Sifat Yang Perlu Dijauhi Oleh Tetamu Allah

Assalamualaikum wbt.

Alangkah beruntungnya kita apabila dipilih menjadi Tetamu Allah. Datang ke tanah suci dengan penuh harapan agar segala hajat kita dimakbulkan oleh Allah. Tetapi semasa di tanah suci, ramai yang tidak sedar warna dirinya yang sebenar dizahirkan oleh Allah. Sikap tercela seperti sombong dan takbur, ria’, bangga diri, ujub, pemarah, bakhil @ kedekut dan pelbagai lagi sifat-sifat mazmumah ditonjolkan oleh jemaah. Malah ada jemaah yang bangga bersikap sedemikian. Jika itulah sikap yang ditonjolkan di tanah suci, bagaimana amalan kita dan doa kita akan diterima oleh Allah ?

Sombong dan Takbur

Sikap sombong adalah klon dari sifat iblis dan syaitan. Kerana kesombongan iblis yang tidak mahu tunduk hormat kepada Adam menyebabkan Allah murka lalu dikeluarkan iblis dari syurga. Dan tempat selayaknya bagi iblis ialah api neraka. Kerana apa iblis sombong ? Kerana merasakan dirinya yang lebih baik penciptaannya berbanding dengan Adam. Manusia menjadi sombong kerana merasa dirinya lebih hebat dari orang lain. Sentiasa merasakan dirinya mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari orang lain, samada lebih dari segi harta atau pangkat atau keturunan.

Orang yang sombong akan hilang sifat kasih sayang dan tidak mahu hormat dengan orang lain. Dan apabila terlanjur berbuat salah atau dosa, ia tidak mahu bertaubat atau meminta ampun dan maaf. Malah bangga dapat menunjukkan sikapnya yang sebenar. Boleh jadi juga sipelaku tidak sedar sikap sombong itu telah lama bersarang dalam dirinya. Kerana ia selalu menganggap dirinya yang terbaik dan perlu dihormati. Orang lain harus tunduk kepadanya. Dan sikap sombong ini makin terserlah apabila berlaku sesuatu musibah di tanah suci. Ia tidak redha dengan ketentuan Allah malah menyalahkan orang lain atas musibah yang berlaku.

Sebagai Tetamu Allah jauhilah sikap sombong dan takkabur. Sebaliknya hendaklah kita sentiasa bersikap tawadduk atau merendah diri dan ingin menjalin persahabatan sesama manusia. Firman Allah maksudnya : ” Dikatakan (kepada mereka) Masuklah pintu neraka Jahannam itu, kekal  di sana untuk selama-lamanya. Dan amatlah buruk tempat tinggal orang yang takabbur (sombong).” surah al-Zumar ayat 72

Ria’

Sifat ria’ ialah suatu sikap suka menonjolkan kelebihan diri berbanding orang lain. Ramai jemaah yang suka jika kebaikan dirinya diketahui orang. Mereka beribadah dengan mengharapkan pujian orang dan bukan ikhlas kerana Allah. Apabila di hadapan orang, ia rajin beribadah, apabila di belakang orang, hilang sikap rajin beribadah tadi.

Pernah dan selalu terjadi jemaah menghebahkan kepada jemaah-jemaah yang lain yang dirinya sudah melakukan Umrah 7 kali dan berhasrat untuk menjamu semua ahli jemaahnya sebagai tanda syukur. Walhal tidak ada nas dalam al-Quran atau hadis yang menyatakan umrah 7 kali menyamai pahala haji. Atau menghebahkan kepada orang lain dirinya sudah banyak kali melakukan tawaf. Sikap suka mendedahkan amalan-amalan di tanah suci dengan mengharapkan pujian orang amat merugikan sekali. Semua amalannya ditolak oleh Allah kerana ibadahnya tidak ikhlas kerana Allah, sebaliknya mengharapkan pujian orang.

Firman Allah maksudnya: “Neraka Wail itu bagi orang yang solat, yang lalai dalam solat mereka. Mereka mempamerkan solat yang dikerjakan kepada manusia (dengan mengharap pujian dari mereka, bukan kerana Allah dan bukan kerana mengharapkan keredhaanNya.)”

