Assalamualaikum wbt.

Tak lama lagi Jemaah Haji Malaysia akan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan Fardhu Haji. Kabarnya 7hb September 2013 yang bersaman dengan 1 Zulkaedah ialah penerbangan yang pertama atau KT1. Sebelum Jemaah Haji berangkat ke tanah suci, ada baiknya saya ceritakan mengenai Prosedur Keberangkatan Haji  yang perlu Jemaah Haji ketahui supaya segala urusan Haji nanti berjalan dengan lancar dan tidak mendatangkan masalah. Boleh jadi apa yang bakal diceritakan telah diterangkan semasa Kursus Haji Perdana. Tetapi ada baiknya juga sekiranya info ini boleh dikongsi bersama dengan mereka yang belum lagi terpilih dan boleh dijadikan panduan pada masa akan datang.

kaunter daftar pakej swastaTaklimat Keberangkatan Pakej Swasta sebelum memasuki Bangunan Tabung Haji untuk “check in”

Sebaik sahaja mendapat Surat dari Tabung Haji mengenai Jadual Pendaftaran Haji di Kelana Jaya dan juga Jadual Berlepas, Jemaah Haji sudah boleh membuat persiapan dan persediaan yang patut mengenai barang-barang keperluan yang perlu dibawa. Jemaah Haji harus datang awal ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya kira-kira 2 jam sebelum Waktu Pendaftaran. Tempoh 2 jam itulah sepatutnya digunakan oleh Jemaah Haji untuk berjumpa dengan sanak saudara dan rakan taulan yang menghantar jemaah tersebut. Boleh jadi ada kiriman dan pesanan dari rakan yang menghantar Jemaah Haji.

check in kelana jaya

Sekiranya Jemaah Haji tiba di Kelana Jaya tepat pada masa pendaftaran, dibimbangi ramai saudara mara dan rakan taulan yang kecewa kerana tidak dapat berjumpa untuk mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji. Ini kerana sebaik sahaja Jemaah Haji sudah memasuki bangunan untuk mendaftar masuk “check in” , Jemaah Haji sudah tidak dibenarkan untuk keluar berjumpa sesiapa sahaja bagi mengucapkan Selamat Jalan.

xray bagasi

Semasa proses “check in”, Jemaah Haji  hendaklah membawa sendiri bagasi masing-masing ke dalam bangunan Tabung Haji Kelana Jaya untuk di “x-ray” oleh mesin pengimbas. Selepas melalui mesin “x-ray”, bagasi Jemaah Haji akan mula ditimbang oleh Petugas Airlines yang sedia ada di bangunan Tabung Haji tersebut. Selepas selesai, Jemaah akan diberikan Kupon Penerbangan atau “boarding pass” yang berwarna dan juga Pasport Antarabangsa Jemaah. Kupon Penerbangan mempunyai 4 warna merujuk kepada Zon Tempat Duduk Jemaah Haji di dalam Pesawat samada di bahagian hadapan atau tengah atau bahagian belakang.

gelang haji

Sebelum itu Jemaah Haji akan diberi Gelang Tangan yang bertujuan sebagai Pengenalan Diri Jemaah Haji di Tanah Suci. Tetapi sekiranya Gelang Tangan tidak diperolehi, Jemaah Haji dinasihatkan jangan panik pula sehingga memarahi Petugas Tabung Haji. Gelang Tangan Jemaah Haji mula diperkenalkan selepas berlakunya Tragedi Terowong Muassem suatu ketika dahulu di mana terlalu ramai Jemaah Haji yang meninggal dunia akibat kesesakan di Terowong Muassem sehingga mayat sukar untuk dikenali. Tetapi sekarang Terowong Muassem selamat digunakan kerana sudah ada 2 laluan Terowong untuk Jemaah Haji yang berulang alik dari Khemah Mina ke Jamrat yang tidak akan bertembung semasa pergi dan balik.

Lencana Pengenalan Haji

Jemaah Haji juga akan diberikan Lencana Pengenalan Diri Jemaah Haji. Lencana Pengenalan Diri  Jemaah Haji ini mengandungi maklumat mengenai Nama Jemaah Haji, No.Pasport Haji, Gambar Jemaah Haji, Maktab berapa di Tanah Suci beserta dengan “Bar Code”. Jangan hilangkan Lencana Pengenalan Diri ini kerana ianya sebagai ganti Pasport Jemaah Haji dan boleh digunakan semasa Jemaah Haji ingin  membuat Pengeluaran Wang di Kaunter Pengeluaran Wang Tabung Haji di Makkah dan Madinah nanti. Jangan bawa Buku Akaun Tabung Haji kerana ianya tidak diperlukan semasa di sana nanti.

Seingat saya, sebelum Jemaah Haji memasuki Bangunan Kompleks Tabung Haji untuk proses “check in” bagasi, di bahagian luar Bangunan ada satu Kaunter Agihan Barangan Hadiah dari Tabung Haji. Biasanya Jemaah Haji akan dihadiahkan Beg Troly dan hadiah-hadiah iringan yang lain tertakhluk dari sumbangan Penaja. Pernah suatu ketika Jemaah Haji dihadiahkan Kit Ubat-ubatan atau “Toileteries”, pernah juga mendapat hadiah Payung, atau Tikar Lipat untuk kegunaan semasa di sana nanti dan pelbagai barangan hadiah yang lain. Untuk tahun ini terima aje lah apa-apa hadiah sumbangan dari Penaja selain dari yang saya nyatakan di atas.

Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji  ?

Jemaah diingatkan supaya meletak Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji atau selalu disebut Buku Kesihatan di bahagian tepi Beg Sandang bersama Pasport Antarabangsa yang baru diterima untuk memudahkan pihak Tabung Haji membuat pemeriksaan. Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji amat penting dan tidak boleh tertinggal. Ini kerana Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji akan digunakan semasa di Tanah Suci ketika Jemaah Haji  datang ke Klinik Tabung Haji untuk mendapatkan rawatan sekiranya demam, sakit dan sebagainya. Buku Rekod Rawatan  Jemaah Haji mengandungi segala rekod Perubatan Jemaah yang boleh dijadikan rujukan oleh Doktor Bertugas semasa di tanah suci nanti.

buku kesihatan

Selepas mendapat Pasport, Kupon Penerbangan dan yang lainnya, jemaah diarahkan untuk naik ke Dewan Taklimat yang terletak di Tingkat 1, Bangunan Tabung Haji Kelana Jaya. Jemaah akan diberi Tayangan “Slide” mengenai perkara-perkara yang perlu jemaah ketahui mengenai keadaan di tanah suci. Antara maklumat yang diberi ialah mengenai Jadual Waktu Solat Makkah dan Madinah, keadaan suhu di sana, kadar tukaran wang, penjagaan kesihatan, aspek keselamatan jemaah di tanah suci dan pelbagai lagi maklumat yang berkaitan dengan jemaah Haji.

Untuk makluman, di bahagian belakang Dewan Taklimat, biasanya ada disediakan Kaunter untuk Tukaran Wang. Sebelum Taklimat Haji dimulakan, Jemaah Haji boleh menukar wang Ringgit Malaysia kepada Saudi Riyal. Ada juga dijual Sim Kad untuk kegunaan semasa di tanah suci nanti.

bas tabung haji

Sebaik selesai Taklimat, jemaah Haji akan dibawa menaiki bas yang telah sedia menanti untuk membawa jemaah ke Airport KLIA.  Jemaah Haji dinasihatkan jangan berebut-rebut kerana semua Jemaah Haji pasti akan dapat menaiki Bas untuk dibawa ke KLIA.  Seingat saya tidak kurang dari 9 buah bas yang akan membawa Jemaah Haji dari Kelana Jaya menuju ke KLIA. Dan di sepanjang laluan bas ke KLIA ianya akan diiringi oleh Polis Trafik. Yang bestnya terasa kita ni macam VVIP pula kerana tidak akan ada sebuah kenderaan pun yang dibenarkan memotong Konvoi Bas tadi sehinggalah memasuki lapangan KLIA.

Sebaik sampai di KLIA, Jemaah Haji akan diarahkan untuk berehat seketika di kawasan yang dikhaskan sebelum dibawa masuk ke dalam Pesawat yang telah sedia menanti. Jemaah Haji akan dipanggil memasuki Pesawat berdasarkan warna Kupon Penerbangan Jemaah. Lazimnya Warna Kupon Penerbangan yang diperuntukan “seat” di bahagian belakang Kapalterbang yang akan dipanggil dahulu untuk memasuki Kapalterbang. Dan yang paling akhir dipanggil ialah warna Kupon Penerbangan yang “seat” nya di bahagian hadapan Kapalterbang. Untuk makluman, Kupon Penerbangan Jemaah adalah “free seating” dan jemaah bebas untuk duduk di Zon mengikut warna Kupon Penerbangan tadi.flight saudi

Untuk makluman, semua Penerbangan Awal KT Tabung Haji akan memasuki Madinah dahulu, tidak kira samada flight mendarat di Airport Madinah atau mendarat di Airport Jeddah. Cuma yang mendarat diJeddah terpaksa menaiki Bas Muasasah untuk ke Madinah. Maka Fasa 2 Perjalanan Haji pula ialah mengenai kehidupan seharian jemaah di Madinah.

Manakala bagi Penerbangan Akhir KT Tabung Haji akan memasuki Makkah dan jemaah dikehendaki berpakaian Ihram  di Kelana Jaya lagi dan berniat di dalam Kapalterbang.  Dan Fasa 2 Perjalanan Haji bagi Jemaah KT Akhir ialah kehidupan jemaah di Makkah.

Teringat saya mengenai seorang Jemaah yang naik angin kerana beliau mendaftar di Kelana Jaya paling awal tetapi mendapat “seat” di bahagian belakang Pesawat. Nasihat saya terima aje lah nak duduk di bahagian mana sekalipun. Yang penting dapat menunaikan Ibadah Haji di Tanah Suci. Selamat berangkat ke Tanah Suci dan pulang dengan membawa Haji Yang Mabrur, insyaaAllah.

Wassalam.