Assalamualaikum wbt.

Bertemu kembali selepas lama menyepi. Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat berpuasa kepada pembaca yang budiman. Umrah di bulan Ramadhan merupakan saat yang digemari dan dinanti-nanti oleh pencinta ibadah. Ini kerana menunaikan umrah di bulan Ramadhan, ganjaran pahalanya seolah-olah mendapat pahala seperti menunaikan ibadah Haji. Tambahan lagi jika berada di tanah suci pada 10 yang akhir Ramadhan. Jemaah berpeluang untuk mendapat Malam Lailatur Qadar iaitu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Di Malaysia pun insyaAllah kita boleh memperolehinya jika ada rezeki, tetapi di Makkah ganjarannya pasti lebih lagi. Lebih-lebih lagi semasa di tanah suci pasti kita kekal fokus dalam beribadah dengan melakukan Solat Terawih dan Solat Malam pada malam-malam 10 yang akhir. Jadi keberangkalian untuk kita berjumpa dengan Lailatul Qadar lebih terbuka luas di sana.

Dalam bulan Ramadhan, senario di Makkah dan Madinah amat berbeza sekali berbanding bulan-bulan yang lain. Bilangan jemaah yang beribadah di Masjidil Haram dilihat begitu ramai dan sesak sekali, seolah-olah seperti musim haji. Malah ada yang mengatakan suasana Ramadhan lebih sesak lagi berbanding musim haji. Ini kerana pada musim haji, jemaah memenuhi Masjidil Haram ketika tiba waktu solat dan balik ke penginapan masing-masing selepas solat. Tetapi di bulan Ramadhan, jemaah yang “check in” dan “check out” Masjidil Haram silih berganti dan tak putus-putus. Ketika kita mula keluar dari Masjid selepas selesai solat, kita selalu berjumpa dengan sekumpulan atau rombongan jemaah yang baru sampai untuk menunaikan umrah pula. Dan suasana pada waktu malam cukup “happening” sekali. Jemaah beribadah bermula dari selepas berbuka iaitu selepas Maghrinb sehingga menjelang Subuh. Dengan erti kata yang mudah, ramai jemaah yang tidak tidur pada waktu malam kerana fokus dalam beribadah. Selepas subuh barulah mereka kembali ke penginapan masing-masing untuk tidur.

Sungguhpun suasana di Makkah dan Madinah dalam bulan Ramadhan kelihatannya begitu sesak dengan jemaah, tetapi bilangan jemaah Malaysia yang menunaikan Umrah sedikit berkurangan berbanding semasa visa Umrah baru dibuka. Ini kerana selain faktor harga pakej Umrah yang semakin mahal, cuaca panas yang melampau juga turut menyumbang sama. Suhu di Makkah sekarang ini dianggarkan mencecah lebih dari 50 darjah celcius. Hanya yang kental imannya yang sanggup datang ke tanah suci untuk menunaikan ibadah tanpa menghiraukan suhu panas yang melampau ini. Apa la sangat dihiraukan suhu yang panas jika dibandingkan dengan ganjaran pahala yang diperolehi dengan beribadah di tanah suci dalam bulan Ramadhan. Kerana itu ramai masyarakat Arab yang berlumba-lumba untuk datang ke tanah suci dalam bulan yang mulia ini.

Ramai orang-orang Arab yang kaya raya suka membuat kebajikan di tanah suci. Pernah di Madinah ketika saya mula memasuki Masjid, saya telah ditarik oleh seseorang dan dibawanya saya masuk ke dalam Masjid dan didudukkan di suatu tempat. Suspense juga pada mulanya. Rupa-rupanya mereka bertugas dengan Tok Shiekhnya untuk mencari jemaah untuk dibelanja “berbuka puasa” demi mengharapkan ganjaran pahala memberi makan orang yang berbuka puasa. Malah di sekitar luar Masjidil Haram juga, kita sering melihat pemandangan orang yang selalu menderma makanan untuk berbuka di luar kawasan masjid. Terjerit-jerit pemberi sumbangan dengan kalimah “Sabil, sabil, sabil” semasa menghulurkan makanan kepada jemaah-jemaah yang berpusu-pusu untuk mendapatkannya. Makanan cukup mewah hingga tak larat nak makan. Pernah suatu ketika semasa balik dari Masjid, dalam tangan saya penuh dengan sumbangan makanan yang diberikan orang kepada saya.

Suasana Ramadhan di tanah suci amat berbeza berbanding di tempat kita. Di sini pada awal Ramadhan, masjid dan surau penuh dengan jemaah. Dan semakin berkurangan hari demi hari dan menjelang pada 10 akhir Ramadhan, bilangan jemaah begitu merosot sekali. Tetapi di Masjidil Haram, jemaah semakin bertambah dari hari ke hari dan kemuncaknya pada malam 10 yang akhir suasana dalam masjid begitu sesak sekali dengan jemaah. Jika kita sudah berada di dalam masjid, andai kata ingin keluar amat sukar sekali. Jemaah memenuhi di setiap ruang masjid samada di tingkat bawah dan atas, malah melimpah sehingga di luar masjid dan juga di jalan-jalan raya. Alangkah indahnya jika suasana di Makkah dapat diterjemahkan di negara kita. Tetapi biasalah ketika saat menjelang Syawal, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya dari meningkatkan amalan kita, termasuklah saya. Justeru marilah kita tanamkan azam semoga Ramadhan kali ini tidak sama dengan tahun-tahun yang lalu. Kita tambah amal kita demi mengharapkan ganjaran pahala yang berlipatkali ganda yang ditawarkan oleh Allah kepada kita. Amin…