Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Sebaik kita selesai melaksanakan Tawaf Umrah, seterusnya kita akan melakukan Saie pula. Sebelum ini laluan menuju ke Tempat Saie atau “Massa” amat mudah kerana hanya perlu menuju arah ke belakang atau arah keluar melalui Lampu Hijau (tanda permulaan Tawaf). Tetapi kerana Masjidil Haram kini dalam kerja Pembesaran Masjid, maka luan ke Tempat Saie agak berbelit sedikit. KIta kena ikut arah panah yang menunjukkan arah Massa.

saie umrah

Sebelum kita mengetahui hal mengenai Saie, ada baiknya juga kita mengetahui Sejarah Ibadah Saie melalui entry terdahulu di bawah tajuk ”    Kisah Air Zam Zam dan Ibadah Saie – lambang keteguhan Iman Hajar

Pengertian Saie

Saie ialah berjalan kaki ulang alik bermula dari Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Dari Safa ke Marwah dikira 1 kali dan Marwah ke Safa dikira 1 kali begitulah seterusnya hingga cukup 7 kali yang berakhir di Bukit Marwah.

Jarak Safa ke Marwah lebih kurang 550 meter. Dan jika dicampur jarak jalan kaki semasa mengerjakan Saie hampir 4 km. Maknanya untuk menyempurnakan Saie memerlukan kekuatan fizikal kerana kita kena berjalan kaki sejauh itu. Bagi yang tidak mampu boleh diupah orang untuk menolak menggunakan Kerusi Roda. Dan kini di tingkat 1 ada disediakan perkhidmatan “skuter bateri” yang boleh disewa oleh jemaah untuk menyempurnakan Saie.

saie lampu hijau

Cara Melaksanakan Saie

Kita berdiri di Bukit Safa, hadapkan anggota badan kita ke arah Kaabah, kemudian mengangkat kedua tangan kita sambil melaungkan “Allahu Akbar”. Dan selepas itu mula menuruni Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah. Semasa berjalan kita akan melalui kawasan yang ditandakan dengan lampu Hijau. Ketika melewati kawasan berkenaan, jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak sementara jemaah wanita tidak disunatkan.

Bacaan Doa Saie

Tidak ada bacaan wajib semasa Saie. Tetapi jika mahu membaca doa yang ada dalam Buku Panduan Umrah pun OK juga. Dan jika mahu melafazkan doa dalam bahasa yang kita faham juga baik. Yang penting kita tahu apa yang kita pohon. Malah ketika Saie antara saat dan tempat makbul doa.

Pengingatan Penting

Perlu diingat kita tidak semestinya ada Wudu’ ketika menunaikan Saie. Jika terbatal Wudu’, JANGAN PANIK ! Kita tidak perlu ambil Wudu’ semata-mata untuk menyempurnakan Saie.

Sekiranya ketika menunaikan Saie tiba-tiba sudah masuk waktu Solat Berjemaah didirikan, kita boleh tangguh dahulu Saie kita dan bersolat fardhu bersama jemaah yang lain. Tetapi pastikan terlebih dahulu Wudu’ kita masih belum batal. Selesai Solat, kita boleh sambung semula Saie kita bermula dari tempat kita berhenti tadi.

Syarat Sah Saie

Sungguhpun Saie ni nampak mudah hanya berjalan kaki sahaja antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, tetapi kita kena tahu dan faham Syarat-syarat Sah Saie. Ini kerana beramal mesti dengan ilmu. Teringat kisah seorang jemaah Umrah yang menyangka berjalan kaki antara Safa ke Marwah dan kembali ke Safa dikira 1 pusingan. Sudahnya 14 kali ulang alik dilakukan beliau semasa bersaie. Kesiannya.

Pertama, Saie mesti dilakukan setelah sempurnanya Tawaf. Tidak sah saie jika Tawaf yang dilakukan tidak sempurna mengikut Hukum, walaupun sudah melakukan 7 kali pusingan Tawaf.

Kedua, mestilah memakai Ihram Umrah. Tidak sah Saie jika memakai Pakaian biasa. Kecuali jika Saie Haji yang sudah bertahalul Awal. Kerana itu semasa kita melakukan Saie Umrah, kita tidak jumpa orang yang bersaie memakai Baju Biasa. Semuanya memakai Pakaian Ihram Umrah.

