Assalamualaikum wbt dan bertemu kembali.

Seperti yang dimaklum awal, Tawaf ialah kunci utama dalam ibadah Umrah. Jika Tawaf tidak sah, maka saie juga jadi tidak sah, bergunting juga tidak sah dan dibimbangi akan dikenakan Dam bergantung kepada berapa jenis kesalahan yang dilakukan. Sebagai jemaah Umrah, kita kena tahu Syarat-syarat Sah Tawaf. Jangan main ikut-ikutan sahaja dibimbangi ibadah Umrah kita jadi batal dan dikenakan dam lantaran jahil mengenainya.

tawaf di mataf

Berikut ialah Syarat-syarat Sah Tawaf

1. Suci dari Hadas besar dan Hadas kecil.

Dalam makna mudah, mesti ada Wudu’. Sama juga seperti Solat, tidak sah solat jika tiada wudu’. Tawaf pun begitu juga. Dalam bab Wudu dan perkara yang membatalkan Wudu, ramai jemaah yang masih keliru mengenainya. Jika nak ikut takrifan Mahzab kita bersentuhan antara lelaki dan wanita akan membatalkan Wudu’. Sehinggakan ada yang nak bertaklik dengan Mahzab Hanafi atau Hambali misalnya.

Jangan risau. Pendapat Jumhur Ulama’ dan juga Tabung Haji menyatakan bahawasanya ada kaul dalam Mahzab Shafie yang membolehkan sentuhan antara lelaki dan wanita tidak membatalkan Wudu’ selagi tidak menaikkan syahwat. Jika tidak sampai bilapun Tawaf kita tak selesai-selesai kerana padatnya jemaah yang melakukan Tawaf sehingga mustahil jika tidak bersentuhan sesama jemaah.

Jadi kita wudu’ cara biasa dan fokus untuk melaksanakan Tawaf.

ihram lelakiIhram Lelaki Sebelum dan Selepas Tawaf

2. Suci pada badan, pakaian dan tempat Tawaf.

Suci pada badan membawa maksud badan kita tidak ada najis. Dalam kes membawa anak yang masih kecil (masih pakai pampers) atau anak lelaki yang belum berkhatan didokong oleh bapa atau ibunya semasa melakukan Tawaf. Kebanyakan Ulamak menyatakan tidak boleh kerana badan kita menanggung najis disebabkan bawa anak yang didokong itu.

Suci pada pakaian membawa maksud pakaian ihram yang kita pakai tidak ada najis. Semasa perjalanan dari Madinah ke Makkah, biasanya bas akan berhenti di pertengahan perjalanan untuk memberi peluang jemaah makan dan menunaikan Solat. Jemaah lelaki perlu berhati-hati ketika memasuki Tandas di tempat persinggahan. Ini kerana sukar untuk mencari tempat yang benar-benar bersih seperti RNR di tempat kita. Dibimbangi kain ihram yang di sebelah bawah boleh jadi terpercik air di tandas yang tidak bersih. Jika kain ihram kita sudah terpalit air najis, maka Tawaf yang kita lakukan jadi tidak sah. Jika merasa ragu-ragu lebih baik kita tukat kain ihram yang baru sebelum menunaikan Tawaf nanti. (Tukar di bilik hotel Makkah)

Tempat Tawaf juga mesti suci dari Najis. Mungkin ada yang bertanya boleh ke ada Najis di tempat Tawaf. Jawapannya boleh kerana boleh jadi ada anak-anak kecil yang terkencing semasa bersama-sama ibu bapanya menunaikan Tawaf. Tetapi saya yakin tempat Tawaf sentiasa bersih kerana petugas-petugas Masjidil Haram sentiasa membersihkan Dataran Tawaf dari masa kesemasa.

ihram tawafIhram Lelaki Semasa Tawaf

3. Menutup Aurat sebagaimana dalam Solat

Aurat lelaki ialah antara pusat dan lutut. Jadi semasa memakai kain ihram pastikan kain ihram sebelah bawah menutup bahagian pusat. Saya dapati ramai lelaki Arab yang mendedahkan pusat mereka semasa memakai ihram. Boleh jadi Mahzab mereka menyatakan aurat lelaki ialah yang menutup kemaluan sahaja dan tidak jadi satu kesalahan sekiranya nampak pusat. Mahzab Shafie lebih cermat dalam bab aurat ini.

