Assalamualaikum wbt.

Tahun ini ramai yang hampa dan kecewa kerana tidak dapat peluang menunaikan fardhu Haji di tanah suci. Maka dijngkakan ramai yang membuat keputusan untuk menunaikan Umrah bagi mengubat hati yang berduka lara tidak dapat pergi Haji. Ramai yang “call” saya bertanyakan Pakej Umrah Harga Rendah dan meminta saya buat pakej sama seperti di luar sana. Ada harga pakej serendah RM4000. Boleh percaya ke ? Tanya mereka kepada saya.

Sebenarnya kita kena faham faktor yang mempengaruhi harga sesuatu pakej Umrah.

Harga Tiket Flight ?

Pertama, ialah harga tiket sesuatu penerbangan. Flight Saudi dan MAS iaitu jenis penerbangan direct ke Saudi pastinya lebih tinggi berbanding dengan jenis Penerbangan transit. Tambahan lagi jika flight yang datangnya dari negara Hindi seperti Air India, Air Lanka, Biman airlines ataupun Pakistan Airlines. Jenis flight sebegini harganya secara relatif murah dan biasanya mengkehendaki penumpang untuk bermalam di negara berkenaan. Biasanya Hari ke-2 sebelah petang baru terbang ke Jeddah dan sampai Madinah masuk Hari yang ke-3. Perjalanan yang panjang dan memenatkan. Ini belum lagi dengan masalah flight “delay” yang kerap berlaku di negara berkenaan. Memang kena banyak bersabar.

Ada juga flight transit berharga murah dari negara-negara Arab seperti Yemen Air. Yang ini saya tak boleh komen kerana saya sendiri tidak pernah menggunakan flight yang berkenaan. Cuma kebiasaannya yang saya tahu jenis flight sebegini tiket mereka “not refundable”. Maknanya jika berlaku masalah tidak boleh terbang disebabkan oleh masalah visa Umrah yang belum keluar pada masa berlepas maka Penganjur berputih mata. Terpaksa menggunakan dana tambahan untuk mencari tiket alternatif.

Standard Hotel dan Jarak Hotel ke Masjidil Haram

Faktor kedua ialah jenis atau standard hotel penginapan di tanah suci. Hotel bertaraf bintang dan hampir dengan Masjidil Haram pastinya lebih mahal berbanding dengan hotel bertaraf bintang tetapi jauh dari Haram. Begitu juga harga hotel jenis ekonomi, pastinya perbezaan harga berdasarkan kepada jarak bangunan dengan Masjidil Haram. Di kawasan Makkah sekarang ini, hanya kawasan Ajyad sahaja yang masih “available” untuk penempatan jemaah. Kawasan Misfalah yang popular bagi jemaah Malaysia sebelum ini sudahpun dimusnahkan dalam Pelan Pembangunan Semula Makkah. Saya jangkakan harga hotel pasti meningkat untuk musim 2013 nanti.

Biasa terjadi harga yang ditawarkan hanya gimik semata-mata bagi memancing jemaah mengikut pakej mereka. Apabila jemaah sudah mendaftar baru dinyatakan penambahan kos yang sepatutnya jika mahu Pakej Sepenuhnya. Kadang-kala harga yang ditawarkan hanya kos tiket flight, visa umrah dan harga bilik di tanah suci. Belum masuk kos makan minum, ziarah dan sebagainya. Dan akhirnya apabila dicampur kesemua kos yang terlibat harganya lebih kurang sama sahaja dengan pakej yang lain. Malah ada yang lebih mahal lagi.

Sebaiknya sebelum memilih Pakej Umrah, tanya dahulu rakan-rakan yang pernah menunaikan Umrah sebelum ini. Tanya pengalaman mereka bermula dari saat mula terbang, semasa di tanah suci dan proses keberangkatan balik. Saya yakin pengalaman yang dialami oleh mereka boleh dijadikan iktibar dan panduan dalam memilih sesuatu Pakej Umrah. Wang boleh dicari tetapi kepuasan dan kenikmatan beribadah di tanah suci tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Tambahan pula yang baru pertama kali mahu menunaikan Umrah. Jadikanlah pengalaman pertama menunaikan Umrah sebagai kenangan terindah yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayat.

Jumpa lagi dan Wassalam.