Assalamualaikum wbt.

Setiap kali musim Umrah bermula, pasti akan ada beberapa kesukaran dan cabaran yang ditempuhi. Setiap tahun keadaan dan masalah berbeza. Tahun ini yang paling getir sekali kerana tidak dibenarkan jemaah tumpang mahram. Kesannya ramai wanita muda yang tidak dapat menunaikan Umrah. Saya berdoa semoga larangan tumpang Mahram ini diberi sedikit kelonggaran. Ramai jemaah yang sudah berusia mengharapkan anak-anak mereka yang muda-muda ini menjaga dan menguruskan kebajikan mereka semasa di tanah suci. Tetapi kini mereka sudah tidak boleh berbuat demikian akibat larangan ini.

Kedengaran sekarang ini berlaku lambakan pasport yang tidak memperolehi Visa Umrah mereka. Maka kapalterbang berlepas tanpa membawa jemaah yang gagal memperoleh visa Umrah. Nak salahkan siapa. Pelbagai faktor menyebabkan visa Umrah tidak diperolehi. Boleh jadi dokumen sokongan yang diberi tidak lengkap. Boleh jadi juga maklumat peribadi dalam pasport tersalah ‘key-in’ semasa dihantar ke pihak Muasasah. Boleh jadi juga kerana terlalu ramai yang ingin pergi ke tanah suci menyebabkan staff Embassy tidak cukup masa untuk memprosesnya. Apabila keadaan ini berlaku yang rugi ialah Penganjur dan Jemaah itu sendiri.

Apabila jemaah gagal menunaikan Umrah, maka jemaah menuntut bayaran dikembalikan. Tetapi Penganjur pula merasakan mustahil untuk berbuat demikian. Ini kerana tiket flight sudah dibeli. Nasib tak baik tiket pula ‘not refundable”. Penganjur juga sudah membuat tempahan bilik hotel di Madinah dan Makkah. Dan tempahan bilik ini pula pasti sudah dibayar. Jemaah menuntut hak mereka. Maka Penganjur yang bertanggungjawab tetap akan membawa jemaah ini pergi walaupun terlewat dari jadual asal. Maknanya Penganjur terpaksa menanggung kerugian kerana harus membeli tiket flight yang baru dan juga membayar tempahan hotel yang baru. Kasihan..

Kenaikan Harga Sewa Hotel di Makkah

Seperti yang saya jangka, harga hotel di Makkah dan Madinah telah meningkat naik. Tetapi yang membuat saya pening kepala, kenaikan harga hotel di Makkah meningkat melebihi 50% dari harga asal. Bayangkan jika harga sewa bilik hotel sehari sekitar SR350 semalam kini boleh mencecah sehingga SR600 untuk satu malam. Maka pertimbangan perlu dibuat samada mengekalkan hotel pilihan atau meminta tambahan bayaran dari jemaah kerana kenaikan kos ini. Saya rasa yang banyak Penganjur lakukan ialah tidak meminta tambahan bayaran dari jemaah tetapi mencari hotel yang sama budget dengan “costing” awal. Meminta tambahan bayaran walaupun RM50 tetap mengundang ketidakpuas hatian dari jemaah.

haram21Hanya Hotel bertaraf bintang yang hampir dengan Masjidil Haram

Masalahnya permintaan ke atas sewa hotel melebihi dari penawaran bilik hotel di Makkah. Umum mengetahui hotel-hotel ekonomi di Makkah yang hampir dengan Masjidil Haram sudah tidak ada. Jika ada pun jarak terdekat ialah 200 meter ke atas. Dan kebanyakkan hotel-hotel berkenaan sudah “fully booked”. Maknanya hotel yang masih ‘available’ sudah semakin berkurang dan semakin jauh dari Masjidil Haram. Malah ada hotel yang sudah “fully booked” sehingga Ramadhan. Masalahnya sekarang ialah semakin sukar untuk mencari hotel bertaraf ekonomi yang tidak terlalu jauh dari Haram dan pada ‘budget’ yang disanggupi.

Tidak dinafikan masih banyak hotel-hotel yang berharga rendah tetapi pastinya jauh dari Masjidil Haram. Memang ada harga sewaan bilik sehari sekitar SR200 iaitu kos katil seorang SR50 sahaja. Tetapi mampukah kita berjalan kaki ulang alik dari hotel ke Masjidil Haram jika jaraknya 600-800 meter ke atas. Saya percaya ramai jemaah Malaysia yang tidak sanggup. Jika menginap di hotel berkenaan, biasanya waktu Solat Zohor mereka tidak ke Masjid kerana selepas Zohor ialah waktu makan tengahari. Mereka hanya akan ke Masjid untuk Solat Asar dan tidak balik ke hotel sehingga selesai Solat Isyak. Kebaikannya ialah mereka dapat tekun beramal dalam Masjidil Haram dalam tempoh waktu yang berkenaan. Jika lepas solat Asar terus balik ke hotel, tak lama lepas tu akan masuk waktu solat Maghrib pula. Penat jalan kaki belum hilang, sudah kena jalan kaki semula untuk ke Masjid.

Nasihat saya jika merasakan mampu dari segi kewangan, pilihlah hotel yang berhampiran dengan Masjid. Hotel yang dekat memudahkan untuk kita selalu ulang alik ke Masjid, Nak melakukan Solat Malam pun tidak jadi masalah. Seorang nenek tidak akan merasa takut untuk ke Masjid seorang diri pada waktu tengah malam untuk Qiamulail. Wang ringgit boleh dicari, tetapi kenikmatan dan keselesaan beribadah di tanah suci bukan boleh di nilai dengan wang. Lagipun tambahan kos berbanding Pakej Ekonomi hanyalah RM1000 lebih sedikit aje. Jika nak murah lagi, boleh ambil Pakej tanpa memasukkan kos makanan di Makkah. Boleh jimat lagi.

Jumpa lagi.