Assalamualaikum wbt. dan Selamat Hari Raya.

Tak lama lagi bakal-bakal jemaah Haji Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan Fardhu Haji. Pada kesempatan ini saya suka berkongsi pengalaman dan info mengenai Senario Perjalanan Haji bermula dari Proses Keberangkatan ke Tanah Suci  hinggalah jemaah kembali ke Tanah Air, insyaAllah. Mudah-mudahan perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada bakal-bakal Jemaah Haji. Boleh jadi info yang akan disentuh nanti ada yang memang tidak pernah diceritakan semasa Kursus Haji mahupun buku-buku ilmiah mengenai Haji. Ini kerana info yang bakal disentuh nanti adalah berdasarkan kepada pengalaman saya.

makkah city2

Hal-hal yang berkaitan dengan Hukum Hakam Ibadah Haji, saya percaya bakal-bakal Jemaah Haji telah pun mengetahuinya melalui Kursus Haji yang dilalui selain dari pembacaan mengenainya. Persoalannya, adakah kita telah benar-benar bersedia untuk ke sana ? Yakinkah kita bahawasanya kita telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi Perjalanan Haji selama 40 hari atau lebih di Tanah Suci ? Hakikat yang mesti kita fahami ialah Kerja Haji benar-benar menuntut kecergasan fizikal jemaah Haji. Cergas dan sihatkah kita ?

Saya suka memberikan beberapa Tip yang mungkin boleh dikongsi dan jika ianya sesuai boleh dijadikan panduan dan jika tidak sekurang-kurangnya ambil ianya sebagai Ilmu. Boleh jadi sesuai untuk seorang jemaah tetapi tidak praktikal untuk jemaah yang lain.

Dapatkan Rehat Yang Cukup

Kebiasaannya jemaah Haji akan diberikan Jadual Penerbangan (KT) dan juga Jadual Pendaftaran di Kelana Jaya. Perbezaan Masa Pendaftaran Haji di Kelana Jaya dan juga Masa Kapalterbang berlepas biasanya kira-kira 6 jam. Maknanya jika mendaftar jam 8 malam, maka KT berlepas ialah jam 2 pagi, keesokkan harinya. Jika sedemikan agak-agak jam berapakah jemaah akan mula berangkat ke Kelana Jaya ? Ianya bergantung kepada jarak rumah jemaah ke Tabung Haji Kelana Jaya.

Bagi jemaah dari Melaka atau Kuantan misalnya, boleh jadi mereka akan keluar rumah jam 2 petang. Masa mula keluar rumah (jam 2 petang) hinggalah menaiki pesawat (jam 2 pagi) ialah 12 jam. Ditambah lagi masa perjalanan ke Madinah atau Jeddah ialah 8 jam. Dah dikira 20 jam. Ditambah masa Proses Pendaftaran Imigresen di Terminal Haji hinggalah keluar Terminal antara 3 jam hingga 10 jam. Tambah letih jika jemaah kena menaiki bas pula untuk ke Madinah dari Jeddah. Tambah lagi 6 jam hingga 10 jam.

2010-07-26 14.36.24

Jangan terkejut semasa Keberangkatan Jemaah KT Akhir di Terminal Haji Jeddah, beberapa tahun dahulu saya pernah menunggu untuk menyambut Jemaah Haji yang masa mendarat pada jam 6 pagi dan selesai keluar dari bangunan Terminal Haji terus menaiki bas ke Makkah pada jam 6 petang. Bayangkan letih dan laparnya jemaah semasa itu. Ya lah keadaan pada musim Haji, terlalu banyak Kapalterbang dari seluruk pelusuk dunia mendarat di Airport Jeddah.Siapa yang pernah pergi Umrah pasti tahu mengenai permasalahan menunggu lama di Kaunter Imigresen yang agak slow berbanding di KLIA.

Ringkas cerita, proses keberangkatan jemaah bermula keluar dari rumah hinggalah sampai di Madinah atau Makkah (bagi KT Akhir) teramatlah panjang dan lama. Jadi apa persiapan yang perlu kita lakukan untuk menghadapinya ?

