Assalamualaikum wbt.

Pengalaman mengendalikan Pakej Umrah Idaman sebelum ini membuatkan saya merancang untuk setting 2 standard pakej untuk Pakej Umrah Idaman ini. Ini dilakukan bagi merealisasikan impian bakal-bakal Tetamu Allah untuk mendapatkan pakej Idaman pada harga yang disanggupi.  Al-maklum semua orang mahukan yang terbaik, dan jika boleh diperolehi pada kemampuan yang ada, syukur alhamdulillah.

Hotel-hotel Pakej Idaman 1 dan 2 di Makkah

Perancangan Umrah Idaman 1

Sebelum ini saya ada memberitahu kesukaran untuk mendapatkan Hotel Retaj al-bayt. Hotel ini yang paling saya gemari selain Movenpick berbanding dengan hotel-hotel yang lain di bangunan Zamzam Tower. Dan hotel Retaj ini juga menjadi rebutan Pengendali Pakej dari Indonesia, Mesir dan negara-negara Arab yang lain. Mereka mempunyai kemampuan kewangan untuk memajak bilik-bilik di hotel ini samada secara ikut tingkat atau ikut bulan atau tahun. Oleh yang demikian, harga sewa bilik di hotel ini pasti akan lebih tinggi bila kita dapatkan dari mereka yang sudah memajak hotel ini. Namun begitu untuk musim 2013 nanti, saya akan cuba mencari jalan agar Ajwa Travel berjaya untuk mendapatkan Hotel Retaj ini.

Hotel Retaj al-bayt yang menjadi rebutan

Sekiranya tidak memperolehi Retaj, maka alternatif terbaik ialah Hotel Royale Orchid Safwah. Hanya kedua-dua hotel ini yang paling hampir sekali dengan Masjidil Haram. Menginap di Safwah, jemaah akan bersarapan pagi di hotel, manakala untuk makan tengahari dan makan malam di Restoran d’saji Felda yang terletak di tingkat 2 bangunan ini. Ini membuatkan jemaah selesa kerana tidak perlu berjalan jauh untuk mendapatkan makanan. Selesai makan terus naik atas ke bilik. Yang seronoknya makan di Restoran d’saji ini jemaah berpeluang untuk bertemu dengan rakan-rakan jemaah Malaysia yang turut sama menunaikan Umrah tetapi mengikut Agensi yang lain. Untuk makluman, selain kedua-dua hotel di atas, hotel Dar Eiman dan Ghufran yang terletak di bangunan Safwah Tower ini juga sesuai untuk jemaah.

Saya merancang untuk setting Pakej Umrah Idaman 1 ini menginap samada di Hotel Retaj al-bayt atau Royale Orchid Safwah. Jika gagal diperolehi maka Hotel Dar Eiman atau Ghufran atau Movenpick (dalam bangunan Zamzam Tower) akan dipilh sebagai alternatif. Bezanya di Hotel Retaj al-bayt, jemaah akan makan di hotel ini kerana makanan luar dibenarkan masuk. Tetapi selain Retaj, jemaah akan sarapan pagi di hotel dan makan tengahari dan makan malam di Restoran d’saji Felda.

 

Perancangan Umrah Idaman 2

Jemaah akan menginap di Hotel Fairmont dalam bangunan Zamzam Tower. Lokasinya betul-betul di bawah Jam Besar. Cuma hotel ini jauh sedikit berbanding dengan Hotel-hotel Pakej Idaman 1. Jemaah akan bersarapan pagi di hotel tetapi tiada “lunch” dan “dinner”. Ini bermakna jemaah mempunyai banyak pilihan untuk makan samada di kedai-kedai makan yang terletak di bangunan ini ataupun membelinya di deretan kedai di Makkah Tower (Hilton) dan membawa masuk ke bilik masing-masing.

Pengalaman kami sebelum ini, oleh kerana jarak bilik penginapan dan Restoran d’saji Felda agak jauh untuk jemaah berjalan kaki (ini kerana berlainan bangunan), maka ramai jemaah yang malas untuk pergi makan di Restoran d’saji. Yang kesiannya jemaah kerana mereka sudahpun membayar kos pakej tetapi tidak mengambil makanan. Malah ada jemaah yang mengeluarkan kos sendiri untuk membeli makanan di kedai makan yang berhampiran dengan bilik penginapan mereka. Maka saya beranggapan lebih baik kos makanan jemaah di Makkah ditiadakan dalam Harga Pakej Idaman 2 ini. Mungkin boleh jimat antara RM500 – RM1000 bagi seorang jemaah.

Penginapan di Madinah ?

Untuk kedua standard Pakej Idaman 1 dan 2 ini, akan menginap di Hotel Ansar Golden. Keterangan mengenai hotel ini ada saya post dalam entry yang terdahulu di bawah tajuk  http://iqbalsafwan.com/umrah-idaman-jun-2012-madinah/

Jenis Penerbangan ?

Untuk Pakej Idaman 1 dan 2, saya cuba dapatkan flight Saudi sektor KUL-Medina dan Jeddah-KUL. Atau sektor yang sama melalui flight MAS Charter. Tetapi ada juga yang mahu sektor KUL-Jeddah dan Medina-KUL iaitu masuk Makkah dahulu baru balik ikut Madinah.

Bilangan hari samada 13 hari dan 11 malam atau 12 hari dan 10 malam, bergantung kepada jadual penerbangan yang diperolehi.

Manakala aktiviti ziarah adalah sama sahaja baik di Madinah ataupun Makkah.

Harga Pakej ?

Saya angggarkan harga Pakej Umrah Idaman 1 ini sekitar RM7500 ke atas. Tetapi ini belum confirm lagi sebab harga ini hanya anggaran sahaja. Untuk makluman harga sewa bilik di hotel-hotel Idaman 1 dan 2 untuk musim 2013 ini belum dikeluarkan lagi. Biasanya selepas musim haji atau bulan Muharram baru dikeluarkan.

Oleh kerana tiada kos makanan di Makkah, (di Madinah ada makanan 3 kali sehari), maka harga Pakej Umrah Idaman 2 lebih murah antara RM500 – RM1000 dari Umrah Idaman 1. Namun begitu ini hanyalah anggaran harga sahaja dan belum muktamad.

Apabila sudah mendapat harga sebenar tiket flight dan bilik-bilik di hotel berkenaan, baru saya akan publish di blog ini atau website yang dalam pembinaan iaitu www.ajwatravel.net

Saya galakkan bakal jemaah yang berminat supaya mendaftar awal dengan email kepada saya menerusi alamat email hjiqbal.safwan@gmail.com dengan menghantar nama-nama jemaah yang ingin menyertai. Bila dah ada nama-nama jemaah, saya boleh merancang untuk membuat tempahan tiket flight lebih awal.

Jumpa lagi dan Wassalam.