Assalamualaikum wb.makkah cityMenunaikan Umrah adalah satu perkara yang baik dilakukan oleh seorang individu Muslim apabila sudah ada kemampuan. Dan saya percaya ramai di kalangan kita yang sentiasa merindui untuk ke sana lagi apabila sudah ada kesempatan dan kemampuan dari segi kewangan. Tetapi semenjak musim 2013 lagi, kita dapati semakin sukar untuk kita ke sana dek kerana peraturan Visa yang semakin rumit dan ketat.

Baru-baru ini kabar yang mendukacitakan ialah apabila telah keluar Arahan dari Konsul yang menyatakan mana-mana jemaah yang sudah menunaikan Umrah hanya boleh menunaikan Umrah selepas melewati tempoh 6 bulan dari Umrah yang terdahulu. Saya benar-benar berharap dan  mendoakan agar perkara ini ditarik balik oleh Konsul. Ini kerana jika dilaksanakan, semakin sulit untuk Mutawif atau Ketua Agensi untuk ke sana semula bagi membawa jemaahnya pada masa akan datang.

Kepada jemaah mungkin hal ini tidak memberi impak yang besar. Tetapi kepada Tuan Punya Agensi yang selalu bertindak sebagai Ketua Rombongan atau Mutawif, arahan ini benar-benar menyulitkan dan mendukacitakan. Untuk mendapatkan Mutawif lain menggantikan tempatnya pastinya tidak menggembirakan Rombongan Jemaah yang ia biasa pimpin. Tambahan pula Mutawif lain yang dilantik juga pasti berfikir banyak kali sebelum membawa Rombongan Umrah kerana selepas itu, ianya juga sudah tidak boleh ke sana lagi.

Sedangkan ada Mutawif yang bebas atau “free lance” juga mempunyai jemaahnya sendiri. Mereka ini ada kalanya menyerapkan jemaah yang ia cari sendiri ke Agensi yang Berdaftar. Maka jika ia bersetuju untuk menjadi Mutawif jemputan dari agensi yang berdaftar bermakna jika ia mempunyai jemaahnya sendiri pada masa akan datang, sudah tidak berpeluang untuk mengetuai Jemaahnya sendiri.

Peraturan Visa Yang Semakin Sulit

Pada awal musim 2013, kita dimaklumkan oleh pihak Kedutaan bahawa “Tiada Lagi Tumpang Mahram”. Jemaah wanita yang berumur 45 tahun ke bawah yang sebelum ini boleh pergi menunaikan Umrah tetapi selepas Peraturan ini dikuatkuasakan sudah tidak boleh berbuat demikian. Kasihan kepada mereka yang berkenaan. Syarat mewajibkan Mahram ikut sekali bersama mereka, memang tidak boleh dipenuhi lantaran takdir yang dihadapi mereka.

Ada jemaah yang memang tidak mempunyai adik beradik lelaki. Ada yang mahramnya sudah meninggal dunia seperti bapa kandung, adik beradik lelaki atau suami. Begitu juga dengan Muallaf wanita bujang yang tidak mempunyai sesiapa yang Muslim sebagai ikatan Mahram. Kesemua golongan yang dinyatakan di atas memang tidak berpeluang menunaikan Umrah selagi usia mereka belum mencecah 45 tahun.

Sedangkan golongan seperti di ataslah yang sebenarnya semakin ramai berhasrat menunaikan Umrah. Golongan sebegini yang sudah tidak mempunyai sesiapa yang boleh disandarkan menjadi mahram sebenarnya yang selalu menghadapi masalah dunia dan cenderung mengadu kepada Allah sebagai tempat bergantung dan memohon pertolongan. Tiba-tiba Peraturan yang dikuatkuasakan benar-benar menjadi batu penghalang untuk mereka sampai ke Tanah Suci.

Peraturan Mahram Yang Semakin Sukar

Sebelum ini isteri yang ingin bersama suami menunaikan Umrah hanya perlu menyertakan Salinan Sijil Nikah sebagai bukti ikatan Mahram. Tetapi kini Salinan Sijil Nikah mereka perlu disahkan  atau “Certified True Copy” di mana-mana Pejabat Agama yang berhampiran. Dan yang peliknya, Salinan Sijil Nikah yang sudah disahkan di Pejabat Agama perlu disahkan sekali lagi oleh Wisma Putra. Dan sudah menjadi satu kerja pula pihak Wisma Putra yang kini menghadapi dokumen yang semakin bertimbun hari ke hari.

