Assalamualaikum wbt.

Pejam celik pejam celik secara sedar ataupun tidak, hampir sebulan kita telah berpuasa dan tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya ‘Idil Fitri. Sebelum kita bergembira merayakan Sambutan ‘Idil Fitri ada baiknya kita muhasabah diri kita adakah Ramadhan pada tahun ini lebih baik bagi kita berbanding Ramadhan sebelumnya ? Atau ianya sama sahaja seperti tahun-tahun lepas ? atau lebih teruk lagi ? Teringat pesan Nabi s.a.w “amatlah rugi pada diri seorang hamba Allah  sekiranya dia tidak mendapat keampunan dari Allah s.w.t. dalam bulan Ramadhan ini.. Nauzubillah ..

idil fitri

Teringat saya ketika berada di Makkah suatu ketika dahulu di musim akhir Ramadhan. Mereka langsung tidak mempedulikan sambutan Hari Raya. Yang mereka fokus ialah untuk menghidupkan 10 malam yang akhir dengan harapan bertemu dengan Lailatul Qadar. Dan mereka amat merasa sedih dan sayu apabila Ramadhan mahu meninggalkan mereka. Syawal yang menjelma mereka sambut ala kadar sahaja, memadai dengan melakukan Solat ‘Idil Fitri dan kemudian kembali ke rumah masing-masing.

Berbeza dengan keadaan masyarakat kita Malaysia. Dua minggu lagi nak Raya sudah berkumandang lagu-lagu Raya di corong-corong Radio. Kelihatan di mana-mana bandar, masyarakat kita sibuk membeli belah sempena persiapan menyambut Raya. Habis terkorban Solat Terawih mereka. Nak tunggu Malam Lailatul Qadar, jauh sekali. Kanak-kanak pula sibuk dengan meriam dan mercun sehingga mengganggu jemaah yang sedang solat Terawih. Ibu-ibu pula sibuk mengemas rumah dan menghias rumah supaya kelihatan cantik semasa Raya nanti.

Tetapi tahukah kita apa maknanya Sambutan ‘Idil Fitri itu ?

Dalam bahasa Arab “Id” bermakna perayaan atau hari ulang tahun. “Fitri” pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya pada 1 Syawal, umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.  “Fitri” juga bermakna “kembali kepada fitrah”. Iaitu selepas kita berpuasa selama sebulan dan beramal di dalamnya dengan menghidupkan Ramadhan dengan berpuasa di siang hari dan melakukan Solat Terawih di malam hari dan juga berqiamulail, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat, bersedekah dan melakukan amal kebajikan yang lain dengan harapan ianya dapat melebur segala dosa-dosa kita yang telah lalu.

Moga-moga amalan-amalan yang dilakukan dapat mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa. Iaitu insan yang sentiasa patuh pada hukum Allah dan juga mendapat keampunan dari Allah. Insan sebegini diibaratkan seperti bayi yang baru lahir. Bayi yang baru lahir mana ada dosa. Maknanya bulan Ramadhan ialah bulan Penyucian dosa bagi hamba-hambaNya. Dan sewajarnya kita bergembira menyambut kemenangan melawat hawa nafsu dengan meraikan “Idil Fitri. Tetapi cara bagaimana kita meraikan kemenangan itu ?

Cara mana sepatutnya ‘Idil Fitri disambut ?

Pertamanya ialah dengan melaungkan Takbir Hari Raya iaitu ucapan mengagungkan Allah. Takbir Hari Raya itu juga sebenarnya ialah manifestasi kesyukuran kita atas nikmat mendapat Petunjuk dan Hidayah menjadi seorang insan yang beriman dan bertaqwa. Sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : ” Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid.”

takbir Hari Raya

Menghadiri Upacara Solat ‘Id

Umat Islam tanpa mengira umur dan jantina hatta wanita yang datang haid juga disunatkan untuk menghadiri upacara perhimpunan Solat ‘Id yang merupakan muktabar tahunan masyarakat Islam setempat. Daripada Ummu ‘Atiyah r.a katanya ” Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan wanita-wanita yang haid pada dua Hari Raya (‘Idil Fitri dan ‘Idil Adha) agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa orang muslimin, tetapi wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat”

Sunat bagi kita sebelum ke masjid untuk menjamah juadah makanan terlebih dahulu. Syara’ mensunatkan pada pagi Hari Raya kita mandi dan memakai pakaian serba baru atau bersih. Kemudian kita pergi ke Masjid melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Kita sama-sama mengucapkan salam ‘Idil Fitri dan bermaaf-maaf sesama kita.

ziarah raya2

Ziarah Menziarahi sesama Saudara

Selepas bermaaf-maafan sesama anggota keluarga, kita digalakkan untuk ziarah menziarahi saudara mara, kaum kerabat dan orang-orang yang berjasa kepada kita seperti guru-guru dan sahabat handai. Namun begitu sebenarnya ziarah menziarahi ini tidak perlu nak tunggu Hari Raya sahaja, tetapi kita boleh lakukan pada hari dan bulan yang lain, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “ Ziarahilah saudara mara kamu dari masa ke semasa, kerana ia boleh menambahkan kasih sayang.” Dan dalam hadis yang lain Nabi menyebut maksudnya ” barang siapa yang mahu dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezekinya, maka hendaklah dia menjalin Silaturrahim”.

Perlu diingat ‘Idil Fitri ialah perayaan agama. Amat tidak wajar sekiranya kita mencampur adukkan sambutannya dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat.

Saya teringat kiasan yang diberikan oleh seorang Ustaz di Radio IKIM FM baru-baru ini. Beliau memberikan contoh seorang Pemuda yang berbau busuk, kusut masai pakaiannya masuk ke dalam Masjid.  Tiba-tiba datang seorang hamba Allah membawanya pulang ke rumah dan kemudiannya pemuda ini dimandikan, dipakaikan minyak wangi dan diberi pakaian yang bersih. Maka selepas itu kelihatan Pemuda itu telahpun bersih dan berbau wangi, tidak seperti sebelumnya. Maka logikkah Pemuda yang sudah bersih itu membiarkan dirinya berkeadaan seperti sebelumnya iaitu dengan tidak mandi berhari-hari dan juga tidak bertukar pakaian. Sama keadaannya sebelum dia menjejakikan kaki ke Masjid sebelum ini.

Demikianlah perumpamaan dengan Ramadhan. Kemunculan Ramadhan telah berjaya mengubah sikap kita yang sebelum ini terlalu asyik bergelumbang dengan dosa dan maksiat, malah solat pun jarang ditunaikan tetapi di bulan Ramadhan kita telahpun berpuasa serta menunaikan Solat 5 waktu dan ditambah lagi dengan solat-solat sunat yang lain. Tiba-tiba setelah berlalunya Ramadhan, kita kembali kepada sikap asal kita yang cenderung ke arah kemaksiatan. Bukankah tujuan diwajibkan puasa ke atas kita dengan harapan mudah-mudahan kita menjadi Insan yang bertaqwa ? Apa maknanya setelah kita dah bersih kemudian kita sengaja mengotorkan diri kita semula ? Seperti kiasan yang diberikan oleh Ustaz tadi ?

Fikir-fikirkan lah dan selamat beramal.

Akhir kalam pada kesempatan ini saya sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut ‘Idil Fitri yang bakal menjelang dan Maaf Zahir dan Batin.