Assalamualaikum wbt.

Kali ini saya nak cerita luar dari topik Umrah bagi memberi penghormatan saya kepada guru-guru yang pernah mengajar saya menjadi insan yang berguna. Yang penting apa saja yang saya tulis dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada semua orang yang membacanya.

Saya teringat ceramah agama yang disampaikan oleh ayah saya Ustaz Hj Safwan Fathy, bahawa Nabi s.a.w bersabda, “sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada dirinya dan juga memberi manfaat kepada orang lain”. Dewasa ini yang  terlintas di minda saya golongan yang memberi manfaat kepada orang lain ialah mereka yang terlibat secara langsung dalam kerja yang mempunyai hubungan dengan masyarakat atau orang awam. Pertama ialah dalam industri hospital seperti para doktor, para jururawat dan petugas yang lainnya yang berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat demi memastikan pesakit cepat sembuh walaupun kekadang sipesakit sendiri tidak peduli akan kesihatan dirinya. Begitu juga dalam bidang perguruan. Guru bersungguh-sungguh mengajar dan mendidik bagi memastikan anak muridnya lulus cemerlang dalam peperiksaan, walaupun pelajar itu sendiri tak kisah nak lulus atau gagal. Dan selalunya apabila seorang pelajar itu berjaya jarang parent yang mengucapkan syabas dan terima kasih atas jasa guru yang telah mendidik anaknya. Yang selalu kita dengar dan baca di akhbar ialah tindakan parent yang menyerang guru kerana tidak berpuas hati atas tindakan guru terhadap anaknya.

Cikgu Norlia (duduk paling kiri) dan Cikgu Ruthihan disebelahnya

Semasa di alam persekolahan, ada beberapa guru yang saya akan ingat sampai bila-bila jasanya kepada saya. Yang pertama ialah Cikgu Norlia Ashari (baru sahaja bersara). Beliau satu-satunya guru yang memberi sentuhan kasih seperti seorang kakak kepada adiknya. Beliau yang membuka minda saya mengenai kesedaran bahawa dalam diri saya mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin dan perlu berani merempuh apa sahaja halangan yang ada demi mencapai kejayaan. Ini kerana sebelumnya saya memang seorang yang agak pemalu. Nasihat Cikgu Norlia benar-benar memberi kesan dalam jiwa saya. Apa pun yang datang, semuanya saya tempuh dengan yakin. Dan saya tidak pernah lari dari masalah. Kerana itu saya selalu beritahu dengan jemaah saya ketika berdepan dengan masalah, bahawa jemaah boleh call saya pada sebarang masa kerana saya tidak pernah tutup handphone. Jika ada miss call, pasti saya akan call semula. Saya tidak akan lari dari tanggungjawab.

Saya masih teringat ketika Cikgu Norlia mengajar dalam kelas saya, beliau memberi nasihat yang panjang mengenai hubungan kita dengan Allah. Apapun yang kita lakukan mestilah disertai dengan niat hati yang bersih kerana Allah. Ini kerana hati yang bersih memudahkan kita menerima ilmu yang kita pelajari. Beliau telah mengingatkan bahawasanya kita ni sebagai hamba Allah yang lemah perlu bergantung sentiasa kepada Allah. Dan lafaz doanya yang diajar kepada pelajar dan saya praktik sampai sekarang iaitu doa diakhiri dengan lafaz  ” Ya Allah Ya Tuhanku, kasihanilah diri kami kerana sesungguhnya kami ini insan yang amat lemah dan sentiasa mengharapkan pertolonganMu, Kau kabulkan segala hajat kami.” Pengakuan seorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah dalam meminta sesuatu.

Seorang lagi guru yang saya ingati ialah Cikgu Ruthihan mengajar subjek Geografi. Sebelumnya saya memang tidak minat subjek ini. Tetapi kesungguhan yang ditunjukkan semasa mengajar terserlah pada wajah dan tindakannya. Beria-ia betul beliau mengajar. Kita sebagai pelajar pun jika tidak tumpukan perhatian rasa zalim pula pada guru. Baru-baru ni bila berjumpa dengan beliau semasa Perjumpaan Malam Amal Alumni STAR, tergelak besar Cikgu Ruthihan bila saya mentioned yang saya masih ingat lagi subjek yang dia ajar semasa dalam kelas. Ini kerana beliau semasa mengajar suka melukis di papan hitam bagi menjelaskan sebab musabab terjadinya sesuatu tempat seperti terjadinya teluk dan tanjung, contohnya. Dan buat saya terharu apabila Cikgu Ruthihan beritahu suaminya bahawa semasa mahu hadir ke Majlis Makan Malam Amal tersebut bahawa dia nak cari seorang pelajar yang bernama Muhammad Iqbal. Saya la tu. Seorang guru boleh ingat nama muridnya walaupun sudah lebih dari 25 tahun.

Peranan guru amat besar dalam mendidik kita menjadi insan yang berguna.  Dari zaman anak saya di PASTI, sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, saya tidak lupakan jasa guru yang mengajar anak-anak saya. Kerana itu setiap akhir tahun saya tidak pernah lupa memberikan hadiah kepada guru-guru kelas yang mengajar anak-anak saya. Alhamdulillah berkat ilmu yang diajar oleh guru-guru, ketiga2 anak saya lulus cemerlang dalam UPSR dengan mendapat 5A dan mendapat Mumtaz dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Agama sehingga mereka semua sekarang di sekolah Asrama Penuh.

Saya ingat suatu hadis yang menyatakan “apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali 3 perkara iaitu Amal Jariahnya, ilmu yang manfaat dan doa anak yang soleh”. Beruntunglah para guru kerana selama mana ilmu yang diajar dapat memberi manfaat kepada orang lain dan diperturunkan dari generasi ke genarasi maka selama itulah rohnya aman di alam barzah sehingga hari kiamat. AllahuAkbar.

Selamat Hari Guru.