pergi Umrah bukannya untuk berseronok melancung bersama orang tersayang atau ahli keluarga tetapi objektifnya lebih fokus lagi. Ketika pergi melancung boleh jadi Penganjur Pakej akan memberikan layanan VIP kepada kita, tetapi bila pergi Umrah kita kena buang jauh2 elemen keduniaan kerana Umrah itu satu ibadah dan pastinya Allah akan mendatangkan ujian kepada hambaNya semasa di Tanah Suci. Berjaya atau tidak kita melepasi ujian tergantung kepada tahap keimanan kita kepada Allah !

Kenapa kita pergi Umrah ?

Kita pergi Umrah kerana ingin bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa kita yang lalu dan bukannya mahu berseronok seperti pergi melancung ke tempat lain. Lagak orang yang bersalah memohon ampun mestilah datang dengan penuh kerendahan diri. Tidak ada sifat-sifat yang dicela oleh Allah dan Rasul seperti sifat sombong, riak, ujub, bakhil, kedekut, pemarah dan segala sifat-sifat yang keji yang lain. Ketika ke Tanah Suci yang dibawa mestilah sifat-sifat terpuji seperti rajin beribadah, pemurah, suka membantu orang lain, sabar, syukur, redho dan berlapang dada dan lain-lain sifat yang disukai oleh Allah dan Rasul.

Belajar bersifat pemaaf ?

Sebagai hamba Allah kita kena belajar untuk selalu bersifat pemaaf atas kesalahan orang lain terhadap kita. Jika kita sebagai hamba Allah yang kerdil ini tidak mahu bersifat pemaaf, bagaimana mungkin dalam masa yang sama kita mahu orang lain supaya memaafkan kesalahan kita pula.

Dan pernahkah kita bayangkan andai Allah tidak mengampunkan semua dosa-dosa yang telah lalu? Pernahkah kita terfikir apalah nasib kita nanti di Akhirat kelak andai dosa-dosa kita tidak terampun ?

Jika kita pergi Umrah dalam hati langsung tiada niat untuk bertaubat kepada Allah, dibimbangi pemergian kita ke Tanah Suci tiada nilai di sisi Allah. Sia2 menghabiskan wang ringgit yang banyak tetapi ibadah yang dilakukan tidak berjaya meningkatkan keimanan kita kepada Allah. Boleh jadi juga peribadi individu yang berkenaan sama aje sebelum dan selepas balik Umrah.

Teringat pesan arwah ayah saya, antara tanda ibadah haji atau umrah kita diterima oleh Allah ialah peribadi kita menjadi semakin baik dari sebelumnya. Jika sebelum ini kita sering culas dalam solat, sekembali dari Umrah kita sentiasa solat 5 waktu dan tidak pernah culas lagi. Jika sebelum ni kita solat seorang diri, sekembali dari Umrah kita rajin untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Jika sebelum ni kita tidak pernah atau jarang membaca alquran, tetapi kini kita selalu membaca al-Quran. Maknanya kehidupan peribadi kita semakin bertambah baik berbanding sebelum kita pergi Umrah.

Marilah sama2 kita muhasabah diri, adakah kehidupan peribadi kita semakin bertambah baik sekembali dari menunaikan Umrah? Atau sama sahaja ? Atau menjadi lebih teruk lagi kerana merasakan akaun Akhirat kita sudah penuh dengan ganjaran pahala?

Cukup setakat ni dulu. Wassalam.