Manakala aurat wanita ialah seluruh tubuh mereka kecuali muka dan tapak tangan. Sungguhpun begitu, dinasihatkan jemaah wanita memakai sarung lengan ketika tawaf. Dibimbangi semasa melakukan Istilam (melambai ke arah Hajar Aswad) terdedah sebahagian anggota lengan tangan. Lengan tangan wanita ialah aurat. Jika aurat terdedah maka tawaf pada pusingan yang berkenaan juga jadi tidak sah.

Begitu juga jemaah wanita kena berhati-hati mengenai anak rambut yang mungkin terkeluar sedikit dari telekung yang mereka pakai. Sebaiknya pastikan betul-betul aurat sedikitpun tidak terdedah semasa melakukan Tawaf.

4. Dimulai dari salah satu Penjuru Hajar Aswad.

Tawaf mesti bermula dari salah satu penjuru Hajar Aswad. Jika nak mudah, kita boleh lihat LAMPU HIJAU yang berada di bahagian atas penjuru Masjid yang menghadap Kaabah. Ramai jemaah yang menjadikan Lampu Hijau sebagai penanda tempat bermula dan berakhirnya Tawaf.

Dahulu ada di buat Garisan Hitam sebagai Garisan tempat bermulanya Tawaf. Tetapi kini Garisan Hitam berkenaan telah ditiadakan. Berkemungkinan kerana mahu mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

model tawaf 3

5. Menjadikan Kaabah sebelah kiri kita

Semasa memulakan Tawaf dan berjalan ke hadapan, pastikan setiap saat sepanjang Tawaf dari mula hingga selesai, bahu kiri kita bersetentang dengan Kaabah. Tetapi jangan pula berjalan seperti orang sedang berkawad demi nak memastikan bahu kiri kita bersetentang dengan Kaabah. Kelakar pula nampaknya nanti.

Seandainya bahu kiri kita teralih (mungkin disebabkan jemaah lain melanggar kita sehingga terpesong bahu) maka kita kena ulang semula Tawaf yang berkenaan di tempat di mana bahu kiri kita mula teralih arah. Maknanya kita undur ke belakang sedikit dan mulakan tawaf kita di tempat berlaku kejadian tersebut. Andainya tidak boleh undur ke belakang disebabkan kawasan Tawaf terlalu sesak, maka anggap sahaja pusingan Tawaf berkenaan batal dan kita ulang semula Pusingan Tawaf yang berkenaan.

6. Tawaf dilakukan di dalam Masjid dan di luar bahagian Kaabah

Maksudnya kita kena tawaf di kawasan Tawaf samada di Dataran Kaabah ataupun di Mataf yang baru dibina sekarang. Kita tidak boleh Tawaf di bahagian luar Masjid.

Begitu juga semasa Tawaf, kita tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Kaabah seperti Kain Kelambu Kaabah. Begitu juga kita tidak boleh sentuh Hijir Ismail kerana ianya sebahagian dari Kaabah. Dan tidak sah Tawaf kita juga andai ada yang mahu ambil jalan pintas dengan memasuki kawasan Hijir Ismail dan keluar ikut arah yang satu lagi.

Peringatan

Biasa terjadi kes di mana jemaah memegang Kain Kelambu Kaabah ketika melakukan Tawaf Umrah dalam keadaan empunya diri tidak mengetahui ianya tidak boleh dilakukan. Lebih malang, apabila jemaah berkenaan sudahpun menanggalkan ihramnya dan berpakaian biasa kerana beranggapan Umrahnya telah selesai dilakukan. Walhal menyentuh mana-mana bahagian Kaabah menyebabkan Tawaf pada pusingan yang berkenaan terbatal. Ini bermakna pusingan Tawaf yang dikira sah hanyalah 6 pusingan sahaja  walaupun yang dilakukan ialah 7 pusingan. Dalam keadaan ini Saie yang dilakukan juga tidak sah kerana syarat sah Saie hendaklah dilakukan setelah sempurna Tawaf.

model tawaf 2

7. Cukup 7 kali dengan yakin

Dalam Buku Panduan Umrah memang ada dibekalkan Doa Pusingan Tawaf bermula dari Doa Pusingan 1 sehinggalah Pusingan 7. Jika sudah habis membaca Doa di Pusingan 7 bermakna selesai sudah Tawaf Umrah kita.

