Assalamualaikum wbt.

Bersyukur kita panjatkan kepada Allah s.w.t kerana pada ketika dan saat ini, kita masih lagi diberi kesempatan untuk menghirup udara segar dan nyaman, masih lagi diberi rezeki yang melimpah ruah, mendapat anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran, kehidupan yang selesa dan pelbagai lagi nikmat dunia yang tak mampu kita hitung satu persatu. Tidak pernah tergambar di fikiran kita sekiranya tiba-tiba Allah menjemput kita menemuiNya ? Sudah cukupkah bekalan yang akan kita bawa nanti ? Dan jika bekalan tidak cukup, bagaimana kita akan menghadapi alam baru kita pula? Dan apa yang kita tinggalkan di dunia ini yang boleh menyelamatkan kita nanti ?

gambar orang berdoa (2)

Nabi s.a.w berpesan : “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang Soleh”.

Maknanya yang perlu kita tinggalkan selepas kematian kita ialah yang pertama Sedekah, yang kedua Ilmu yang bermanfaat dan yang ketiga Anak yang Soleh. Hanya 3 perkara ini yang boleh menyelamatkan kita selain dari amalan baik yang kita lakukan semasa hidup.

Sedekah ?

Soalannya, adakah mencukupi sedekah jariah kita bagi menampung akaun akhirat kita yang sedikit. Itu yang selalu bersedekah. Yang tak pernah memberi sedekah, bagaimana pula ? Dah la tak bersedekah (mungkin kerana kesempitan hidup), solat pula tidak dijaga ! Kasihan mereka, susah di dunia dan tambah susah di Akhirat.

Bagi yang merasakan akaun akhirat tu belum mencukupi, marilah kita tanam azam untuk menjadi penderma yang proaktif. Ada duit banyak pun bukan boleh dibawa mati. Masa dikebumikan nanti, duit yang banyak dan harta yang bertimbun semuanya ditinggalkan. Dah tak boleh memberikan manfaat. Sementara harta ada ni, rajin-rajinlah menderma. Jangan takut habis. Allah dah janji setiap kebaikan diberi gandaan 10, malah ada yang 700. Tak caya lagi ?

Jangan takut miskin kerana bersedekah. Sesungguhnya sedekah kita boleh memberi talian hayat kepada kita di alam barzakh. Selama mana sedekah kita memberi manfaat kepada manusia, selama itu pahalanya terus mengalir kepada kita sehingga ke hari Kiamat. AllahuAkbar.

Jadi apa tunggu lagi ! Marilah kita mulakan hari baru kita dengan sikap suka bersedekah. Sesungguhnya sedekah boleh menolak bala. Dan ia sifat yang disukai oleh Allah dan Rasul. Alangkah bertuahnya kita apabila pahala sedekah kita yang ikhlas kerana Allah walaupun sedikit menjadi penyelamat kita di alam Barzakh.

Ilmu Yang Bermanfaat ?

Amat beruntung para Ulamak pewaris Nabi. Kerana selama mana ilmu yang diajarnya sehingga membuatkan anak-anak muridnya jadi pandai dan alim, kemudian anak-anak muridnya pula mengajar kepada insan lain, diperturunkan ilmunya dari generasi ke genarasi maka selama itulah berterusan pahala sampai kepadanya, walaupun sudah lama meninggal dunia.

Saya selalu menghormati kerjaya para Guru kerana mereka sebenarnya calon Ahli Syurga, selama mana mereka ikhlas kerana Allah. Begitu juga mereka yang selalu suka menyampaikan ilmu. Tidak semestinya kena menjadi Guru untuk menyampaikan Ilmu. Orang awam seperti kita juga boleh memberikan ilmu atas bidang yang kita mahir dan pengetahuan dari ilmu yang kita beri itu boleh memberi manfaat kepada insan lain.

majlis ilmu

Kepada yang merasa kurangnya ilmu, bersegeralah mendapatkan ilmu. Sekarang ini di masjid-masjid dan surau saban malam diadakan Kuliah Maghrib. Datang lah ke majlis ilmu kerana Malaikat sentiasa akan memayungi orang yang hadir dalam majlis ilmu dan mendoakan kesejahteraannya.

Doa Anak-anak yang Soleh ?

Bagaimana pula kehidupan anak-anak dan keluarga ? Sudah cukupkah didikan yang diberi sehingga berjaya menjadikan mereka anak yang Soleh ?  Anak yang sentiasa berbakti dengan mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka di dunia dan di Akhirat. Belum terlambat untuk mendidik anak supaya kenal agamanya.

gambar orang berdoa (4)

Teringat kata Dr Mohd Fadzilah Kamsah, “anak-anak akan ikut apa yang ibubapanya buat, bukan anak-anak ikut apa yang ibubapa suruh”. Nak suruh anak-anak solat, bapa kena tunjuk contoh tauladan dahulu dengan melakukan solat dan sebaiknya berjemaah dengan ahli keluarga. Jika ibu bapa sendiri tak solat, bagaimana anak-anak mahu disuruh solat ?

