Assalamualaikum wbt.

Tahun 2012 merupakan tahun kesedihan bagi Industri Haji di Malaysia. Setelah setiap tahun kita mendapat kuota tambahan, tiba-tiba tahun ini Kerajaan Arab Saudi berkeras dengan pendiriannya untuk tidak memberi kuota tambahan kepada banyak negara termasuk Malaysia. Dan apabila ini berlaku, kesannya begitu tragis sekali kepada Pengelola Jemaah Haji atau PJH (syarikat travel yang diberikan lesen oleh Tabung Haji) termasuk juga Tabung Haji Travel iaitu anak syarikat Tabung Haji.

Untuk makluman, kuota Haji adalah mengikut 1% dari jumlah penduduk sesebuah negara yang ditetapkan oleh OIC. Kerana itu kita hanya mendapat kuota 28,000 sahaja berdasarkan jumlah penduduk Malaysia seramai 28 juta. Rakyat Malaysia yang pergi menunaikan Haji kebanyakkannya akan memilihTabung Haji Muasasah kerana kosnya lebih murah hanya RM9980 sahaja, berbanding jika mengikut PJH. Daripada seramai 28,000 jemaah yang terpilih, hanya 5% sahaja daripada mereka yang memilih Pakej Swasta. Tidak sampai 1500 orang pun.

Tetapi permohonan rayuan kepada Tabung Haji oleh Pakej Swasta/PJH  adalah lebih dari 10000 rayuan setiap tahun. Ramai yang mempunyai kemampuan kewangan percaya mereka boleh ke tanah suci menunaikan Haji mengikut Pakej Swasta. Mereka percaya dan mengharapkan hanya Pakej Swasta yang boleh merealisasikan impian mereka. Bayar lebih sikit tidak mengapa, asalkan boleh menunaikan fardhu Haji.

Sebenarnya kuota tambahan yang diperolehi oleh Kerajaan Malaysia setiap tahun (dianggarkan 10,000) telah banyak membantu para jemaah Haji PJH. Apabila kuota tambahan ini diperolehi sahaja, maka ramai jemaah yang sebelum ini berstatus Rayuan akan dinaikkan kepada status “Standby” dan akhirnya menjadi Terpilih sebagai Jemaah Haji untuk tahun yang berkenaan. Tabung Haji akan memutuskan pembahagian kuota ini kepada PJH berdasarkan rayuan yang dibuat oleh mereka. Ada rayuan PJH yang ramai dan ada yang sedikit. Bergantung kepada jumlah jemaah yang mendaftar dengan PJH masing-masing.

Di pihak Tabung Haji pula, mengikut Terma dan Syarat kepada PJH, setiap PJH mesti sudah menghantar Surat Perjanjian Perumahan di Tanah Suci sebagai bukti kemampuan PJH untuk mengendalikan jemaah mereka. Sekiranya PJH mempunyai 1000 orang jemaah yang mendaftar dengan mereka, maka PJH harus sudah menyediakan kemudahan 1000 katil untuk jemaah mereka. Bagaimana Tabung Haji akan meluluskan rayuan mereka jika pihak PJH dilihat belum menyediakan lagi kemudahan penginapan bagi jemaah mereka. Tabung Haji tidak mahu melihat berlakunya jemaah Haji PJH yang tidak mendapat bilik penginapan di tanah suci gara-gara kegagalan PJH menyediakan kemudahan penginapan bagi mereka. Sayugia diingatkan, Terma dan Syarat kepada PJH ini bertujuan untuk menjaga kebajikan jemaah Haji di tanah suci.

Di pihak PJH pula, mereka harus mematuhi Terma dan Syarat Tabung Haji ini. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan pemarkahan mereka dikenakan rebate yang boleh meyebabkan lesen Haji mereka tidak diperbaharui untuk musim akan datang. Walaupun menyedari masih ramai lagi jemaah mereka belum berstatus “Terpilih” tetapi demi membuktikan kepada Tabung Haji tentang kesanggupan dan kemampuan mereka menjaga jemaah Haji mereka, maka PJH akan memajak Bangunan Hotel di tanah suci. Dengan harapan apabila kuota tambahan diperolehi, pihak Tabung Haji akan meluluskan rayuan PJH untuk menaikkan nama jemaah mereka menjadi “Terpilih”. Dan amalan seperti inilah yang berlaku setiap tahun.

Tiba-tiba pada tahun ini kuota tambahan gagal diperolehi. Alangkah sedih dan dukacitanya perasaan bakal jemaah yang mengharapkan agar dapat menunaikan Haji tahun ini. Tetapi yang paling berdukacita sebenarnya ialah PJH. Bayangkan kerugian jutaan Ringgit yang PJH alami. Jika mereka sudah membayar 1000 katil (kerana jemaah yang mendaftar dengan PJH seramai 1000 orang) yang berharga SR8000 sebuah, tiba-tiba jemaah yang Terpilih hanya 200 orang sahaja. Ada baki 800 katil yang kerugian. Maknanya PJH berkenaan bakal kerugian SR6.4 juta. Ada juga usaha PJH untuk menjual semula katil-katil yang tidak digunakan. Jika dapat dijual pun harganya pasti lebih rendah dari harga asal. Semakin hampir dengan Hari Wukuf, harga katil akan semakin merosot. Jika dijual pada harga SR6000, PJH masih rugi SR2000 bagi setiap katil. Tetapi ini lebih baik dari tidak dapat menjual langsung. Yang pasti rugi tetap rugi. Kesiannya.

Mungkin pihak berwajib akan mencari jalan supaya perkara di atas tidak berulang lagi. Kesemua PJH adalah syarikat travel bumiputera yang pastinya beragama Islam. Amat sedih apabila melihat syarikat bumiputera ini menanggung kerugian yang bukan sedikit. Dan untuk dapat “cover” kerugian yang berlaku pasti akam mengambil masa yang lama. Didoakan semoga PJH dapat bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Dan jika boleh tiada PJH yang akan gulung tikar akibat kerugian yang ditanggung. Minta dijauhkan Allah. Saya hanya boleh bersimpati sahaja. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Wassalam. Jumpa lagi, insyaAllah.