Assalamualaikum wbt.

Kunjungan ke Vietnam tidak menarik sekiranya kita tidak melawat Terowong Cu Chi.  Sesungguhnya Terowong Cu Chi merupakan satu tarikan sebenar untuk saya melawat Vietnam. Malah Terowong Cu Chi yang banyak menyimpan kisah pahit maung rakyat Vietnam menentang Tentera Amerika Syarikat suatu ketika dahulu adalah merupakan destinasi pelancongan terbaik bagi yang meminati sejarah dan mahu mengetahui budaya serta semangat juang bangsa Vietnam menentang Penjajah.

cu chi tunnelKereta Kebal

Terowong Cu Chi terletak kira-kira 70km dari Bandaraya Ho Chi Minh. Terowong ini dibina oleh Tentera Viet Cong semasa Era Perang Vietnam menentang Amerika Syarikat dari tahun 1959 hingga 1975 sehingga menjadikan panjang keseluruhan terowong ini mencecah 250km. Kami dimaklumkan ketika peperangan berlangsung beribu-ribu orang Vietnam di Wilayah Cu Chi menetap di dalam Terowong ini sebagai satu cara berlindung dan menyelamatkan diri dari serangan musuh. Dan mereka hanya keluar pada waktu malam untuk mencari bekalan.

Fungsi Terowong Cu Chi bukan sahaja digunakan sebagai tempat bersembunyi semasa pertempuran ia juga berfungsi sebagai tempat komunikasi rahsia dan juga laluan rahsia untuk membekal ubat-ubatan, makanan, senjata dan tempat kediaman untuk Pejuang Gerila. Hakikat yang nyata Terowong Cu Chi ini memberi sumbangan besar kekalahan Tentera Amerika Syarikat di Vietnam.

Amat mengkagumkan kerana Terowong rahsia ini juga dijadikan pusat kehidupan masyarakat. Di dalam Terowong terdapat sekolah bawah tanah dan ruang awam di mana pasangan yang telah berkahwin dan tempat-tempat para pencinta bertemu. Malahan terdapat teater di dalam Terowong di mana penduduk kampung dihiburkan dengan lagu dan tarian serta cerita-cerita tradisional.

cu chi 8Pintu Masuk Utama ke Terowong Cu Chi

Kini Kompleks 120 km panjang terowong di Cu Chi telah dipelihara dan dijadikan sebagai sebuah Pusat Taman Peringatan Perang dan dibuka kepada pengunjung termasuk pelancung dari luar negara. Malah pengunjung dipelawa untuk masuk ke dalam bahagian-bahagian sistem terowong yang selamat. Kami dimaklumkan terdapat beberapa terowong telah diperbesarkan bagi memberi laluan untuk pengunjung yang bersaiz besar untuk memasukinya. Manakala lampu berkuasa rendah juga telah dipasang bagi memudahkan pengunjung melaluinya.

cu chi 1Penerangan oleh Petugas di sini mengenai Senario Zaman Perang

Kami tiba di kawasan ini pada awal pagi. Selepas membeli tiket masuk kami terus memasuki kawasan ini dan ditempatkan di suatu kawasan seperti Dewan Teater dan diberi penerangan secara ringkas mengenai sejarah Peperangan Rakyat Vietnam menentang penjajah. Ditempat ini juga kami diberi tayangan video gambar hitam putih yang menggambarkan Kisah Benar kehidupan masyarakat zaman Perang pada masa dahulu. Memang rasa sayu dan hiba apabila menonton kisah penderitaan rakyat Vietnam semasa zaman Perang.

cu chi 2

Selesai sessi Taklimat dan Penerangan, kami dibawa melawat kawasan Terowong yang dimaksudkan. Petugas yang bernama Lam telah menunjukkan lokasi beberapa pintu masuk terowong yang memang tersembunyi dari mata kasar kerana ditutup oleh daun-daunan kering. Sebaik diselak daun-daun kering, maka dibuka Pintu Masuk ke terowong yang amat kecil saiznya. Ikut badan saya memang tak muat. Agaknya rakyat Vietnam pada zaman Perang memang bertubuh kecil. Akhirnya anak lelaki saya sahaja yang cuba untuk memasukinya kerana tubuhnya sahaja yang sesuai.

