Assalamualaikum wbt.

Syukur ke hadrat Allah kerana kita masih lagi diberi kesempatan untuk mengharungi bulan Ramadhan yang mulia ini dengan penuh rasa tawaduk kepada Allah. Sebenarnya saya malas nak cerita mengenai Umrah Ramadhan. Tidak pernah berlaku masalah Visa yang seteruk kali ini. Kasihan kepada rakan seperjuangan yang mempunyai jemaah yang ramai tetapi tidak dapat merealisasikan impian jemaah untuk menunaikan Umrah kerana kouta Umrah tidak sampai-sampai.

Dalam pada itu ada juga pembaca yang bertanya mengenai Pakej Haji. Dan meminta pandangan saya Agensi Travel mana yang terbaik? Sebelum saya menjawab soalan ini, ada baiknya saya ceritakan sedikit latarbelakang Permasalahan Haji supaya pembaca mendapat kefahaman mengenainya.

gambar haji

Kouta Haji Malaysia ?

Setiap tahun, Kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji telah diberi peruntukan Kouta Haji sebanyak 28 ribu iaitu mengikut Ketetapan OIC yang menyatakan Kouta Haji mestilah 1% dari jumlah penduduk sesebuah negara. Oleh kerana negara jiran Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang paling ramai maka setiap tahun jumlah jemaah haji mereka melebihi 200 ribu. Tiba-tiba tahun ini Kerajaan Arab Saudi mengumumkan kouta yang sedia ada akan dikurangkan sebanyak 20% dari yang asal. Maknanya kouta Haji kita berkurangan sebanyak 5600. Banyak tu..

Pemilihan Jemaah Haji Malaysia ?

Setiap tahun pemilihan jemaah haji Malaysia dibuat mengikut giliran iaitu berdasarkan Ketetapan iaitu siapa yang mendaftar awal maka dialah yang akan dipilih pada tahun yang berkenaan. Dan biasa juga keutamaan diberi kepada bakal jemaah yang sudah berusia lanjut atau dilabel sebagai warga emas. Dan jika ada anak-anak warga emas ini mendaftar sekali atau kemudian tetapi merayu untuk menemani warga emas tadi, maka biasanya rayuan mereka ini diterima (tertakluk kepada kouta Haji yang masih ada).

Ramai beranggapan sekiranya mahu segera menunaikan Haji, maka sebaiknya mendaftarlah dengan Pakej Swasta atau biasanya dipanggil PJH iaitu Pengelola Jemaah Haji. Benarkah begitu ?

Untuk makluman PJH ialah agensi Travel yang diberi lesen oleh Tabung Haji untuk menguruskan jemaah Haji Pakej Swasta. Semasa zaman saya menjadi Petugas Haji beberapa tahun dahulu ada sebanyak 20 atau lebih syarikat Travel yang diberi lesen oleh Tabung Haji. Dan kabarnya jumlah PJH ini semakin berkurangan.

PJH juga tertakluk di bawah bidang kuasa Tabung Haji dan segala urusan mengenai Kouta Haji dan Jadual Penerbangan Haji adalah ditetapkan atau diputuskan oleh Tabung Haji. Jadi bagaimana boleh timbul persoalan siapa yang nak pergi haji dengan segera elok ikut Pakej Swasta ?

Kouta Tambahan

Sebenarnya sebelum tahun 2010, boleh dikatakan setiap tahun Kerajaan Malaysia mendapat Kouta Haji Tambahan dari Kerajaan Arab Saudi, biasanya 10 ribu hingga 12 ribu. ( maaf jika saya silap). Cuma kouta tambahan ini tidak pernah didedahkan ataupun diwar-warkan oleh Tabung Haji. Kouta Tambahan yang diperolehi ini biasanya akan sampai sekitar bulan Ramadhan, dan pernah juga ia turun dalam bulan Syawal. Dan yang tragisnya pernah juga sampai dalam bulan Zulkaedah ketika jemaah haji sudah mula memasuki Madinah.

Kouta Tambahan ini lah yang banyak menyelamatkan PJH dari kekurangan jemaah. Sebelum ada kouta tambahan, jemaah haji yang Terpilih yang mengikut PJH tidak sampai 5% dari jumlah kouta Haji keseluruhan. Dan apabila kouta tambahan ini diperolehi, maka ianya akan diagihkan kepada Tabung Haji dan juga PJH. Boleh jadi Tabung Haji ambil 3000 dan selebihnya diberikan kepada PJH yang ada.

