Assalamualaikum wb dan bertemu kembali.

Sebelum ini telah dinyatakan bahawa Rukun Umrah mesti dikerjakan. Dan jika ditinggalkan salah satu darinya Umrah menjadi batal. Kali ini saya akan sentuh satu persatu mengenainya supaya bakal-bakal jemaah Umrah terutama yang kali pertama dapat memahami dengan mudah.

masjid bir aliMasjid Bir Ali, tempat Miqat dari Madinah

Niat Umrah

Rukun Umrah yang pertama ialah berniat Umrah. Dan melakukan niat Umrah di Miqat pula ialah perkara wajib Umrah. Sungguhpun niat Umrah ini kerja hati, tetapi melafazkannya lebih menguatkan lagi bahawasanya kita ni memang nak melaksanakan Umrah.

Niat Umrah yang mudah ialah ” sahaja aku menunaikan Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala “. Jika bukan dalam bahasa Arab pun O.K dan dikira sah.

Apabila kita sudah berniat Umrah, kita tidak boleh membatalkannya. Maksudnya kita kena sempurnakan semua Rukun Umrah. Baru boleh berlepas diri dari semua Pantang Larang dalam Ihram. Tak boleh main “cup-cup” kata “tak jadi la buat Umrah” kerana melihat Dataran Kaabah yang sesak dengan jemaah ataupun merasa diri kurang sihat.

Ibadah lain mungkin kita boleh batalkan atas sebab-sebab tertentu. Ibadah puasa,  misalnya. Setelah berniat puasa tiba-tiba mendapati diri tidak upaya kerana terlibat dengan kemalangan, maka kita boleh saja berbuka. Bimbang puasa boleh memudaratkan. Tetapi ibadah Umrah dan Haji, kita tidak boleh membatalkannya begitu sahaja. Sekali sudah berniat Umrah atau Haji, maka kita kena sempurnakannya.

Niat Umrah Bersyarat

Niat Umrah bersyarat ini boleh berlaku kepada jemaah wanita yang bimbang mengenai Haid mereka. Ada 2 kategori niat bersyarat ini iaitu bagi

1. wanita yang bimbang jika Haidnya datang semasa tiba di Makkah atau

2. wanita yang telah sedia datang Haid dan bimbang jika Haidnya tidak kering sewaktu balik ke Tanah Air.

Kadang kala jemaah wanita yang stress juga boleh menyebabkan pusingan Haidnya tidak menentu. Jangka tak kena tapi sampai Makkah Haidnya datang. Jadi nak buat macam mana ?

Kes 1 

Jemaah yang pertama  haruslah berniat bersyarat seperti lafaz ” sahaja aku menunaikan Umrah dan berihram dengannya, dan jika berlaku keuzuran bagiku, maka halal lah aku”. Jadi sekiranya dia sampai di Makkah, tiba-tiba ketika ingin memulakan Tawaf ia kedatangan Haid, maka bebas lah ia darinya. Maknanya dia tidak perlu menyempurnakan Umrah yang telah diniatkan sebelumnya. Dan dia tidak perlu membayar Dam.

Jika setelah bersih dari Haid dan mahu menunaikan Umrah, maka dia kena keluar ke Tanah Halal yang terdekat di Tanaem untuk berniat Umrah. Lafaz niat Umrah sama seperti jemaah lain dan bukan jenis yang bersyarat.

Kes 2

Jika wanita yang Haid, ia kena berniat Umrah juga dan tidak terkecuali.  Tetapi lafaznya mungkin begini iaitu ” sahaja aku menunaikan Umrah dan berihram dengannya dan sekiranya Haidku ini tidak kering sehingga aku balik, maka Halal lah aku”. Jadi setibanya dia di Makkah, dia harus menunggu sehingga ia benar-benar suci, barulah boleh meneruskan ibadah Umrahnya iaitu Tawaf, Saie dan bertahalul.