Anak yang Soleh adalah aset yang paling berharga sekali selepas kita meninggalkan dunia yang fana ini. Kubur kita akan menjadi terang benderang dan luas apabila mendapat kiriman doa dari anak-anak kita yang Soleh. Sudah tidak ada maknanya kekayaan yang kita tinggalkan andaikata harta kekayaan itu menyebabkan anggota keluarga jadi bercakaran sesama sendiri. Ketika itu nak harapkan kiriman doa ? Jauh sekali..

Selama ini kita terlalu sibuk mengejar kekayaan dunia sehingga terabai banyak perkara. Kata ulamak, jika kita sibuk dengan hal dunia, Allah akan tambah sempitkan hidup kita sehinggakan kita merasa sentiasa sibuk dan kita tidak punya masa untuk mengingati Allah. Kasihan kerana mereka telah tertipu dengan permainan dunia.

Sedangkan dunia ini sebenarnya adalah jambatan menuju ke negeri Akhirat. Segala amalan dan aktiviti kita jika dilakukan dengan diniatkan kerana Allah, maka semuanya dianggap Ibadah. Dan ibadah yang dilakukan dengan mengharapkan redha Allah pasti diberi ganjaran sebaik-baiknya di sisi Allah.

Sedarlah ! Sesungguhnya perjalanan kembara hidup kita masih panjang. Dunia ini hanyalah transit sementara sebelum menemui Si Pencipta. Bermula di alam roh yang ditiupkan ke dalam jasad sehinggalah kita lahir dan kemudiannya hidup sebagai insan di atas muka bumi ini. Dan selepas mendapat pelbagai nikmat yang Allah berikan, pasti akan menemui saat kematian.

Dan sesungguhnya kematian bukanlah titik noktah kita dalam meneruskan lagi perjalanan. Di alam barzakh juga punya ceritanya sendiri mengenai nasib kita di dalam kubur. Sementelah nasib kita di dalam kubur boleh dijadikan pengukur samada kita akan meneruskan perjalanan ke Syurga Allah atau ke Neraka Allah.

Mati-Syahid-Di-sisi-Allah

Kata pujangga “Kematian hanyalah tidur panjang, Maka bermimpilah engkau..” Ya ke ? Ingatlah walaupun kita dapat soalan bocor apa yang nak ditanya di alam Kubur, yang jawab di alam kubur nanti bukannya mulut kita, tetapi amalan kita. Jika baik amalannya, insyaAllah selamat dan mendapat kemuliaan di sisi Allah nanti. Tapi jika tak pernah nak solat dan beramal, maaf cakap..hafallah banyak kali jawapan soalan bocor tu pasti tak boleh jawab.

Sementara kita masih hidup dan diberi umur yang panjang, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan bertanya kepada diri “Adakah kita telah melakukan yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita?”

Sebenarnya Allah beri kita banyak ruang untuk menambahkan akaun Akhirat kita, cuma mahu atau tidak sahaja. Setiap kebaikan yang dilakukan diberi ganjaran 10 pahala dan ada yang lebih lagi sehingga 700. Dan jika kebaikan itu dilakukan di suatu tempat seperti di Masjidil Haram, misalnya ganjaran pahala sehingga 100 ribu. Berbeza jika berbuat kejahatan. Allah beri masa untuk kita bertaubat sebelum Malaikat mencatat 1 dosa. Tetapi manusia ini lebih suka menambah dosa dari pahala. Nauzubillah.

Sempena kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita sama-sama menanam azam untuk menjadikan diri kita sebagai insan yang tahu menghargai nikmat yang Allah berikan. Kita tambah amal ibadah kita dengan berpuasa, mendirikan Solat 5 waktu, bersolat Terawih, membaca al-Quran dan mendirikan Solat Malam. Bukan setakat amal ibadah sahaja, malah semua panca indera kita diarah kekal fokus untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan. Moga-moga selepas Ramadhan, kita menjadi seperti bayi yang baru lahir dengan tidak ada dosa. Dan mudah-mudahan kita akan terus kekal istiqomah selepas itu, insyaaAllah.

Allah tidak melihat di mana kita bermula tetapi Allah melihat di mana kita berakhir. Mudah-mudahan dengan keazaman yang kuat untuk menjadi seorang Mukmin dan Mukminah yang sejati dengan mengamalkan segala apa yang Allah suruh dan meninggalkan yang dilarang memberikan kita kesudahan yang baik nanti. Mengadap Allah dengan membawa hati yang tenang tenteram.

Dan bukankah dengan mengingati Allah itu menjadikan hati kita tenang tenteram ?

Cukup buat kali ini. Semoga perkongsian ini boleh memberikan manfaat untuk kita semua. Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak yang bakal menjelang. Jumpa lagi..insyaaAllah.