Untuk anak-anak pula, jika dulu memadai menyertakan Salinan Sijil Lahir mereka. Tetapi kini salinan sijil ini juga perlu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan kemudiannya disahkan pula oleh Wisma Putra. Jika dulu ibubapa yang membawa anak-anak tidak perlu endorse Sijil Nikah mereka ke Pejabat Agama, tetapi kini perlu berbuat demikian.

Untuk adik beradik juga tidak terkecuali. Jika dahulu memadai disertakan Salinan Sijil Lahir masing-masing sebagai bukti kaitan Mahram tetapi kini ditambah lagi dengan syarat-syarat yang menyulitkan. Jika yang nak pergi seorang Isteri (suami tidak ikut serta) yang bermahramkan adik beradik kandung maka perlu disertakan sekali dengan “Surat Izin Suami”. Jika suami sudah meninggal dunia maka perlu disertakan Sijil Mati Suami. (Sebelum ini, memang berlaku Kes Seorang Isteri yang menghadapi masalah rumahtangga pergi menunaikan Umrah bersama adik beradiknya tanpa mendapat keizinan suami)

Jika tiada suami, maka Surat Izin Bapa diperlukan. Jika bapa sudah tidak ada, maka Surat Izin dari Datuk atau Bapa Saudara Pemohon perlu disertakan. Waduh…

Jika cucu ingin menunaikan Umrah (ibu bapa kanak-kanak tidak menyertai) pun sudah semakin sukar sekarang. Datuk yang ingin menemani cucu perlu juga ditemani oleh Nenek. Jika tiada Nenek maka Visa Umrah sukar untuk diperolehi.

Bagi kes Pembantu Rumah, jika ingin dibawa bersama menunaikan Umrah syarat utama Majikan mesti pergi sekali. Jika Majikan tanpa ditemani Isteri Majikan memang tak boleh. Alasannya dibimbangi nanti Majikan berkahwin dengan Pembantu Rumah semasa di sana. Mungkin masuk akal juga. Tetapi jika isteri Majikan pergi manakala  si suami (Majikan) tidak pergi juga tak boleh. Dan sebelum itu pastikan Pasport Pembantu Rumah (biasanya Indonesia) dibawa ke Kedutaan mereka untuk ditambah “binti” atau Nama Ayah kepada Pembantu Rumah. Pasport Pembantu Rumah Indonesia memang hanya meletakkan Nama Pemegang Pasport sahaja tanpa ada nama ayah.

Saya percaya setiap Peraturan yang diwujudkan bertujuan untuk memberi kebaikan kepada semua Pihak. Tetapi dalam Kes Menunaikan Umrah ini, pada hemat saya Peraturan yang ada perlu dinilai semula. Memang benar dalam Islam, seorang Wanita bermusafir perlu ditemani Mahram. Ia bertujuan demi keselamatan dan kehormatan wanita itu sendiri. Mungkin ada sedikit ruang bagi membolehkan golongan berkenaan menunaikan Umrah dan dalam masa yang sama keselamatan dan kehormatan wanita tetap terpelihara.

Ukuran umur 45 tahun bagi wanita juga mungkin boleh dipersoalkan. Seperti hanya wanita berumur 45 tahun ke bawah sahaja yang mungkin boleh mengancam atau menggoncang iman lelaki. Sedangkan ada juga wanita yang 45 tahun ke atas yang masih anggun dan mengancam.

Saya percaya dalam dunia ini, yang tidak boleh diubah hanya Al-Quran semata-mata. Sedangkan mana-mana Undang-undang dan Peraturan yang digazet oleh manusia, semuanya boleh dipinda mengikut kesesuaian dan Maslahat Umum. Saya berdoa semoga Pihak Konsul Kedutaan Arab Saudi dan Kerajaan Arab Saudi, terbuka hatinya untuk menilai semula Peraturan yang mahu atau sudah dikuatkuasakan. Sesungguhnya membantu Hamba Allah yang ingin membuat kebajikan di Jalan Allah adalah satu tugas yang mulia lagi terpuji.

Sekian dan Wassalam.