Dan dia tidak perlu ke tempat Miqat seperti Tanaem misalnya untuk berniat Umrah lagi kerana niat Umrah yang pertama masih  “valid”. Tetapi sekiranya belum juga bersih sehingga balik maka ia berlepas diri darinya. Dan tidak perlu membayar Dam.

Peringatan Penting untuk Jemaah Wanita

Sebelum membuat keputusan untuk menunaikan Umrah, kena teliti terlebih dahulu masa pusingan Haidnya akan sampai. Dibimbangi berlaku seperti Kes 1 dan Kes 2 di atas. Kecuali bagi mereka yang pusingan Haid tidak menentu dan sukar diramal. Tetapi ada sejenis ubat yang boleh diperolehi di Farmasi untuk menghenti atau menghalang darah Haid keluar. Sebaiknya ikut nasihat doktor mengenainya. Almaklum tempoh Umrah bukannya lama macam Haji. Rasa rugi yang amat sangat bila dah sampai ke Tanah Suci tetapi tidak dapat beribadah. Dok dalam bilik aje. Memang tension.

Begitu juga ketika sudah berada di Makkah dan tinggal beberapa hari lagi untuk balik ke Tanah Air. Adalah lebih selamat jemaah wanita berkenaan berniat Umrah bersyarat seperti Kes 1 di atas supaya tidak timbul masalah nanti. Biasa berlaku jemaah sudah berniat Umrah tetapi sebaik nak mula Tawaf, Haidnya datang. Untuk menunggu bersih memang tak sempat kerana 2-3 lagi dah nak balik. Maka jemaah berkenaan terpaksa membayar Dam seekor Kambing untuk melepaskan dirinya dari semua Pantang Larang Ihram.

Tawaf di Baitullah 

Kunci utama dalam ibadah Umrah ialah Tawaf. Jika tawaf tidak sah bermakna saie yang dilakukan jadi sia-sia sahaja. Ini kerana syarat sah saie mestilah dilakukan setelah sempurnanya Tawaf. Kerana itu kita jangan ambil mudah mengenai Tawaf. Tawaf kita boleh menjadi batal disebabkan oleh beberapa sebab. Sebelum kita memahami pengertian Tawaf, ada baiknya juga kita mengetahui Sejarah Tawaf dalam entry terdahulu di bawah tajuk Sejarah Makkah dan Sejarah Tawaf ?

Pengertian Tawaf

Dalam bahasa yang mudah Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah dengan syarat-syarat tertentu. Sebenarnya ada beberapa jenis Tawaf yang perlu kita ketahui. Antaranya Tawaf Qudum  atau Tawaf Selamat Datang, Tawaf Ifadah (Tawaf Haji), Tawaf Umrah, Tawaf Sunat dan juga Tawaf Wida’ (Tawaf Selamat Tinggal).

Sungguhpun kategori Tawaf berbeza tetapi perbuatannya tetap sama iaitu mengelilingi Kaabah sehingga 7 kali pusingan dengan syarat-syarat yang tertentu. Bezanya ialah niat sahaja. Sungguhpun begitu Tawaf Qudum, Tawaf Sunat dan Tawaf Wida’ mesti bersandarkan Niat kerana ia tidak berdiri dengan sendirinya. Manakala Tawaf Haji dan Tawaf Umrah, jika terlupa niat pun tidak mengapa kerana ianya sudah termaktub di dalam Niat Haji ataupun Niat Umrah.

Sebagai contoh, orang yang berniat Umrah ketika memulakan Tawaf Umrah ia terlupa untuk berniat Umrah. Hukumnya Tawafnya sah kerana berniat Umrah sudah termasuk di dalamnya akan melakukan Tawaf dan Saie serta bertahalul (bercukur atau bergunting)

Cara Melakukan Tawaf

Pertama sekali hendaklah kita berdiri di salah satu penjuru Hajar Aswad (lihat gambarajah). Lebih afdhal kita hadapkan sepenuh tubuh kita ke Baitullah. Jika tidak dapat kerana kesesakan jemaah, memadai dengan menoleh sahaja ke arah Hajar Aswad sementara bahu kiri kita bersetentang dengan Kaabah serta berniat dengan jenis Tawaf yang hendak kita lakukan.

