Assalamualaikum wbt.

Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian secara sedar kita sudahpun melangkah ke Tahun Baru 2013. Sewajarnya rasa syukur kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t kerana masih lagi diberi peluang menghirup udara segar, masih lagi diberi rezeki yang melimpah ruah, masih punya waktu dan kesempatan untuk kita memperbaiki diri ke arah menjadi Muslim yang sejati.  Apalah maknanya segala rezeki dan kemewahan yang dimiliki andai hidup selama ini bergelombang dengan noda dan dosa. Munculnya tahun baru mengingatkan kita tentang kematian yang semakin menghampiri dan adakah cukup bekalan yang perlu dibawa ke Akhirat nanti.

Apa yang kita miliki di dunia ini semuanya hanyalah pinjaman semata. Kita dapat terus hidup di muka bumi ini adalah ehsan dan kasih sayang dari Allah. Bila-bila masa sahaja apabila Allah mengkehendaki segala yang kita miliki boleh diambil semula. Mata yang boleh melihat, telinga yang boleh mendengar, lidah yang boleh merasa, mulut yang boleh berkata-kata dan semua pancaindera yang kita miliki, semuanya milik Allah. Kita ini hanyalah seorang hamba yang sewajarnya berserah diri kepada TuanNya. Tetapi cuba kita tanya diri kita, adakah kita ini merasa diri seumpama seorang hamba. Seorang yang punya banyak kelemahan dan perlu dibantu oleh Yang Maha Esa.

Kita selalu menanam azam yang baru sebaik munculnya Tahun Baru. Marilah kita sama-sama menanam azam untuk menjadi seorang Muslim yang baik. Bukan setakat menjadi seorang yang baik malah boleh memberi kebaikan kepada orang lain. Seorang Muslim yang baik ialah mereka yang dapat menjaga hubungannya dengan Allah dan juga hubungannya sesama manusia.

Cuba kita muhasabah diri kita. Bolehkah kita sentiasa semat di dalam hati bahawa ketika celik aje mata, kita tanam azam untuk sentiasa cuba menambah akaun pahala kita dan dalam masa yang sama menghindarkan diri kita dari melakukan dosa. Betapa kasih Allah kepada hambaNya, setiap kebaikan yang kita niat untuk melakukan, Allah beri 1 pahala. Dan apabila kebaikan itu dilakukan Allah beri ganjaran 10 pahala dan ada yang sehingga 700 kali pahala. Tetapi apabila hambaNya melakukan satu kesalahan, hanya dicatat 1 dosa sahaja. Malah itupun masih diberi peluang, sekiranya hambaNya bertaubat akan dihapus dosa yang baru dilakukan.

Sebenarnya amat mudah untuk mendapatkan pahala. Mahu atau tidak sahaja. Sambil kita memandu kenderaan ke tempat kerja atau ke mana sahaja, kita boleh beristighfar atau berzikir menyebut nama Allah. Ucapan yang sungguh mudah seperti Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar ataupun ucapan Taubat Nabi Yunus “Laillahaillah anta subhanaka inni kuntu minas zolimin”. Hatta ketika berjalan kaki atau sedang berjogging kita boleh sebut kalimah taubat iaitu dengan beristighfar.

Kita sebut setiap kalimah di atas sebagai tanda cinta kasih dan ingatan kita kepada Allah. Seperti seorang kekasih yang merindui kekasihnya pasti namanya akan selalu disebut-sebut dan dingat setiap detik. Cuba pula di setiap detik waktu kita bernafas di muka bumi ini kita selalu menyebut nama Allah.

