Assalamualaikum wbt.

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari seorang yang begitu prihatin mengenai Permasalahan Hukum dalam Ibadah Umrah. Oleh kerana masalah yang diutarakan agak ganjil atau pelik dan saya sendiri ragu-ragu untuk menjawabnya, maka saya panjangkan perkara ini kepada mentor saya Ustaz Hj Samsudin Sidek. Beliau ialah seorang Guru Agama yang berpengalaman dalam Ibadah Haji dan Umrah dan menjadi Pakar Rujuk Tabung Haji. Soalannya ialah :-

Bolehkah seseorang masuk Makkah tanpa melakukan Umrah, memadai dengan melakukan Tawaf Qudum ?

Pening juga nak jawab pertanyaan di atas. Yang saya tahu dalam apa keadaan sekalipun apabila memasuki Makkah mesti kita melakukan Umrah. Samada masuk dari Madinah atau dari KLIA, tetap dikehendaki berniat Umrah di Miqat walaupun keadaan diri uzur syarie sekalipun.

Tawaf HajiTawaf di Baitullah

Ketika saya bertugas semasa musim Haji, beberapa kali saya memasuki Makkah dengan tidak memakai Pakaian Ihram kerana menggunakan Visa Pekerja dan bukan Visa Haji. Sekiranya saya memakai Pakaian Ihram maka saya tidak dibenarkan untuk memasuki Makkah atas sebab saya ke Makkah untuk bekerja dan bukan sebagai Jemaah. Maka saya juga mesti berniat Umrah walaupun dengan berpakaian biasa. Sampai di Makkah, saya terus tukar Pakaian Ihram dan meneruskan ibadah Umrah macam biasa. Oleh kerana berniat dengan tidak memakai Pakaian Ihram, maka saya kena membayar Dam iaitu seekor Kambing.

Tiba-tiba pula soalan di atas diajukan kepada saya. Jemaah berkenaan risau kerana rakan kariahnya sudah memukul canang di masjid dengan mengatakan boleh kita masuk Makkah dengan tidak berniat Umrah, memadai dengan lakukan Tawaf Qudum sahaja (Tawaf Selamat Datang) ! Beliau bimbang ahli kariah akan keliru dengan isu ini. Di masa-masa akan datang boleh jadi ada yang akan mencontohi perkara ini

Jawapan yang diberikan oleh Ustaz Haji Samsudin Sidek ialah seseorang yang memasuki Makkah dengan tidak berniat Umrah hanya dengan melakukan Tawaf Qudum tetap dikenakan Dam seekor Kambing. Sebabnya kerana ia memasuki Makkah dengan tidak melakukan Ibadah Umrah. Sama jawapannya dengan isu berniat Umrah tetapi tidak memakai Pakaian Ihram, tetap juga dikenakan Dam seekor Kambing.

Sekiranya jemaah berkenaan sudah kembali ke tanah air, maka empunya diri mesti mewakilkan kepada sesiapa yang ke tanah suci untuk menyempurnakan Dam sembelihan seekor Kambing. Tidak boleh dibuat sembelihan Kambing di tanah air. Mesti disempurnakan di tanah suci.

Permasalahan Tawaf Wida’ ?

Masih ramai lagi yang kurang arif mengenai permasalahan ini. Tambahan pula sekarang ini biasa terjadi jemaah menunggu lama untuk berangkat selepas selesai menyempurnakan Tawaf Wida’. Oleh kerana penantian yang lama, maka biasa berlaku permasalahan Hukum yang jemaah tidak sedar ianya tidak boleh dilakukan.

Hukum Tawaf Wida’ ialah wajib. Sesiapa yang sudah melakukannya dikehendaki bersegera meninggalkan bumi Makkah. Jika pada zaman dahulu tidak ada masalah sebab kenderaannya ialah seekor Unta. Tetapi zaman sekarang, jemaah kena menunggu Bas Muasasah yang kadang kala lewat sampai dari waktu yang dijanjikan. Sekiranya masa menunggu lama selepas selesai sempurna Tawaf Wida’, jemaah tidak dikenakan Dam kerana kesalahan itu bukan datangnya dari jemaah. Jemaah sudah bersedia untuk meninggalkan bumi Makkah, cuma kerana bas lewat menyebabkan keberangkatan pulang itu jadi tertangguh lama.

Biasa berlaku sementara menunggu bas yang lewat sampai tiba-tiba kedengaran azan berkumandang dari Masjidil Haram. Sekiranya kita terus kembali ke Masjidil Haram semula untuk melakukan Solat Fardhu berjemaah, maka Tawaf Wida yang kita lakukan sebelumnya dianggap terbatal. Jika kita tidak melakukan Tawaf Wida’ semula, maka dikenakan Dam Seekor Kambing. Bezanya dengan kes yang pertama, sembelihan kambing itu boleh dilakukan di tanah air.

Dalam hal ini memadai kita solat di Hotel Penginapan kita sahaja. Dan solat yang dilakukan haruslah Solat Tamam dan tidak boleh Jama’ dan Qasar. Ini kerana kita belum lagi berangkat meninggalkan bumi Makkah.

Sama kesnya jemaah yang membuat belian barang selepas melakukan Tawaf Wida’. Tetap dikenakan Dam seperti kes jemaah yang masuk semula Masjid tadi. Kita kena tahu bezakan antara keperluan dengan kehendak kita selepas selesai Tawaf Wida’. Keperluan seperti membuang air kecil atau besar, makan kerana lapar dibolehkan. Tetapi perbuatan yang dianggap hasil dari kehendak kita seperti membeli belah, tidur di bilik tidak dibenarkan sama sekali.

Cukup sekadar contoh permasalahan di atas buat masa ini.. Jumpa lagi dan Wasalam.