Assalamualaikum wbt.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana lambat membalas emel yang dihantar kepada saya bertanyakan banyak perkara. Antara soalan yang banyak ditanya berhubung dengan permasalahan Tumpang Mahram, pengurusan Umrah bagi Jemaah Runcit, permasalahan Visa Umrah dan juga sebutharga mengenai Pakej Umrah bulan-bulan seterusnya termasuk Ramadhan. Kesibukan menguruskan jemaah untuk bulan Februari menyebabkan saya hilang fokus untuk menulis dalam blog ini. Saya dapati masih ramai lagi yang masih kabur mengenai isu-isu di atas.

Permasalahan Tumpang Mahram

Sememangnya tahun 2013 merupakan tahun yang mengecewakan bagi jemaah wanita yang tiada mahram untuk menunaikan Umrah. Jemaah yang berkenaan mesti membawa bersama mahram mereka jika mahu ke tanah suci. Soalnya siapakah Mahram bagi seorang wanita ? Mahram boleh dikategorikan kepada 2 iaitu mengikut nasab keturunan ataupun melalui perkahwinan. Dalam bahasa mudah Mahram ialah mereka yang haram untuk dikahwini oleh seorang wanita.

Mahram mengikut nasab keturunan ialah bapa sendiri, datuk atau moyang ke atas, anak sendiri, adik beradik lelaki, cucu/cicit ke bawah, bapa saudara sebelah ayah dan ibu, anak saudara ke bawah. Manakala mahram berdasarkan perkahwinan ialah bapa mertua, anak menantu, datuk mertua, bapa tiri, anak tiri dan cucu tiri. Adik ipar tidak boleh dijadikan mahram kerana ianya bersifat sementara.

Soalnya mengapa sukar sangat untuk memperolehi visa sekiranya mahram Pemohon ialah bapa saudara sebelah ibu misalnya. Saya berpendapat kemungkinan dokumen sokongan tidak mencukupi untuk mengesahkan status mahram yang berkenaan. Ada banyak dokumen sokongan sebagai bukti mahram perlu dilampirkan dalam permohonan visa. Antaranya ialah Sijil Lahir Pemohon, Sijil Lahir Ibu Pemohon, Sijil Lahir Bapa Saudara sebelah ibu (bukti ibu dan bapa saudara ialah adik beradik). Ini kerana di kedua-dua sijil lahir berkenaan ada tertera nama Datuk dan Nenek Pemohon dan nama ibu dan nama ayah kepada Bapa Saudara yang ingin digandingkan sebagai Mahram.

Masalah berlaku apabila nama datuk atau nenek kepada Pemohon dan nama ayah dan Ibu kepada bapa saudara tidak sama dari segi ejaannya. Al-maklum zaman dahulu sijil lahir ditulis ikut sedap bunyi aje. Contohnya nama datuk Pemohon (bapa kepada ibu) ialah Zulkifli. Manakala di sijil lahir bapa saudara pemohon, nama bapanya dieja Zulkapli. Walaupun Zulkefli dan Zulkapli ialah individu yang sama (mungkin sudahpun meninggal) jika tidak dibuat Akuan Bersumpah yang mengesahkan ianya ialah individu yang sama maka permohonan Visa Pemohon boleh jadi ditolak.

Tambah rumit jika nama nenek Pemohon juga tidak sama dengan nama ibu kepada Bapa Saudara pemohon walaupun ianya individu yang sama. Biasa terdapat nama Aishah dalam sijil lahir anak yang lain dieja Esah sahaja. Walaupun bunyi seakan sama tetapi ejaannya jauh berbeza. Ataupun nama Aminah, ada yang dieja Minah atau Munah di Sijil Lahir anak yang lain. Pening kapalo den (bak kata orang Negeri).