Jaga Kesihatan Kaki

Saya percaya jemaah Haji pasti akan keletihan sebaik sahaja menaiki Pesawat untuk berlepas ke Jeddah atau Madinah. Sebaiknya jemaah dapat tidur  semasa di dalam Kapalterbang. Perjalanan selama 8 jam memang kadang-kala membosankan. Duduk, tidur dan makan dalam Pesawat. Jemaah sebaiknya semasa duduk buatkan sedikit senaman kaki. Tambah baik jika jemaah dapat keluar sebentar dari tempat duduk untuk berjalan-jalan supaya kaki jemaah dapat di”exercise”kan.

Duduk yang terlalu lama boleh menyebabkan kaki kita mengalami kekejangan. Biasa berlaku kepada jemaah yang berumur atau bersaiz besar mengalami bengkak kaki dan sukar untuk berjalan sebaik sahaja Kapalterbang mendarat di sana. Untuk makluman, Kapalterbang musim Haji, jarak seat depan dan belakang memang sempit dan memang sukar untuk berlunjur kaki. Alamat kaki tidak boleh diluruskan terutama bagi jemaah yang tinggi atau kakinya panjang.

Jika kaki dah bengkak atau lenguh kemudian terpaksa berdiri lama pula untuk beratur di Kaunter Imigresen memang akan mendatangkan masalah. Belum lagi cerita semasa di Madinah atau Makkah, untuk berulang alik ke Masjid. Untuk makluman jarak Hotel Penginapan dengan Masjid memang jauh.

Sediakan bekalan makanan sedikit

Sebaiknya jemaah “standby” roti atau biskut kering dalam beg. Ini bagi mengelakkan jemaah kelaparan semasa di dalam bangunan Terminal sekiranya proses Pendaftaran Imigresen mengambil masa yang terlalu lama seperti yang saya ceritakan di atas. Perlu diingat, di dalam bangunan Terminal Haji, tidak ada Kedai Makan. Restoran Makan hanya ada di luar bangunan Terminal. Bawa Nasi Impit dan Serunding juga boleh mengenyangkan. Memang lapar sekiranya jemaah berada di dalam bangunan Terminal lebih dari 5-6 jam. Tambah derita jika jemaah yang mengidap Kencing Manis atau Gastrik yang memang tak boleh lapar.

Bawa Kasut Sukan

Untuk makluman, semasa di Makkah jarak Hotel Tabung Haji ke Masjidil Haram dianggarkan 800 meter. Pergi dan balik sudah hampir 2km. Berdasarkan pengalaman saya, berjalan kaki jauh dengan menggunakan Kasut Sukan lebih memberi keselesaan berbanding berjalan menggunakan selipar. Saya pernah melihat jemaah yang seliparnya putus di tengah jalan. Kasihannya jemaah ini.

gambar haji

Begitu juga semasa jemaah berjalan kaki dari Khemah di Mina sehingga ke Jamrah untuk melontar. Berjalan kaki ulang alik dari Khemah Mina hingga ke Jamrah dan kembali semula ke Khemah Mina dianggarkan 6km. Cuma semasa belum Tahalul Awal, janganlah pula pakai Kasut Sukan. Memang la tak boleh. Tetapi untuk lontaran Hari 11, 12 dan 13 (selepas Tahalul Awal) sebaiknya gunalah Kasut Sukan untuk berjalan.

Berjalan kaki menggunakan Kasut Sukan pastinya lebih selesa berbanding selipar. Kepada makcik-makcik dan pakcik-pakcik, jangan malu untuk menggunakan Kasut Sukan semasa di sana nanti. Memang la kita tak biasa kerana selalu ke Masjid pakai selipar sahaja. Tetapi demi kesihatan kaki, Kasut Sukan adalah pilihan yang ada. Kepada anak-anak yang menghantar ibu bapa yang sudah tua ke Tanah Suci, jangan lupa bekalkan Kasut Sukan sekali. Memang la kelakar lihat mak kita yang berbaju Kurung dengan Telekung pakai Kasut Sukan. Tetapi pada saya apa nak dimalukan. Yang penting jemaah tidak ada masalah kaki semasa di sana nanti.

Jumpa lagi, insyaAllah