Pengagihan kouta kepada PJH berdasarkan kepada 3 tahun purata jemaah Haji PJH dan bukannya dikongsi sama banyak sesama PJH yang ada. Sebagai contoh, jika PJH Zahafiz jemaah haji 3 tahun kebelakangan secara purata ialah 800, maka Tabung Haji akan memberikan kouta tambahan 800 orang jemaah kepada PJH Zahafiz. Ketika itu mana-mana nama (800 nama jemaah) yang dihantar oleh PJH Zahafiz kepada Tabung Haji boleh menjadi Terpilih sebagai jemaah Haji pada tahun yang berkenaan, setelah melalui Proses Rayuan dan kemudiannya diupgred kepada Standby dan seterusnya Terpilih. Mungkin atas sebab yang demikian, maka timbul cakap-cakap di kalangan jemaah Haji terdahulu yang menyatakan “siapa yang nak pergi haji cepat, elok daftar dengan PJH berkenaan.” Walhal PJH tidak pun menyatakan sedemikian.

Tetapi senario ini tidak berlaku di tahun lepas dan juga tahun ini. Oleh kerana tiada kouta tambahan, malah kouta yang ada sudah dikurangkan maka apa pilihan yang ada ? Sedangkan yang baru mendaftar haji pun jika ikut giliran dijadualkan pergi haji 20 tahun dari sekarang ? Hidup lagi ke kita ni masa tu ? Kudrat pula bagaimana ?

PJH mana yang terbaik ?

Soalan yang sukar untuk saya jawab. Ketika bersama Zahafiz dahulu sudah pasti saya katakan ia yang terbaik. Sebelum ini ada 4 PJH yang dianggap mempunyai jemaah haji yang ramai iaitu Rayhar, Zahafiz, Andalusia dan Gemilang. Mempunyai jemaah yang ramai tidak semestinya yang terbaik. Tetapi jemaah yang ramai biasanya datang dari “recomendation” jemaah yang terdahulu yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Atau boleh jadi jemaah ramai kerana Pakej yang ditawarkan lebih murah berbanding yang lain.

Jangan tanya saya PJH mana yang saya rekomen. Saya takut saya memberi nasihat yang salah nanti. Setiap tahun pengalaman menguruskan jemaah haji adalah berbeza. Walaupun semua aturan pergerakan jemaah haji dari 8 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah sudah diketahui tetapi apa yang terjadi dalam tempoh yang berkenaan tiada siapa yang boleh ramal. Macam-macam masalah boleh timbul di sepanjang tempoh yang berkenaan. Kami pernah kandas di Arafah. Kami juga pernah kandas semasa berada di Muzdalifah. Kami juga pernah mengalami banjir semasa di Mina. Semua yang berlaku di luar dari pengetahuan kami. Yang penting dapat membantu jemaah Haji merealisasikan ibadah Haji mereka.

Pergi Haji Tanpa Melalui Tabung Haji ?

Ada juga pihak yang menawarkan Pakej Haji tanpa melalui Tabung Haji. Boleh dikatakan setiap tahun saya berjumpa dengan Kumpulan Kecil Jemaah Haji Malaysia yang menunaikan Haji tanpa melalui Tabung Haji. Mereka ini dipanggil Jemaah Haji Pasport Merah. Sebelum ini semua jemaah haji Malaysia menggunakan Pasport Haji berwarna Hijau. Saya panggil Pasport Haji Pakai Buang kerana selepas balik haji pasport Hijau ini sudah tidak boleh digunakan lagi.

Sebenarnya memang boleh pergi haji tanpa melalui Tabung Haji. Tetapi cara ini ada risikonya. Dibimbangi ada sindiket yang mengambil kesempatan untuk menipu bakal-bakal jemaah Haji. Kesudahannya nanti duit lesap, Haji pula kandas. Jika berhajat, pastikan dahulu kita kenal benar dengan pihak yang menganjurkannya. Tahu di mana pejabatnya, bukan “deal” dekat Kedai Makan aje.

Biasanya Pakej ini agak mahal sedikit dan tempoh pemergian juga agak singkat, paling lama mungkin 30 hari. InsyaAllah saya juga bercadang untuk setting Pakej Haji cara sebegini. Tetapi bukan untuk tahun ini. Mungkin tahun akan datang. Mudah-mudahan..

Jumpa Lagi.