Kemudian, lakukanlah Istilam (yakni isyarat menjabat Hajar Aswad) dengan tapak tangan atau isyarat melambai-lambai ke arah Hajar Aswad sambil bertakbir ” Bismillahi Allahu Akbar walillahilham ” yang bermaksud ” Dengan nama Allah, Allah Maha Besar, segala kepujian untukNya ”

Selepas itu, kucuplah tapak tangan kita (hukumnya sunat). Kemudian pastikan badan mengirikan Kaabah (menjadikan Kaabah di sebelah kiri kita). dan ini hendaklah berkekalan sepanjang kita Tawaf. Berjalanlah ke hadapan sehingga cukup 7 pusingan. Bermula di salah satu dari 3 penjuru Hajar Aswad dan berakhir di situ juga dengan melebihkan ke hadapan.

 

tawaf 001Cuba perhatikan Gambarajah di atas

Kita boleh mulakan Tawaf bermula dari Garisan A, atau Garisan B atau Garisan C. Yang popular dan selalu diguna oleh jemaah ialah Garisan A kerana lebih mudah dan ada petunjuk Lampu yang berwarna Hijau di sudut atas penjuru yang bertentangan dengan Kaabah.

Tetapi jika kita nak bermula dari Garisan B atau C juga dibolehkan. Cuma kena pastikan jika kita bermula dari Garisan A maka tamat pusingan tawaf juga mestilah di Garisan A. Begitu juga jika mula dari Garisan B, tamat Tawaf juga mesti di Garisan B. Begitu juga jika bermula di Garisan C, maka tamat Tawaf juga mestilah di Garisan C.

mataf subuh 2

Semenjak adanya Mataf, kita boleh melakukan Tawaf pada Mataf di Tingkat 1 ataupun Tingkat atas sekali. Dan tempat permulaan Tawaf di Mataf boleh diketahui melalui Signboard yang berlampu Hijau dan tertulis ” Tawaf Start Here”. Pada bulan Disember yang lepas, hanya jemaah yang berkerusi roda dan peneman dibenarkan Tawaf di Mataf. Tetapi kunjungan saya semasa Ramadhan yang lepas, jemaah biasa juga dibenarkan menggunakan Mataf untuk melakukan Tawaf.

Bacaan dalam Tawaf

Bacaan dalam Tawaf sebenarnya tidak wajib. Nak baca doa apa pun boleh dan tidak semestinya dalam bahasa Arab. Memang bacaan doa dalam Buku Panduan Umrah boleh membantu. Tetapi jika kita tidak pandai baca tulisan Arab dibimbangi salah pula sebutannya nanti. Salah sebutan memungkinkan salah pula maknanya.

Tidak dinafikan makna doa Tawaf dalam Buku Panduan Umrah mengandungi makna yang baik. Ianya dicipta oleh Ulamak Silam sebagai satu kaedah untuk mengingati Pusingan-pusingan Tawaf. Tetapi jika tidak pandai membacanya, adalah lebih baik jika kita berdoa dalam bahasa kita sendiri. Doa yang lahir dari lubuk hati kita lebih kusyuk dan bermakna kerana kita faham apa yang ingin kita pohon kepada Allah.

Jadi jika tidak hafal Doa Tawaf, jangan panik. Kerana ianya bukan syarat Sah Tawaf.

Pengingatan

Andaikata kita terbatal di Pusingan 3 misalnya, maka kita hanya sambung semula bermula dari Pusingan ke3 dan bukan bermula dari Pusingan 1.

bersambung….