Assalamualaikum wb. dan Selamat Hari Raya.

Menunaikan Umrah sebenarnya tidak lah sesusah mana. Ini kerana di dalam ibadah Umrah tidak ada satu bacaan wajib atau yang perlu kita hafal. Tidak seperti Solat yang kesemua bacaan dalam bahasa Arab, ibadah Umrah pula nak guna bahasa apa pun boleh. Nak cakap Melayu ke, Jawa ke, Banjar ke atau sebarang bahasa pun boleh.

mataf7

Tetapi sungguhpun dianggap mudah, kita jangan pula ambil mudah sehinggakan tak mahu hadir Kursus Umrah. Dibimbangi nanti berlaku kesilapan semasa melaksanakannya kerana tiadanya ilmu. Sebenarnya masih ada lagi yang menunaikan Umrah secara ikut-ikutan dengan jemaah lain ataupun ikut Mutawif, tetapi hukum hakam yang berkaitan kurang arif atau tidak tahu. Sayangnya! Sebaiknya ibadah yang kita lakukan dengan ilmu, baru lebih bermakna. Jadi kali ini saya rasa ada baiknya kita ulangkaji semula hal-hal yang berkaitan dengan Ibadah Umrah.

Terlebih dahulu saya mohon maaf jika berlaku kekhilafan, almaklum saya ni bukannya Pakar dalam Hukum Hakam Umrah. Jika ada yang silap mohon yang arif berikan teguran dalam komen pembaca di bahagian bawah blog ini. Niat saya semoga pembaca mendapat manfaat dari entry saya dan bukannya niat nak menunjuk pandai atau perasan “bagus”.

Umrah dari segi pengertian

Bila ditanya apa makna Umrah, saya percaya ramai yang susah nak susun ayat untuk bagi faham apa makna Umrah tu. Umrah dalam makna yang mudah ialah “kita menziarahi ke Baitullah dengan berpakaian ihram Umrah, untuk melakukan tawaf dan saie serta rukun-rukunnya dan wajib-wajibnya.

Umrah dianggap “Haji Kecil” kerana ia tidak memerlukan Wukuf di Arafah, melontar 3 Jamrah di MIna serta bermalam di sana sebagaimana yang dilakukan bagi orang yang mengerjakan Haji. Manakala Haji terikat dengan waktu, tetapi Umrah boleh dilakukan pada sebarang masa.

Hukum menunaikan Umrah sama seperti Haji iaitu Wajib untuk kali pertama dan sunat untuk kali kedua dan seterusnya. Oleh kerana kali pertama adalah wajib, maka sebaiknya lakukanlah dengan sempurna tanpa melakukan sebarang kesalahan sehingga terpaksa membayar Dam.

Ada yang ambil mudah dengan berkata, “ala silap sikit tak pa, boleh bayar dam aje, bukan mahal mana pun.”  Tetapi saya beranggapan membayar dam seperti kita menjahit atau menampal kain yang koyak. Kain yang elok dengan kain yang sudah ditampal atau dijahit koyaknya kan tak sama. Kita jika nak pakai kain pun nak yang elok tak mahu pakai kain yang sudah ditampal. Jadi nasihat saya bagi yang kali pertama menunaikannya, lakukanlah dengan sesempurna mungkin kerana hukum kali pertama ialah Wajib.

Kata Kunci Dalam Ibadah Umrah

Ada beberapa kata kunci atau Hukum yang perlu kita ketahui dan fahami betul-betul semasa melaksanakan Umrah. Kita kena tahu apa itu Rukun Umrah, Perkara Wajib Umrah, Pengertian Miqat dan Pantang Larang Dalam Ihram. Keempat perkara ini berjalan serentak semasa kita melakukan Umrah. Tidak memahami 4 perkara ini memungkinkan berlaku kesalahan semasa melaksanakan Umrah.

Apa itu Rukun Umrah ?

Rukun Umrah mesti dikerjakan. Meninggalkan salah satu dari Rukun Umrah menyebabkan Umrah kita jadi batal dan tidak sah. Sama juga seperti Rukun Solat. Meninggalkan salah satu dari Rukun Solat seperti membaca al-Fatihah misalnya menyebabkan Solat yang dilakukan jadi tidak sah.

Rukun Umrah ada 5 iaitu Niat Umrah, Tawaf di Baitullah, Bersaie antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali, Bergunting atau bercukur (Tahalul) dan tertib. Tertib bermaksud “ikut turutan” yang dahulu didahulukan. Sebagai contoh tidak boleh melakukan saie sebelum sempurnanya Tawaf.

Apa itu Wajib Umrah ?

Wajib dilakukan dan jika tidak dikerjakan salah satu darinya, maka Umrah masih sah tetapi wajib membayar Dam. Dan hukumnya berdosa jika ditinggalkan dengan sengaja. Wajib Umrah ada 2 iaitu Berniat Umrah di Miqat dan Meninggalkan Pantang Larang Dalam Ihram.

Pengertiaan Miqat ?

