Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Sebaik sahaja kami sampai di Sarajevo dan turun dari bas, kami telah diperkenalkan dengan Tour Guide tempatan, seorang lelaki yang berkaca mata. Tak ingat pula namanya.  Kami terus dibawa ke Bandar Lama Sarajevo (Old Town Sarajevo) yang digelar Bascarsija dengan berjalan kaki dan pastinya yang dituju dahulu ialah Masjid kerana kami belum lagi menunaikan Solat Zuhur dan Asar.

Sebaik memasuki kawasan Bandar Lama Sarajevo ini, saya dapati kawasan ini padat dengan pengunjung tempatan dan luar negara. Masing-masing memakai Pakaian Tebal seperti kami kerana suhu di Sarajevo sememangnya amat sejuk ketika itu.

Kami melewati beberapa deretan kedai di kawasan ini untuk menuju ke Masjid bagi menyempurnakan Solat Jama’ Takhir sebelum meneruskan lawatan yang seterusnya. Sememangnya ujian besar bagi kami kerana ketika mengambil wudu’, air paipnya terlalu sejuk. Sayang sekali tidak ada sistem pemanas air di masjid ini.

Masjid Gazi Husrev Bey

Masjid tua ini kabarnya dibina pada kurun ke 16 oleh Gabenor Bosnia ketika itu yang bernama Gazi Husrev Bey. Semasa zaman ini Bosnia termasuk dalam wilayah penguasaan Empayar Uthmaniyah yang berpusat di Turki. Melihat kepada struktur binaan masjid ini mirip sekali dengan bentuk masjid yang ada di Turki terutama di bahagian Kubah Masjid.

Masjid ini juga tidak terlepas dari serangan Pengganas Serbia semasa Perang Balkan pada era 90an dan telah dibina semula mengikut struktur asal oleh bantuan negara-negara luar selepas Perang Balkan tamat.

Bascarsija atau “Sarajevo Old Town” yang kami lawati merupakan bazaar peninggalan kerajaan Turki Othmaniyah yang masih kekal sehingga hari ini. Ketika berada di kawasan ini, saya merasakan seperti sedang berada di Istanbul pula kerana bentuk deretan kedai dan bangunan mempunyai pengaruh seni bina kerajaan Empayar Turki Othmaniyah. Kawasan ini terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai barangan dan juga restoran Halal untuk pengunjung.

Tour Guide menerangkan sebahagian Kota Lama Sarajevo ini juga mempunyai bangunan senibina pengaruh Austria Hungaran dan sebahagian lagi mempunyai pengaruh senibina Empayar Othmaniyah sambil menunjukkan satu garisan di jalan yang tertulis “Sarajevo of Meeting Culture” dan Papan Tanda yang terletak di tengah sempadan antara bangunan senibina Austria Hungarian dan Othmaniyah Turki.

Sambil melawak beliau menyatakan jika Pengunjung tak tahu nak kemana, hanya “spin” Papan Tanda yang ada di dinding bangunan ini untuk mengetahui keputusan hasil dari putaran Papan Tanda tadi samada nak jalan ke arah timur ataupun barat merujuk kepada kawasan bangunan senibina Othmaniyah atau Austria Hungarian.

 

Sebijl Fountain

Sebijl atau disebut “sebil” yang terletak di tengah laluan pejalan kaki di Bazarcersia ialah asalnya sebuah “public water fountain” yang dibina dengan kayu dan batu. Air jernih dingin yang mengalir dari Sebilj dikatakan turun dari gunung berhampiran. Pengunjung yang datang ke Bazarcersia boleh mengambil air dari Sebilj kerana airnya boleh terus diminum tanpa perlu ditapis.

Sebijl yang wujud sehingga kini merupakan satu-satunya saksi bisu yang pernah mengalami zaman Perang Dunia 1 dan Perang Dunia 2 hingga ke Perang Balkan.

Kami berada di kawasan ini tak lama sekitar 2 jam sahaja. Dan kemudiannya kami terus menaiki bas untuk “check in” Hotel Hollywood di Sarajevo.

Check in Hotel Hollywood

Nama hotel aje dah macam gempak. Tak dinafikan hotel 4 bintang ini nampak “happening”. Setelah mendapatkan bilik kami diberi masa 30 minit untuk turun semula bagi sessi Makan Malam. Sempatlah untuk saya mandi dan menyempurnakan Solat Jamak di bilik.

Sajian makanan di Hotel ini saya kira memuaskan dan boleh memenuhi selera saya sebab ada nasi. Pilihan menu juga agak mewah dan pastinya dijamin halal.

Selesai menjamu selera saya terus naik bilik tidur. Tetapi saya perasan ada rakan-rakan kami yang ambil kesempatan untuk “window shopping” di kawasan sekitar walaupun cuaca di luar sememangnya sejuk. Biasalah orang perempuan….ha…ha….ha…

Hari ke 6 – Check out Sarajevo

Selepas sarapan pagi, kami sudah check out Hotel untuk meneruskan kembara Balkan seterusnya. Suhu pagi di Sarajevo amat sejuk. Keluar dari bangunan hotel saya terus memakai penutup kepala untuk melindungi telinga saya terdedah dengan suhu sejuk. Perjalanan selepas ini pasti lebih sejuk dari sebelumnya.

Saya seperti tak puas kerana berada tak lama di Sarajevo. Hanya melawat Kota Lama Sarajevo sahaja di sini. Itu pun tak lama. Saya rasa seperti banyak tempat di Sarajevo yang tidak kami terokai. Apa kan daya, saya harus akur aje dengan Iternary yang sudah direncana awal. Cuma saya rasa jika saya buat Trip Balkan selepas ini mungkin saya akan ambil 2 malam untuk menginap di Sarajevo agar dapat satu hari penuh untuk menerokai Kota Sarajevo yang banyak menyimpan sejarah pahit kezaliman Pengganas Serbia semasa zaman Perang Balkan dahulu.

bersambung lagi…