Tetapi jika tidak menggunakan Buku Panduan Umrah dan mahu membaca doa sendiri dalam bahasa yang kita fahami, mungkin boleh keliru mengenai Pusingan Tawaf. Teringat kaedah yang dipraktikkan oleh Kak Ton Beauty Umaira ( Comel tak Kak Ton ? )bahawa ia akan letakkan 7 Gelang getah di tangan kanannya. Sebaik tamat satu pusingan maka satu getah akan diletakkan di tangan kirinya. Begitulah seterusnya sehingga kesemua 7 gelung getah berada di tangan kirinya bermakna telah sempurna 7 pusingan Tawaf yang dilakukan.

Saya rasa kaedah ini praktikal juga jika diamalkan semasa Tawaf.

8. Tujuan semata-mata Tawaf

Semasa Tawaf kita hendaklah fokus melakukan Tawaf dan tiada tujuan lain selain Tawaf. Kadang kala jemaah tidak sedar tujuan Tawaf boleh terpesong disebabkan oleh beberapa keadaan. Contohnya, ahli keluarga telah terpisah dari Kumpulan Tawaf, maka jemaah berkenaan sibuk memerhati dan tercari-cari ahli keluarga yang hilang semasa sedang Tawaf. Dalam keadaan ini jemaah berkenaan sebenarnya telah terpesong niat dari melakukan Tawaf kepada mencari ahli keluarga yang hilang.

makam ibrahim 2Makam Ibrahim

Solat Sunat Tawaf 

Sebaik selesai melaksanakan Tawaf dan yakin kita mematuhi kesemua syarat sah Tawaf, maka Sunat untuk kita melakukan Solat Sunat Tawaf. Afdhalnya di belakang Makam Ibrahim, tetapi jika keadaan terlalu sesak maka boleh sahaja Solat Sunat Tawaf itu dilakukan di mana-mana sahaja di kawasan Masjid.

Jika kawasan di belakang Makam Ibrahim sesak dengan jemaah yang sedang Tawaf, maka jangan pula kita Solat Sunat Tawaf di kawasan berkenaan. Jangan kerana nak buat yang Sunat iaitu Solat di belakang Makam Ibrahim, dalam masa yang sama kita melakukan perkara Haram iaitu menghalang orang lain untuk melakukan Tawaf.

Kita juga disunatkan untuk meminum air Zam-zam sebaik selesai Tawaf. Dan sebaiknya semasa meminum air Zam-zam kita berdoa di dalam hati mengenai hajat yang kita nak pohon kepada Allah. Ketika iman sedang memuncak itulah antara saat makbul doa. Mintalah apa sahaja permohonan kepada Allah, mudah-mudahan Allah kabulkan.

Hijir Ismail 2Hijir Ismail ialah kawasan lengkungan dan di atasnya ada Pancuran Emas

Solat Dalam Hijir Ismail

Jika ada kesempatan, cuba ambil peluang untuk Solat di dalam Hijir Ismail. Sebenarnya Hijir Ismail termasuk dalam bahagian Kaabah. Maknanya sesiapa yang solat di dalam Hijir Ismail, seolah-olah dia bersolat di dalam Kaabah. Dan semasa di dalam Hijir Ismail mohonlah kepada Allah sebarang hajat yang kita inginkan, kerana di situ antara tempat Makbul Doa.

Tetapi sekiranya selepas selesai Tawaf, kawasan Hijir Ismail tidak dibuka kepada jemaah maka bersegeralah kita menuju ke kawasan Mas’aa untuk melakukan ibadah Saie pula.

bersambung….