Permasalahan Pemalsuan Dokumen

Biasa juga berlaku masalah sebegini. Akibat terdesak memperoehi Visa Umrah, ada agensi yang cuba menipu dalam penyerahan dokumen sokongan. Salinan Sijil Nikah dibuat “alteration” dengan memadam nama pengantin lelaki dan wanita asal dan ditulis dengan nama jemaah lelaki dan wanita yang tiada mahram. Sekiranya pihak Konsul ragu-ragu maka mereka akan minta Sijil Nikah yang asal. Masa ni lah agensi mengelabah kerana tidak dapat memenuhi permintaan pihak Konsul. Akibatnya kesemua permohonan Visa agensi berkenaan digantung sementara walaupun yang bermasalah hanya satu atau dua permohonan sahaja. Kerana itu ramai jemaah merasa pelik mengapa visa Umrah susah sangat diperolehi walhal dokumen sokongan mereka mencukupi dan sepatutnya tiada masalah.

Pengurusan Jemaah Umrah Runcit

Untuk makluman, kesemua flight yang membawa jemaah Umrah yang mendarat di Jeddah akan diturunkan di Terminal Haji, Jeddah. Hanya pihak Muasasah (orang Arab) sahaja yang dibenarkan menyambut jemaah di Terminal Haji, manakala wakil agensi tidak dibenarkan. Biasanya wakil agensi akan menunggu di luar pagar Terminal Haji. Jemaah harus mengambil sendiri Teksi Airport untuk menghantar mereka sehingga ke luar pagar kawasan Terminal Haji. Caj atau tambang teksi yang dikenakan ada yang mencecah sehingga SAR 300 walaupun jaraknya pendek sahaja. Naik teksi tak sampai 5 minit pun. Lebih baik ambil teksi terus dihantar ke Madinah. Tambang teksi mungkin hanya SAR500 sahaja. Baru berbaloi. Soalnya berani ke jemaah nak ke Madinah tanpa pengiring ?

Sewa GMC selama di tanah suci (boleh memuatkan 6-7 jemaah) sekitar SAR3500-SAR4000. Jika hanya 2 jemaah sahaja yang terlibat maka kos pengangkutan pasti lebih mahal berbanding jika ada 7 jemaah dalam satu rombongan. Yang pasti kos ground handling jemaah runcit ini lebih mahal berbanding jemaah berkumpulan. Jika jemaah sanggup membayar kos pengangkutan yang tinggi maka tidak ada masalah. Maknanya jemaah dapat beli tiket flight yang murah (ada yang dapat SAR800 sahaja untuk tiket pergi balik KUL/JED/KUL), tetapi kena bersedia dengan kos ground handling yang tinggi.

Tetapi jika nak jimat lagi naik aje teksi bagi setiap destinasi, kongsi kos tambang teksi dengan ahli keluarga yang ikut serta. Cuma jika naik teksi, maka tiada khidmat Mutawwif atau Tour Guide di sepanjang perjalanan selama di tanah suci. Susah untuk mencari orang yang sanggup menemani jemaah di sepanjang perjalanan kecuali jika mendapat upah yang tinggi dan setimpal dengan masa dan tenaga yang disumbangkan.

Harga Umrah Ramadhan

Saya harus berhati-hati dalam memberi sebutharga Umrah untuk bulan Ramadhan. Ini kerana harga hotel-hotel di Makkah telah meningkat melebihi 50% dari harga tahun lepas. Musim 2013 ini semakin banyak hotel-hotel yang kena runtuh. Jika dahulu hotel-hotel di kawasan Misfalah menjadi pilihan banyak agensi Umrah, tetapi sekarang ini pilihan semakin terhad. Hotel yang jauh dari Masjidil Haram memang ada, malah ada yang lebih cantik dan bertaraf 4 bintang. Tetapi target saya ialah Hotel untuk Pakej Ekonomi haruslah tidak melebihi 300 meter dari Haram. InsyaaAllah apabila saya sudah mengenalpasti hotel yang menambat hati saya (dari segi jarak, pasarana hotel dan harga) maka saya akan maklumkan harga pakej untuk bulan Ramadhan.

Salam dari Makkah al-Mukaramah. Jumpa lagi dan Wassalam.