Teringat kata-kata seorang Ustaz “untuk menjadi seorang Mukmin yang cemerlang, tidak cukup dengan melakukan solat 5 waktu.” Itu cuma markah untuk cukup lulus periksa. Hanya 40% sahaja. Jika mahu cemerlang kita kena tambah dengan amalan solat-solat sunat dan amal kebajikan yang lain. Bukan setakat jaga ibadah solat sahaja tetapi hubungan dengan manusia juga dijalin dengan baik. Tetapi andai kata kita selalu culas dalam solat fardhu, maknanya kita ni telah gagal menjadi seorang Muslim. Islam hanya pada nama sahaja, walhal tingkah laku kita sama sahaja dengan Ah Chong dan Ramasamy. Yang sedihnya apabila kita lihat anak-anak muda Islam ini dengan bangga menunjukkan perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Seolah-olah mereka ini bukan orang Islam. Saya pernah melihat sekumpulan anak-anak muda Islam minum arak di tepi-tepi kaki lima bangunan. Sikit pun tak rasa malu. Apa la nasibnya sekiranya Allah tarik nyawanya selepas itu. Kasihan…

Bagaimanakah nasib kita nanti semasa di sana ? Amat beruntung sekali mereka yang selalu membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Atau menjadi seorang guru yang sentiasa memberikan ilmu kepada anak-anak didiknya. Selama mana ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat dan diamalkan dari generasi ke generasi, sahamnya terus diperolehi sehingga ke hari kiamat. Atau mempunyai anak yang soleh yang selalu mendoakan kebahagiaan kedua ibubapanya. Tetapi adakah kita tergolong dalam 3 golongan yang disebutkan di atas. Kita ni hanyalah orang awam yang biasa-biasa sahaja. Darjat iman pun tidaklah setinggi mana. Amalan akhirat pun tidaklah sebanyak mana jika dibanding dengan nikmat yang Allah berikan.

Layakkah kita untuk masuk syurga Allah dengan amal yang sedikit dan tanggungan dosa yang banyak. Marilah kita memperbaiki diri kita untuk menjadi Muslim yang cemerlang. Kita jaga solat fardhu dan ditambah lagi dengan amal-amal kebajikan yang lain. Yang paling penting sematkan dalam hati apa pun yang kita lakukan semuanya kerana Allah. Bukan mengharapkan pujian dari makhluk atau mengharapkan balasan dari manusia. Jika dari mula bangun tidur sehinggalah nak masuk tidur semua yang kita lakukan hanyalah mengharapkan keredhaan Allah maka segala perbuatan kita akan jadi ibadah. Beruntunglah mereka yang setiap hari mendapat saham pahala kerana segala perbuatan yang dilakukan itu menjadi ibadah. Syaratnya ialah ikhlas kerana Allah. Bolehkah kita melakukannya ? Pasti boleh…

Sementara kita punya banyak waktu, punya tenaga yang masih kuat di usia muda dan punya harta yang melimpahruah, bersegeralah kita melakukan setiap amal kebajikan dan jangan ditangguh-tangguh lagi. Saya selalu menyatakan perbuatan yang selalu kita lakukan ketika masa muda, lama kelamaan akan menjadi habit yang sukar ditinggalkan ketika di usia tua. Oleh yang demikian, sempena melangkah ke tahun baru 2013 ini, marilah kita mulakan diri kita dengan selalu melakukan Solat Malam selain dari Solat Rawatib dan solat-solat sunat yang lain. Moga-moga ianya akan menjadi satu amalan yang berterusan sehingga ke usia tua dan akhir hayat kita. Allah hanya melihat di mana kita berakhir di dunia ini, bukannya di mana kita bermula. Alangkah manisnya jika pada akhir hidup kita penuh dengan cahaya keimanan kepada Allah. Kembali mengadap Ilahi dengan membawa hati yang tenang tenteram.

Sebenarnya apa yang saya katakan bukanlah menunjukkan diri saya ini baik sangat. Saya cuma berazam untuk menjadi yang terbaik. Apa yang disyorkan merupakan cabaran buat diri saya juga. Di akhirat nanti golongan yang mula-mula dihadapkan kepada Allah ialah golongan manusia yang suka mengajak orang kearah kebaikan tetapi diri sendiri tidak melakukannya. Saya berharap semoga kita terus kekal “istiqomah” dalam melakukan perkara-perkara kebaikan. Amin Ya Rabbal Alamin.

Wassalam.