Assalamualaikum wbt.

makkah city2Impian untuk menunaikan Haji atau Umrah sememangnya perlu ada dan sentiasa ada dalam diri seorang Individu Muslim/Muslimah. Siapa yang tidak mahu ke Tanah Suci menunaikan Umrah ? Jika ada yang nak sponsor tambah teruja atau bergedik-gedik tak sabar nak pergi Umrah. Dan jika dapat Harga Separuh pun dah syukur alhamdulillah. Bisik dalam hati kita. Paling koman pun jika dapat harga yang paling rendah di Pasaran. Siapa yang tak teruja dengan Tawaran Umrah yang menarik dan amat murah.

Tetapi ramai sebenarnya tidak menyedari bahawasanya Tawaran Umrah Harga Rendah ini banyak mengundang risiko. Kekadang tu ada juga rasa cuak tetapi keinginan untuk ke Tanah Suci telah mengatasi segalanya. Mereka yang berani mengambil risiko ini sentiasa berdoa dan berharap semoga kabar-kabar negatif mengenai Umrah mereka tidak berlaku.

Risiko utama ialah Penipuan Pakej Umrah. Sudah banyak kali didedahkan di dada akhbar mengenai Kes Penipuan Umrah. Harga yang ditawarkan memang tidak munasabah tetapi kerana pertimbangan dibuat atas kemahuan dan bukannya fakta menyebabkan ramai yang terjerat. Memang kesian kepada mereka yang mengalaminya. Kerana kebanyakkan dari kalangan mereka terdiri dari warga emas dan bukan jenis orang berada pula.

Bukan Semua Yang Menipu ?

Tetapi bukan semua Tawaran Pakej Harga Rendah berniat untuk menipu dari awal. Tetapi jemaah gagal menunaikan Umrah atau tertangguh Umrah mereka disebabkan berlakunya Permasalahan Pakej Umrah yang disebabkan oleh faktor atau Kes seperti di bawah.

Kes 1 – Penipuan Tiket Penerbangan

Seperti mana jemaah yang tertarik dengan Harga Murah, Penganjur Pakej pun begitu juga. Jika ada pihak yang boleh menawarkan Harga Tiket yang amat murah, maka pastinya peluang ini direbut dahulu. Apabila tiba masanya baru tahu perkara tersebut tidak benar. Yang kasihannya ialah jemaah kerana turut sama menjadi mangsa.

Sebenarnya manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar kebendaan, hatta dalam Industri Haji dan Umrah. Bayangkan sekiranya Penganjur Pakej yang mendapatkan Tiket Flight dari Agen, tiba-tiba mendapati di saat akhir Tiket Flight mereka tiada. Tiada tiket tetapi wang mereka dikembalikan. Dan ada juga yang Tiada Tiket dan wang mereka juga turut lesap.

Ketika hal ini terjadi, apa langkah susulan yang perlu Penganjur Pakej ambil ? Jika wang dikembalikan mungkin boleh dicari Tiket lain. Tetapi jika wang tak dikembalikan ? Kerana itu berlaku jemaah tidak dapat terbang disebabkan oleh masalah sebegini.

Kes 2 – Penukaran Tarikh Penerbangan

Penukaran Tarikh Penerbangan boleh jadi disebabkan lambat memperolehi Visa. Atau boleh juga disebabkan oleh Kes 1 di atas. Jika ini berlaku maka Penganjur terpaksa mencari Flight Alternatif. Dan di saat-saat akhir amat sukar memperoleh Tiket Flight dalam kuantiti yang banyak untuk satu Kumpulan Umrah. Maka ahli Kumpulan Umrah terpaksa dipecah-pecahkan kerana Penganjur Pakej hanya mendapat Tiket yang sedikit dan tidak cukup untuk satu Kumpulan.

Apabila dipisahkan ahli Kumpulan, maka ianya perlu juga dirujuk dengan ahli yang ada kaitan Mahram. Jika anggota Mahram dipisahkan dan ambil Flight yang berbeza, pasti masalah akan timbul semasa di sana nanti. Dan sudah pasti Harga Tiket yang dicari dalam lingkungan budget Harga Rendah mereka supaya tidak mengalami kerugian atau sekurang-kurangnya kerugian boleh diminimakan.

Kes 3 – Pertukaran Tempahan Hotel

Apabila Kes 1 dan/atau Kes 2 berlaku, maka Penganjur terpaksa membatalkan Tempahan Lama dan membuat Tempahan Baru untuk kemasukan Jemaah di Hotel Madinah dan Makkah. Penganjur terpaksa menanggung kerugian kerana pembatalan Tempahan Lama kerana biasanya wang deposit tidak dikembalikan. Tambah malang sekiranya bayaran  sudah dibayar kesemuanya. Memang tak boleh dapat balik duit tu. Dalam masa yang sama, Tempahan Kemasukan Hotel yang baru juga perlu dibayar.

alharam madinahTempahan Hotel pada saat-saat akhir memang menyukarkan. Jika dapat pun, biasanya Harga bilik jadi lebih mahal. Dan yang lebih trajis hingga di saat-saat akhir tempahan bilik hotel gagal diperolehi. Atau 1 malam menginap di hotel lain dan malam berikutnya di hotel yang lain pula. Jika ini berlaku, pastinya ramai jemaah yang tidak berpuas hati. Di pihak Penganjur, yang penting jemaah mendapat tempat penginapan, walaupun hakikatnya mereka kini menanggung kerugian. Kekadang saya dapat merasai kesedihan yang ditanggung oleh Penganjur Pakej,  Dah lah rugi, kena marah pulak tu”

Kes 4 – Kegagalan Menunaikan Umrah

Kemuncaknya ialah kegagalan jemaah menunaikan Umrah. Bagi Penganjur Pakej yang bertanggungjawab, sedaya upaya mereka berusaha menunaikan hajat jemaah ke Tanah Suci. Tetapi jika Penganjur Pakej yang mempunyai masalah kewangan?  Bagaimana nak menampung kos jemaah untuk ke sana sekiranya wang bayaran tiket Penerbangan dan juga bayaran Hotel di Tanah Suci telah dibelanjakan kesemuanya dan tidak dapat dikembalikan ? Di pihak jemaah pula memang menyedihkan. Mereka tidak dapat ke Tanah Suci bukan disebabkan oleh mereka.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk membela Penganjur Pakej. Yang penting bakal jemaah dapat memahami mengapa sesuatu Permasalahan Umrah itu terjadi. Kerana sebaiknya bakal jemaah ambil sikap lebih berhati-hati dalam memilih sesuatu Pakej Umrah supaya permasalahan yang diceritakan di atas tidak berlaku pula kepada mereka nanti.

Wassalam.