cu chi 12

Selepas itu kami dibawa pula berjalan kaki melawat kawasan sekitar. Sepanjang laluan ditunjukkan beberapa laluan tikus bagi tentera Viet Cong dan kelihatan binaan parit yang digunakan sebagai tempat menembak bagi pejuang Tentera Viet Cong. Kita biasa melihat dalam tayangan wayang gambar mengenai kisah peperangan yang berlaku antara Tentera Amerika Syarikat menentang tentera Vietnam. Yang kelakarnya Tentera Amerika Syarikat sahaja yang menang. Dalam hati saya berkata, ” ini rupanya tempat berlakunya kejadian tembak menembak antara Tentera Viet Cong dan musuhnya dahulu.

cu chi 3

Petugas juga menunjukkan kepada pengunjung beberapa jenis Perangkap yang digunakan oleh Tentera Viet Cong semasa zaman Perang. Melihat kepada pelbagai jenis Perangkap yang digunakan membuatkan saya rasa amat ngeri dan seriau kerana membayangkan mangsa yang terkena perangkap tersebut. Memang maut la jawabnya. Jenis-jenis perangkap tersebut biasa kita tengok dalam cerita Peperangan Vietnam atau cerita Rambo yang menjadi kebanggaan orang Amerika tu.

cu chi 6

Pengunjung juga diberi peluang untuk memasuki dan merasai sendiri pengalaman merangkak di dalam salah satu terowong yang terdapat di sini. Rasa seronok ada, rasa seram pun ada. Laluan terowong bawah tanah agak gelap dan suram. Tambahan pula kami dimaklumkan laluan terowong ini ada jenis yang bertingkat. Dalam gelap memang kita tak nampak apa yang ada di hadapan kita. Walaupun ada lampu-lampu kecil tetapi apabila kita melalui satu selekoh di dalam terowong pemandangan menjadi lebih gelap dan menyesakkan. Berpeluh juga kita dibuatnya. Isteri dan anak-anak yang berada di belakang saya terjerit-jerit kerana sudah tidak dapat melihat saya. Walau bagaimanapun pengalaman ini memang mengujakan.

chu chi 10

Satu lagi pengalaman menarik ialah pengunjung juga diberi peluang untuk merasai sendiri senjata yang digunakan semasa perang seperti M16 dan AK47 dan lain-lainnya. Syaratnya pengunjung harus membeli sendiri peluru hidup yang dijual di sini. Alang-alang sampai di sini, saya pun nak rasa juga pengalaman menembak menggunakan senjata yang real. Memang membingitkan dan memekakkan telinga. Nasib baik penutup telinga dibekalkan bersama. Tetapi bayangkan semasa zaman perang, mana ada penutup telinga. Sebelum sampai di kawasan ini, kami dengar dari kejauhan sahaja bunyi tembakan yang dilepaskan oleh pengunjung lain.

 

Kunjungan kami di akhiri dengan dijamu makan ubi kayu iaitu makanan yang selalu dimakan semasa zaman perang. Teringat kisah orang-orang tua kita cerita zaman Jepun dahulu, sama juga mereka makan ubi kayu. Sebelum itu kami juga ditunjukkan replika tentera Viet Cong menjalankan beberapa aktiviti semasa zaman perang seperti membuat senjata, memasak dan asapnya keluar ikut lokasi yang lain, kereta kebal yang sudah tidak digunakan lagi, pusat tentera Viet Cong bermesyuarat dan juga pusat jualan kraf.

cu chi 7Bergambar kenangan dengan Patung Tentera Gerila Viet Cong

Lawatan di kawasan ini memang mengujakan. Sekurang-kurangnya dapat juga sedikit ilmu dan mengetahui kisah sedih dan duka rakyat Vietnam hidup semasa zaman perang. Dan kepada anak-anak diharapkan mereka memperolehi satu pengajaran yang amat berharga hasil dari kunjungan di sini. Kami kembali semula ke Bandar Ho Chi Minh menjelang tengahari dengan membawa pengalaman yang sungguh bermakna.

Jumpa lagi dan Wassalam.