Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdullilah atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kami kerana masih lagi diberi peluang hidup di atas muka bumi ini dan selalu dijemput untuk menjadi Tetamu Allah. Mengikut perancangan saya bersama ahli kumpulan seramai 49 orang akan ke tanah suci pada 15hb Jun ini menaiki penerbangan MAS terus ke Madinah. Alangkah gembira rasa hati apabila sekali lagi dipilih menjadi Tetamu Allah dan pemergian kali ini lebih bermakna apabila isteri turut serta. Itulah gambaran perasaan seorang yang bakal menjadi Tetamu Allah.  Rasa gembira, bahagia dan rindu yang amat sangat dan tidak sabar untuk melihat Kaabah dan Masjid Nabawi.

Bagaimana dengan persiapan ? Untuk menjadi Tetamu Allah, kita perlukan persiapan dalaman yang mantap selain dari persiapan yang berbentuk fizikal. Menyiapkan pakaian berapa helai yang perlu dibawa, selain dari keperluan ubat-ubatan tidak sesukar mana. Tetapi cuba kita tanya diri kita, adakah kita sudah bersedia dari segi mental atau kerohanian ? Persiapan kerohanian bagaimana yang perlu kita lakukan bagi mendapat Umrah yang Maqbul ?

Pertamanya, hati kita harus tulus ikhlas melakukan pengabdian semata-mata kerana Allah dengan membesarkan dan mengagungkanNya. Hati kita harus tunduk dan patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi laranganNya. Bukan kerana ria’ atau minta dipuji orang atau sebab-sebab yang lain. Perasaan dan pemikiran juga seberapa daya upaya hendaklah diajak untuk tunduk dan patuh kepada Allah. Dan ini tidak mungkin dilakukan kecuali setelah hati kita di dalam keadaan suci bersih dari segala dosa dan sifat-sifat keji. Hati yang penuh iman dan taqwa kepada Allah.

Serentak  dengan itu lidah melafazkan Talbiyah, Zikrullah, doa dan membaca al-Quran. Jika tidak boleh membaca al-Quran bacalah apa-apa surah yang hafal, kemudian berazam untuk belajar al-Quran setelah balik ke tanah air nanti. Di samping itu, lidah tidak mengeluarkan perkataan kecuali yang baik seperti untuk hubungan persaudaraan dan kasih sayang, nasihat dan tunjukajar, akad jual beli dan sebagainya.

Sementara itu seluruh anggota tubuh badan termasuk kaki dan tangan, mata dan telinga kesemuanya diajak untuk tunduk melakukan pengabdian kepada Allah menerusi kerja-kerja amal ibadah seperti solat 5 waktu, tawaf sunat, solat-solat sunat dan amal kebajikan yang lain. Termasuk senarai amal kebajikan ini ialah memimpin atau menolong orang yang tua dan lemah, atau sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan atau bantuan.

Dan, perlu diingat pemergian kita ke tanah suci ini mestilah bersumber dari harta yang halal. Tak da maknanya jika kita ke tanah suci menggunakan sumber harta yang haram. Seperti sabda Nabi s.a.w yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala itu baik, dan Dia tidak menerima kecuali yang baik (yakni suci bersih pada amal dan harta benda).

InsyaAllah apabila persiapan dalaman kita sudah cukup mantap, pemergian kita ke tanah suci kali ini akan lebih bermakna. Datang dengan membawa hati yang tulus ikhlas dan kembali ke tanah air dengan wajah ceria kerana telah berjaya melaksanakan amal ibadah di tanah suci dengan penuh khusyuk dan tawadduk. Pulang dengan harapan ibadah Umrah kita dan doa permohonan kita diterima oleh Allah Taala. Alangkah beruntungnya diri kita apabila pulang nanti, iman kita semakin meningkat dan menjadi lebih tekun untuk beribadah demi mengharapkan keredhaanNya. Amin.