Ketiga, dimulai dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

Keempat, cukup 7 kali dengan yakin. Sekiranya kita terlupa pusingan ke berapa, maka ketika itu kita kena sedar di mana kita berada sekarang ? Samada kita sedang berjalan menuju ke Bukit Safa atau ke Bukit Marwah. Jika ke Bukit Safa, maknanya kiraan pusingan mesti angka genap samada ke-2 atau ke-4 atau ke-6. Tetapi jika kita berjalan menuju ke Bukit Marwah maknanya samada Saie yang ke-3 atau ke-5 atau ke-7.

Kelima, bersaie di Batnul Wadi iaitu di tempat yang termaktub. Tidak sah saie di luar dari kawasan Saie.

Keenam, hendaklah semasa saie niat kita tidak terpesong dari tujuan saie. Kadangkala kita tidak sedar semasa saie kita mencari orang atau sebarang tujuan yang lain.

Bergunting atau Bercukur

Sebaik selesai bersaie maka kita dikehendaki menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Sunat dilakukan di Bukit Marwah. Dan lebih afdhal lagi jika kepala dicukur botak bagi jemaah lelaki. Perbuatan menggunting atau bercukur ini dipanggil Tahalul. Dan selepas bertahalul maka gugurlah semua Pantang Larang dalam Ihram.

Mengenai bercukur untuk bertahalul sebaiknya selesai bersaie terus menuju ke Kedai Gunting untuk bercukur sebagai Tahalul Umrah. Bukannya kita menggunting rambut di Bukit Marwah  (dikira Tahalul) dan kemudian bercukur botak pula di Kedai Gunting Rambut.

Sekiranya sudah botak dan melakukan Umrah sekali lagi, maka semasa bertahalul memadai lalukan pisau di kepala sebagai isyarat untuk kita bertahalul.

Setelah selesai bertahalul kita sudah boleh menanggalkan Ihram dan berpakaian biasa semula. Dan jika mahu melakukan Umrah seterusnya kita boleh keluar ke Tanah Halal menuju ke Tempat Miqat untuk berniat Umrah semula dengan berpakaian Ihram.

tawaf baitullah

Tawaf Wida’ (Tawaf Selamat Tinggal)

Tawaf Wida dilakukan sebaik sahaja kita ingin meninggalkan Makkah dan pulang ke Tanah Air. Ianya sebagai penghormatan kita kepada Baitullah bahawasanya kita mahu meninggalkan Baitullah dan Kota Makkah. Mudah bicara seperti ucapan Selamat Tinggal kepada Baitullah dan Kota Makkah.

Seperti kita bertandang ke rumah kenalan, misalnya. Ketika ingin berpisah dengan Tuan Rumah, maka ikut adab kita harus berjabat salam dengan Tuan Rumah sebagai tanda perpisahan. Sekiranya selepas bersalam, kita masih tidak berganjak kerana masih lagi ada perbualan yang belum tamat dan mengambil masa pula, maka kita kena bersalam sekali lagi dengan Tuan Rumah sebagai isyarat perpisahan. Maknanya berjabat salam yang awal tadi tidak dikira sebagai salam perpisahan.

Begitu juga dengan Tawaf Wida’. Selepas selesai melakukan Tawaf Wida’ kita kena bersegera meninggalkan Makkah dan sudah tidak boleh lagi membeli belah atau bersenang-senang. Sekiranya bas yang ditunggu belum lagi sampai, kita kena kekal menunggu di Hotel Penginapan kita. Sekiranya terdengar azan, memadai kita melakukan Solat di Hotel Penginapan. Sekiranya kita solat di Masjidil Haram ,Tawaf Wida’ kita dikira batal dan harus mengulanginya semula.

Yang penting, Kita kena tahu bezakan antara keperluan dengan kehendak kita. Sekiranya keperluan seperti membuang air atau makan disebabkan oleh lapar ianya dibolehkan. Tetapi sekiranya perlakuan itu bagi memenuhi kehendak seperti membeli barangan misalnya, maka Tawaf Wida’ boleh dikira batal dan harus diulang semula.

Wassalam.