Miqat ialah “sempadan” atau tempat untuk kita berniat Umrah. Jika dari Madinah, tempat Miqat ialah di Bir Ali. Jika kita dari KLIA dan terus masuk ke Makkah, maka tempat Miqat ialah Qarnul Manazil (masih dalam kapal terbang). Jika berada di Tanah Haram Makkah, kita kena keluar ke sempadan Tanah Halal iaitu di Jaaranah atau Hudaibiyah atau yang terdekat di Tanaem untuk berniat Umrah. Tidak boleh berniat Umrah di bilik Hotel Makkah.

Permasalahan Niat Umrah.

Katakanlah kita dari Madinah menuju ke Makkah, tempat Miqat kita di Bir Ali. Takdirnya kita tertidur atau pengsan dalam bas dan kita tidak berniat di Bir Ali dan kita sedar selepas bas melewati Bir Ali atau dah nak menghampiri Makkah. Maka kita kena berniat Umrah kerana ianya Rukun Umrah. Tetapi oleh kerana kita berniat selepas melepasi Miqat, maka kita dikenakan membayar Dam, kerana telah meninggalkan salah satu Wajib Umrah iaitu Berniat Umrah di Miqat.

Dalam bab Niat Umrah ini ada juga yang masih ragu-ragu kerana Mutawif melafazkan Niat Umrah secara beramai-ramai dalam bas menggunakan bahasa Arab tetapi tidak dimaknakan dalam Bahasa Malaysia. Boleh ke ? Jawapannya boleh. Sebenarnya niat ini kerja hati manakala melafazkannya hanya sebagai menyakinkan lagi bahawasanya kita sudah berniat Umrah. Dan jika kita melafazkan Niat Umrah dalam bahasa apa pun O.K, tidak semestinya dalam bahasa Arab sahaja.

Ucapan Talbiyah

Sunat diucapkan sebaik sahaja kita telah berniat Umrah. Dan ucapan ini boleh diucapkan sepanjang perjalanan ke Makkah dan hanya berhenti ketika kita mahu melaksanakan Tawaf.  Ucapan Talbiyah ialah ” Labbaikallahu malabbaik sehingga selesai …” (boleh rujuk kepada Buku Panduan Umrah) yang ada di pasaran.

Pantang Larang Dalam Ihram

Ada 13 Pantang Larang dalam Ihram yang perlu kita tinggalkan sebaik sahaja kita sudah berniat Umrah. Dan 13 Pantang Larang ini hanya menjadi Halal semula selepas kita bertahalul atau selesai menyempurnakan Umrah. 13 Pantang Larang ini ialah :-

1. Memakai Pakaian Berjahit – bagi lelaki. Yang dimaksud berjahit ialah jahitan yang menyambungkan seperti baju atau seluar. Jika Kain Ihram yang ada jahitan di sebelah tepi, dibolehkan dan tidak jadi masalah.

2. Menutup Kepala atau sebahagian – bagi lelaki. Jika menutup kepala dengan kain ihram (mungkin kerana panas), jika terlupa dimaaf, tetapi jika disengajakan memang kena bayar Dam.

3. Menutup Muka dan Tapak Tangan – bagi wanita. Nak mudah faham ialah pakaian wanita seperti dalam Solat. Tidak boleh menutup muka seperti kebanyakkan wanita Arab yang hanya nampak mata sahaja.

4. Memakai Sarung Tangan – bagi lelaki dan wanita.

5. Memakai bauan wangi – bagi lelaki dan wanita. Jika memakai wangian sebelum berniat Umrah dibolehkan. Tetapi jika sudah memakai wangian, kemudian pakaian ihram ditanggalkan atas sebab tertentu, kita sudah tidak boleh memakai pakaian ihram itu semula kerana sudah ada wangian. Mesti digantikan dengan pakaian ihram yang baru yang tidak ada wangian.

6. Memakai minyak di kepala atau bulu-bulu di muka – bagi lelaki dan wanita.

7. Memotong kuku – bagi lelaki dan wanita.

8. Menggunting atau mencabut rambut atau bulu – bagi lelaki dan wanita.

9. Memburu binatang buruan yang halal dimakan – bagi lelaki dan wanita. Jika membunuh lalat atau nyamuk, ianya bukan binatang buruan. Tetapi belalang tidak boleh kerana ianya halal dimakan.

10. Memotong atau mencabut Pokok-pokok di Tanah Haram – bagi lelaki dan wanita.

11. Pendahuluan Jima’ seperti bercumbu-cumbuan sehingga menaikkan syahwat.

12. Melakukan Persetubuhan – jika dilakukan Haji atau Umrah boleh menjadi rosak dan batal.

13. Akad Nikah dan perkara yang berkaitan dengannya.

Larangan Ihram terbahagi kepada 2 kategoti iaitu :-

1. Larangan Yang Menyeronokkan.

Jika dilakukan kerana terlupa atau jahil, maka ianya dimaafkan dan tidak dikenakan Dam. Contohnya seperti memakai pakaian berjahit, menutup muka, memakai sarung tangan.

2. Larangan Yang Merosakkan.

Jika dilakukan samada secara sengaja atau terlupa, tetap dikenakan Dam. Tetapi jika tidak disengajakan, ianya tidak berdosa tetapi tetap dikenakan Dam. Contohnya memotong kuku atau menggunting rambut atau mencabut bulu pada anggota badan.

bersambung…..