Assalamualaikum wbt.

Musim Umrah 2013 telahpun bermula. Gembira rasa hati dan rasa tidak sabar untuk memulakan Perjalanan Umrah bagi musim baru 2013 ini. Syukur alhamdulillah sambutan yang Ajwa Travel terima juga menggalakkan. Untuk bulan Februari 2013 Ajwa Travel sudah ada 3 trip yang akan berlepas ke tanah suci. Tak sangka untuk musim 2013 ini, visa Umrah begitu cepat dibuka. Kadangkala terkilan juga kerana tidak setting Pakej Umrah seawal bulan Januari lagi.  Nak mula setting bulan Januari, masa amat suntuk. Tambahan pula tiket sektor Kuala Lumpur ke Madinah telah habis ditempah awal oleh agensi yang berkenaan. Tetapi itulah yang dinamakan rezeki.

Mungkin ada hikmahnya juga saya mulakan Pakej Umrah bermula bulan Februari. Untuk makluman, mulai tahun 2013 ini Kedutaan Arab Saudi telahpun memberi arahan iaitu TIADA LAGI TUMPANG MAHRAM untuk jemaah wanita yang single. Dengan kata lain, jemaah wanita yang ingin menunaikan Umrah mestilah ditemani oleh mahramnya samada suaminya sendiri atau adik beradik lelaki yang berumur 18 tahun ke atas atau boleh juga bapa saudaranya. Cuma jemaah wanita yang berumur 46 tahun keatas sahaja yang ada kelonggaran dalam peraturan ini. Sebenarnya Peraturan Jemaah Wanita mesti ditemani oleh mahramnya sudah lama digazetkan, cuma pelaksanaannya mungkin agak longgar. Kerana itu ramai jemaah wanita yang tiada mahram tiada masalah untuk menunaikan Umrah sebelum ini.

Tiba-tiba saya dikabarkan dengan berita seperti ini. Pada awalnya memanglah rasa sedih kerana mengetahui ada beberapa jemaah wanita bujang yang tidak dapat menyertai rombongan Umrah yang Ajwa Travel anjurkan. Jika diikut kepada tafsiran akal saya yang cetek ini, memanglah zaman dahulu wajib ditemani mahram. Ini kerana amat merbahaya wanita muda memasuki Makkah menaiki unta seorang diri tanpa mahram. Tetapi zaman sekarang keadaan jauh berbeza. Kini jemaah ke tanah suci menaiki kapalterbang dan juga menaiki bas bersama rombongan yang ramai. Sudah tidak nampak bahayanya. Tetapi peraturan tetap peraturan. Manusia mencipta peraturan untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak dan bukan satu pihak sahaja. Tambah lagi jika peraturan Allah, kita wajib patuh dan taat tanpa banyak soal. Pastinya peraturan Allah adalah yang terbaik untuk hambaNya.

Ada beberapa wanita menelefon saya mahu menyertai Umrah bersama Ajwa Travel kerana agensi yang mereka daftar pada awalnya telah “reject” mereka kerana tiada mahram. Mereka menyangka mungkin melalui saya mereka boleh menunaikan Umrah. Saya bukanlah manusia hebat yang boleh buat “magic”. Saya jawab dengan baik, “di mana agensi pun yang kita daftar, jawapan tetap sama. “Tidak boleh” kerana Kedutaan Arab Saudi pasti tidak meluluskan permohonan Visa jemaah yang tiada mahram”. Ikutkan hati memang saya mahu menerimanya. Siapa yang tidak mahu rezeki “masyuk”. Tapi apakan daya, kita harus patuh dengan peraturan yang ditetapkan. Kasihan kepada mereka yang berkenaan. Pasti hampa dan sedih kerana tidak berpeluang menunaikan Umrah.

Mujur hanya ada beberapa jemaah wanita Ajwa Travel yang terbabit. Jalan penyelesaiannya ialah bawa bersama mahram samada anak lelaki atau adik beradik lelaki. Dalam hati saya untungnya lelaki berkenaan (abang kepada jemaah wanita) kerana pemergian ke tanah suci ditaja oleh adik perempuannya. Alangkah besar pahala adik perempuan kerana menaja kos Umrah Idaman seorang abang. Bukan setakat seorang abang malah bapa kepada pekerja wanitanya juga ditaja demi membolehkan pekerja wanitanya yang ditaja menunaikan Umrah. Syukur alhamdulillah kerana jemaah ini benar-benar percaya “rezeki itu di tangan Allah, pasti Allah akan memberi ganjaran terbaik di atas pengorbanan yang beliau lakukan.” Syabas kepada jemaah berkenaan.

Pasti ada banyak hikmah dari peraturan mahram ini. Sebelum ini pernah berlaku di tanah suci, seorang jemaah wanita tiba-tiba sakit dan dimasukkan ke Hospital Arab Saudi. Terpaksa lelaki yang ditumpang mahram menemaninya ke Hospital kerana statusnya sebagai mahram dalam visa Umrah yang dikeluarkan. Walhal lelaki ini langsung tidak mengenali jemaah wanita berkenaan. Hanya diperkenalkan di airport bahawasanya ada beberapa wanita yang menumpang mahramnya. Tambah tragis apabila jemaah wanita berkenaan meninggal dunia di Hospital Arab Saudi. Maka sekali lagi jemaah lelaki ini terbabit sama dalam urusan daftar mati pesakit dan pengkebumian. Kasihan kepada lelaki tua ini yang masanya banyak dihabiskan atas urusan yang bukan kena mengena dengan dirinya.

Hakikatnya yang terbaik ialah jika nak pergi umrah bawalah mahram bersama. Cuma bagi jemaah wanita yang langsung tiada sesiapa pun yang boleh dijadikan mahram memang menyulitkan. Sama-sama kita berdoa semoga peraturan ini diberi kelonggaran seperti sebelumnya. Tapi ikut kebiasaan ketika visa Umrah mula dibuka memang selalu berlaku masalah. Mungkin selepas keadaan reda ada sedikit ruang bagi jemaah wanita yang tiada mahram untuk menunaikan Umrah. Saya selalu menganggap “hanya al-Quran sahaja yang tidak boleh diubah, yang lain selagi peraturan dicipta oleh manusia pasti boleh diubah”.

Jumpa lagi dan Wassalam.