Assalamualaikum wbr. dan bertemu kembali.

Saya merasa amat gembira apabila melihat entry mengenai Persoalan Umrah dan soal jawab mengenainya menjadi tajuk yang sering dibaca oleh pembaca dan banyak komen atau soalan mengenainya. Saya akui saya bukanlah pakar dalam menjawab segala persoalan. Saya juga dapati ada soalan yang dikemukakan menunjukkan jemaah tidak memahami mengenai ibadah Umrah yang ia lakukan.

Sering ditanya samada Umrahnya batal atau tidak ? kena bayar dam ke? bagaimana nak menyelesaikannya ? Hingga ke tahap ada yang merasa ia masih dalm Ihram sehingga takut mendirikan rumah tangga !

Melalui entry kali ini saya cuba memberikan huraian mengenai permasalahan Niat supaya selepas ini akan terungkai segala keraguan mengenainya.

Ulangkaji Ibadah Umrah – Pengenalan

Bagi yang belum pernah menunaikan Umrah saya galakkan baca dahulu tajuk di atas supaya lebih memahami persoalan mengenai Umrah.

Persoalan Niat Umrah

Niat Umrah ialah Rukun Umrah. Maksud Rukun Umrah ialah mesti dilakukan dan jika ditinggalkan menyebabkan Umrah jadi batal. Adapun berniat Umrah di Miqat (sempadan yang dibolehkan berniat Umrah) ialah Perkara Wajib Umrah. Maksud Perkara Wajib Umrah ialah jika ditinggalkan Umrah masih sah tetapi dikenakan Dam.

Sebenarnya Niat Umrah ini ialah kerja hati. Jika setakat baca buku atau seorang Ustaz membaca Niat Umrah semasa Kursus Umrah ia belum dikira sudah berniat..niatnya untuk mengajar bagi orang faham.

Masjid Bir Ali – tempat Miqat dari Madinah

Tetapi apabila kita sudah berpakaian Ihram dan menuju ke tempat Miqat (contoh di Bir Ali, jika datang dari Madinah) perlakuan itu sudah menunjukkan bahawasanya ada niat dengan sengaja mahu melakukan Umrah. Adapun melafazkan Niat Umrah bagi menunjukkan kita sudah bermula untuk melakukan Rukun Umrah yang pertama. Dah petik suis atau dah start enjin kereta ibaratnya.

Harus dingat, semasa Niat Umrah dilafazkan di Bir Ali misalnya, Rukun Umrah dan Perkara Wajib Umrah berjalan serentak. Dan selepas itu kita wajib meninggalkan 13 Pantang Larang Dalam Ihram dan disunatkan untuk kita bertalbiah.

Melafaz Niat Umrah dalam bahasa apa pun tetap sah. Tidak semestinya dalam bahasa Arab sahaja.

Permasalahan Niat Umrah

Kes 1 – Melepasi Miqat tetapi belum berniat

Bagi jemaah yang sudah melepasi Miqat (tidak kira dari arah mana ia masuk ke Makkah) ,maka dalam keadaan ini ia wajib berniat Umrah walaupun sudah melepasi sempadan Miqat. Ini kerana berniat Umrah itu Rukun Umrah yang mesti dikerjakan. Kerana ia tidak berniat Umrah di Miqat, maka ia dikenakan Dam (meninggalkan Perkara Wajib Umrah) dan Umrahnya masih sah.

Kes 2 – Tidak memakai Ihram

Jemaah tidak memakai Kain Ihram sedang Kumpulannya akan memasuki Makkah dahulu. Keadaan ini sering terjadi terutama kepada jemaah yang tidak peka. Kain ihramnya ada dalam bagasi besar yang dimasukkan ke dalam Kargo Kapalterbang dan bukan dalam beg Hand Carry.

Akibatnya ia tidak memakai Ihram semasa memasuki Makkah. Dalam keadaan ini jemaah berkenaan wajib untuk berniat Umrah semasa di Miqat walaupun dengan tidak memakai Pakaian Ihram. Ia akan dikenakan Dam kerana memakai Pakaian berjahit sahaja dan Umrahnya masih sah.

Ketika sampai di Jeddah atau Makkah, sebelum melakukan Tawaf Umrah ia harus menukar kepada Pakaian Ihram dan meneruskan ibadah Umrah tanpa perlu pergi ke Tanaem untuk berniat Umrah semula.

Kes 3 – Masalah Haid

Harus diingat, sesiapa sahaja yang memasuki Makkah wajib baginya untuk melafazkan Niat Umrah walaupun ia sedang Haid. Hukumnya berdosa andai memasuki Makkah tanpa berniat Umrah.

Cuma ia boleh berniat bersyarat dengan lafaz sekiranya Haid tidak kering sehingga meninggalkan Makkah maka halallah ia…maknanya ia boleh berlepas diri dari Larangan Ihram Umrah sebaik sahaja meninggalkan Makkah. Selama mana ia berada di Makkah ia wajib menahan diri dari larangan Ihram sehingga ia suci bersih.

Adapun jemaah wanita tidak boleh berniat bersyarat seperti lafaz sekiranya Haid ini tidak kering ketika ia sampai Makkah maka halallah ia..

Permasalahan Niat Tawaf

Tawaf ada 5 jenis iaitu Tawaf Qudum (Selamat Datang), Tawaf Haji, Tawaf Umrah, Tawaf Sunat dan Tawaf Wada’ (Perpisahan)

Ada segelintir jemaah yang merasa was-was samada Tawafnya sah atau tidak kerana merasakan ia tidak berniat Tawaf ?

Sebenarnya Tawaf Haji dan Tawaf Umrah tetap sah sekiranya kita tidak melafazkan Niat Tawaf semasa memulakannya. Ini kerana semasa kita berniat Haji atau berniat Umrah di Miqat, ianya sudah menunjukkan bahawasanya kita akan melakukan Tawaf Umrah dan Saie Umrah

Definasi Umrah ?

Umrah bermaksud mengunjungi Baitullah (Kaabah) untuk melakukan Tawaf dan Saie dengan rukun-rukunnya serta wajibnya. Maknanya apabila seseorang sudah berniat Umrah secara langsung ia melakukan Tawaf dan juga Saie.

Andai ia lupa melafazkan Niat Tawaf tidak mengapa, Tawafnya masih sah selagi mana ia tidak melakukan perkara yang membatalkan Tawaf.

Akan tetapi bagi jemaah Umrah apabila mahu melakukan Tawaf Sunat dan/atau Tawaf Wada’ maka ia kena berniat untuk melakukan Tawaf yang berkenaan. Sekiranya ia tidak berniat maka Tawaf Sunat atau Tawaf Wada’ menjadi tidak sah. Ini kerana Tawaf Sunat, Tawaf Wada’ dan Tawaf Qudum tidak berdiri dengan sendirinya. Ianya wajib berniat.

Permasalahan Niat Saie Umrah

Sekiranya jemaah terlupa melafazkan Niat Saie ianya tidak mengapa. Saie Umrahnya juga tetap sah selagi mana tidak melakukan perkara yang membatalkannya. Melafazkan niat Saie hukumnya Sunat dan bukan wajib.

Ada di kalangan jemaah yang tidak tahu semasa melakukan Saie jika tidak ada wuduk juga hukumnya sah. Tidak perlu jemaah bersusah payah untuk mengambil Wuduk.

Pesanan Penting

Kepada bakal jemaah dinasihatkan supaya mendalami ilmu Umrah terlebih dahulu sebelum ke Tanah Suci supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Cukup dulu buat kali ini. Wassalam.