Assalamualaikum wbt.

Tahun ini merupakan tahun dukacita bagi wanita bujang yang ingin ke tanah suci menunaikan Umrah. Memang sedih apabila pihak Kedutaan Arab Saudi mengetatkan peraturan visa bagi jemaah wanita yang selalu tumpang mahram untuk ke sana. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Teramat sedih apabila mengetahui peluang untuk ke tanah suci seperti tertutup terus lantaran tiada mahram yang boleh menemaninya. Yang bernasib baik ialah wanita yang berumur 45 tahun ke atas kerana diberi kelonggaran. Visa Umrah mereka dikategorikan visa “under women group”.

Sebenarnya larangan wanita bermusafir mesti ditemani oleh Mahram ini datangnya dari hadis Nabi Muhammad s.a.w. Larangan ini bertujuan untuk menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Peraturan atau larangan yang disebut oleh Nabi s.a.w pastinya datang dari Allah jua kerana Nabi s.a.w bertindak bukannya mengikut hawa nafsu tetapi ianya dipimpin oleh Allah. Oleh yang demikian, kita memang tidak wajar untuk menentangnya. Tetapi jika kita lihat kepada tujuan wanita itu bermusafir dan keadaan zaman sekarang yang jauh berubah, maka saya merasakan larangan ini perlu dinilai semula tanpa kita menentangnya.

Jika tujuan wanita itu bermusafir bukan kerana Allah atau kerana tujuan maksiat dan perkara yang lagha maka kita amat bersetuju agar wanita sebegini mesti ditemani mahram bagi mengelakkan perkara kemungkaran dari terjadi. Dan hakikatnya di zaman ini ramai wanita yang bermusafir tanpa ditemani oleh mahramnya. Mereka bebas ke mana sahaja di dunia ini (kecuali Arab Saudi) asalkan ada kemampuan kerana pemergian mereka tidak memerlukan visa yang mensyaratkan mesti ditemani mahram. Dan jika terjadi kemungkaran akibat dari pemergiannya itu boleh jadi atas pilihan wanita itu sendiri.

Di zaman sekarang kaum wanita yang hidupnya cenderung kearah keagamaan semakin bertambah ramai. Sepanjang pengalaman dalam Industri Haji dari tahun 2002 hingga 2010 bersama Zahafiz Travel, boleh dikatakan 2/3 jumlah jemaah Haji Zahafiz Travel terdiri dari kaum wanita. Ketika itu saya dapati ramai wanita yang bujang samada belum berkahwin atau ibu tunggal yang berpeluang menunaikan Haji. Memang tidak dinafikan ketika itu pengeluaran visa haji tidak terlalu ketat bagi golongan wanita bujang. Dan semasa “check in” imigresen di Arab Saudi pun mereka tidak bertanya kepada kaum wanita “Mana Mahram Kamu ? ”

Saya berpendapat wanita bermusafir atas tujuan mengharapkan keredhaan Allah seperti menunaikan Umrah perlu diberi peluang untuk ke tanah suci. Jika kita nilai dari sudut kehormatan wanita, saya rasa insyaaAllah kehormatan wanita itu tetap terpelihara jika dibenarkan mereka pergi ke tanah suci. Di zaman moden yang serba canggih ini, mereka pergi ke tanah suci menaiki kapalterbang dan dalam rombongan Umrah yang ramai. Keselamatan dan kehormatan mereka terjamin selamat. Jika wanita berumur 45 tahun ke atas diberi kelonggaran, apa bezanya dengan wanita di bawah umur 45 tahun, Tujuan mereka tetap sama iaitu ke tanah suci menunaikan Umrah.

Kasihan kepada seorang ibu tunggal atau seorang gadis yatim piatu atau wanita lewat 30an yang ditakdirkan bujang tidak lagi dapat ke tanah suci untuk menunaikan Umrah disebabkan peraturan ketat ini ? Ada yang pergi ke tanah suci kerana menemani ibunya yang sudah tua. Jika dahulu dibolehkan tetapi kini tidak lagi. Bagaimana seorang ibu tua mahu ke tanah suci sekiranya anak perempuan tidak dibenarkan menemani dan menjaganya semasa di sana ? Jika ada adik beradik lelaki tiada masalah. Jika tiada ?

Ada yang berseloroh suruh aje wanita muda ini berkahwin. Memang tidak dinafikan ramai di kalangan wanita sekarang tidak berkahwin. Soalnya bukan mereka tidak mahu. Tetapi jawapan yang selalu saya dengar ialah mereka takut tersalah pilih calon suami. Takut jika suami mereka tergolong dari mereka yang tidak menunaikan solat. Sudah pasti keputusan berkahwin tidak boleh diundur jika tersilap pilih. Akibatnya mereka kekal bujang. Yang penting mereka bebas beribadah kepada Allah dan menjaga kedua ibu bapa mereka. Tetapi sayang sekarang ini mereka sudah tidak boleh ke tanah suci lagi dek kongkongan visa yang mengkehendaki mahram.

Justeru saya merasakan mungkin Bumitra (Persatuan Agensi Pelancongan Bumiputera) boleh membuat satu Memorandum kepada Kedutaan Arab Saudi melalui Menteri yang berkenaan merayu supaya larangan wanita bermusafir ditemani mahram ini dinilai semula. Tujuannya bukan untuk menentang Peraturan ini tetapi bagi memastikan kaum wanita bujang yang mahu menjadi insan solehah ini mendapat peluang untuk ke tanah suci menunaikan Umrah. Malah fatwa Kebangsaan mengenai Hukum wanita bermusafir untuk menunaikan Ibadah Haji Sunat atau Umrah Sunat juga adalah Harus tertakhluk kepada beberapa syarat. Pembaca boleh rujuk kepada alamat web yang saya terima dari Saudari Aimi http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/wanita-musafir-tanpa-mahram-untuk-menunaikan-haji-sunat-atau-umrah-sunat

Wassalam.