Ujub

Sikap yang hampir sama dengan ria’ malah sikap ini lebih merbahaya kerana ianya bersifat dalaman dan tidak ditonjolkan. Ujub ialah sikap hairan atau takjub terhadap kelebihan yang ada pada diri sendiri. Merasakan dirinya lebih warak berbanding orang lain, sungguhpun amalannya tidak dihebahkan kepada orang lain. Konon dirinya yang rajin dan selalu beribadah ini lebih baik berbanding dengan rakan-rakan jemaah yang kurang beramal di tanah suci.

Apabila wujud sikap ‘ujub dibimbangi diri jadi angkuh, konon dirinya yang terbaik di sisi Allah berbanding orang lain. Contoh yang mudah difahami, ketika di tanah suci kita dapati hanya kita sahaja yang rajin melakukan umrah, sedangkan anggota jemaah lain sebaliknya. Maka timbul rasa megah dalam hati kononnya hanya diri kita yang alim dan warak, orang lain tidak. Malah menyalahkan orang lain yang tidak mengikut jejak sepertinya yang rajin beribadah. Sikap ini amat merugikan sekali.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya: ” Tiga perkara yang membinasakan ibadah. Pertama, kikir atau kedekut. Kedua, mengikut hawa nafsu (yang dicela oleh syarak) dan ketiga ialah Ujub iaitu hairan seseorang akan dirinya.”

Pemarah

Marah tidak tentu fasal dilarang dalam Islam, kerana ia boleh memutuskan hubungan silaturrahim, sipelaku menjadi gelisah dan terhalang untuk beribadah kepada Allah. Iblis dan syaitan cukup suka dengan orang yang bersifat pemarah. Orang yang bersifat pemarah tidak peduli tentang hati dan perasaan orang lain. Empunya diri merasa puas apabila dapat melepaskan kemarahannya. Kekadang sipemarah cukup mudah berkata, ” ala kita boleh minta maaf “, tetapi dia lupa orang boleh maafkan tetapi lupa tidak. Seperti paku yang ditukul ke papan, walaupun paku itu boleh dicabut tetapi bekasnya tetap ada.

Nabi bersabda maksudnya: “Marah itu merosakkan iman, sebagaimana jadam merosakkan madu.”

Apabila kita marah, untuk meredakannya hendaklah berwuduk. Sabda Nabi s.a.w maksudnya: ” Sesungguhnya marah itu dari syaitan, sedangkan syaitan itu dijadikan daripada api, dan api padam dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka ambillah wuduk”.

Bakhil dan kedekut

Sifat ini amat dicela di dalam Islam. Malah Nabi memberitahu sifat cintakan kepada harta dunia dan kemuliaan itu akan menyuburkan sifat munafiq di dalam hati. Islam menyuruh kita mencari harta tetapi harta itu hendaklah dibelanjakan ke jalan Allah seperti memberi zakat, sedekah, ke tanah suci menunaikan haji dan umrah selain dari nafkah untuk diri dan keluarga. Malah sikap bakhil dan kedekut ini dibenci oleh Allah dan Rasul.

Sedangkan sewajarnya semasa di tanah suci kita memperbanyakkan sedekah kerana Nabi menyatakan sedekah ini boleh menolak bala’. Malah sedekah itu juga diberi ganjaran 10 kali ganda malah ada yang 700 kali ganda oleh Allah. Dan sedekah ini juga dapat menampung kekurangan pahala kita kerana kurang tekun beribadah. Kita boleh mengambil iktibar dari kisah-kisah orang terdahulu yang kaya raya tetapi kerana sifat bakhil dan kedekut, ia dibinasakan oleh Allah. Seperti kisah Qarun yang dinukilkan dalam al-Quran. Begitu juga kisah Shalabah yang minta Nabi s.a.w  mendoakan supaya diberi kekayaan oleh Allah, tetapi apabila sudah kaya ia tidak mahu mengeluarkan zakat. Akhirnya ia mati dalam kehinaan.

Demikian beberapa contoh sifat yang perlu kita jauhi dan buang jauh-jauh dari melekat dalam diri kita. Tambahan pula sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang disukai oleh Allah dan RasulNya. Tidak ada untungnya kita mempunyai sifat-sifat tercela seperti di atas kerana ianya boleh merosakkan hubungan silaturrahim sesama manusia. Malah amat malang jika kita hidup di dunia ini dibenci oleh Allah dan Rasul kerana sifat-sifat tercela yang kita miliki.

Jumpa lagi, insyaAllah.

 

 

Category: Muhasabah Diri

  • hirdawati October 13, 2012 at 5:24 pm

    terima kasih ,saya dapat membaca panduan yg berguna

Tempah produk beauty umaira sekarang