Assalamualaikum wbt. Bertemu kembali.

Saban tahun ketika musim Umrah baru bermula pasti ada permasalahan baru yang timbul. Dan bagi mereka yang sudah lama dalam industri Umrah ini pun tidak boleh menjangka perkara yang bakal berlaku. Sesungguhnya menguruskan hal Umrah ini sememangnya kena bergantung terus dan sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Tidak ada sesiapa yang berani mengaku ianya hebat dan tidak ada masalah.

Berbeza dari musim-musim yang lalu, bulan Disember tahun ini dianggap selamat dan masing-masing berkeyakinan Visa Umrah sudah dibuka. Kerana itu bulan Disember tahun ini boleh dianggap ” Super Peak Season” iaitu tertalu ramai yang mengambil peluang musim cuti sekolah untuk membawa keluarga menunaikan Umrah. Bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di seluruk pelusuk dunia pun sama juga.

Harga Tike Penerbangan Terlalu Mahal

Disebabkan permintaan yang tinggi untuk menunaikan Umrah, maka harga tiket penerbangan telah meningkat berganda-ganda. Ada yang melawak kata “harga Yahudi”. Bayangkan harga tiket penerbangan yang biasanya RM3000 boleh meningkat sehingga RM3800. Dan yang lebih memeranjatkan ada yang dijual pada harga RM4800. Itu baru harga tiket.

Jadi bayangkan kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh Pengendali Pakej Umrah yang menjual Pakej pada harga rendah. Jika diikutkan harga tiket semasa memang boleh makan pokok. Akibatnya banyak Travel Agensi yang terpaksa meminta tambahan kos dari jemaah. Jika tidak setuju, jemaah boleh tarik diri. Ada yang dikenakan sedikit penalti dan ada yang tidak. Bagi yang setuju maka suka atau tidak terpaksa membayar tambahan kos yang diminta oleh Travel Agensi.

Dalam hal ini saya berpendapat Travel Agensi tidak boleh dipersalahkan 100%. Kenaikan harga tiket penerbangan di luar dari kawalan mereka. Apabila syarikat penerbangan menaikkan harga tiket, maka Travel Agensi terpaksa membuat pilihan samada bersetuju ataupun tidak. Jika tidak bersetuju maka Travel Agensi berkenaan terpaksalah mencari flight alternatif yang menawarkan harga tiket ikut budget asal mereka atau jika ada kenaikan harga ianya masih dalam budget dan tidak merugikan (hanya margin untung yang semakin berkurangan).

Jadual Umrah Ajwa yang terpaksa dirombak

Rentetan dari permasalahan harga tiket yang meningkat, maka Ajwa terpaksa mengambil langkah mencari penerbangan alternatif yang tidak merugikan dan dalam masa yang sama mengekalkan Harga Pakej yang telah ditawarkan. Dalam maksud yang lain Ajwa tidak meminta penambahan wang dari jemaah yang sudah mendaftar awal. Cuma Ajwa memaklumkan kepada jemaah bahawasanya perancangan awal terpaksa dirombak disebabkan harga tiket penerbangan yang semakin tinggi. Jika mahu dikekalkan flight asal bermakna jemaah terpaksa membuat penambahan bayaran dan ianya pasti tidak dipersetujui oleh jemaah.

Syukur alhamdulillah, rata-rata jemaah memahami permasalahan ini dan menerima rombakan Jadual Penerbangan yang dibuat oleh Ajwa Travel. Yang penting dapat pergi Umrah.

Kumpulan Pertama sudahpun berlepas ke Tanah Suci dengan menaiki penerbangan AirAsia X pada 10 Disember yang lalu dan dijangka kembali ke Tanah Air pada 22hb Disember ini. Rombongan ini seramai 45 orang yang diketuai oleh Petugas Ajwa sendiri iaitu Ustaz Khairi.

Kumpulan Kedua baru sahaja berlepas pada 18 Disember yang lalu dengan menaiki Pesawat Garuda dan transit sebentar di Jakarta. Rombongan Umrah ini diketuai oleh Ustaz Abdul Rashid, seorang Mudir di Madrasah Tahfiz al-Quran di Sungai Udang, Klang.

Manakala kumpulan ketiga seramai 45 orang yang diketuai oleh saya sendiri bersama isteri akan berlepas pada 22 Disember ini dengan menaiki Pesawat Singapura dan akan kembali ke Tanah Air pada 2 Januari 2015, insyaAllah. Kumpulan ini memilih Pakej Idaman 2 yang akan menginap di Hotel Anjum iaitu Hotel bertaraf 5 bintang di Makkah.

Dan kumpulan keempat pula yang diketuai oleh Hj Azman Abdullah akan berlepas pada 24 Disember ini dengan menaiki Pesawat Utopia dan kembali ke Tanah Air pada 5 Januari 2015. Kumpulan ini terpaksa menginap di Hotel kerana transit lebih dari 12 jam di Addis Ababa semasa pergi dan balik. Saya berdoa semoga jemaah kumpulan ini diberikan kesabaran yang tinggi oleh Allah kerana permasalahan transit yang terlalu lama.

Jika diberi peluang suatu masa nanti mungkin saya sendiri akan mencuba Penerbangan Utopia ini kerana mengambil peluang melawat negara berkenaan. Jika nak pergi saja-saja ke Addis Ababa rasanya tak mungkin. Bila ada peluang tarnsit lama ni boleh lah melancung di negara berkenaan dalam program Umrah nanti. Sebenarnya ada juga jemaah yang suka transit lama di negara ketiga kerana boleh mengambil peluang melawat bandaraya kota yang berkenaan.

Permasalahan Visa

Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji telah mengetatkan Peraturan Mendapatkan Visa Umrah. Baru-baru ini mana-mana Travel Agensi yang ingin mendapatkan Visa Umrah diminta mengambil “Full Pakej” dengan pihak Muasasah Arab Saudi. Maknanya Travel Agensi berkenaan kena ambil Hotel Muasasah, makanan juga dengan Muasasah dan juga transport. Setelah bayaran penuh dibuat kepada Muasasah, barulah boleh “key in” data dalam Pasport untuk mendapatkan MOFA (no rujukan Visa) dari mereka. Selagi belum bayar, maka MOFA tidak dikeluarkan.

Ada juga Muasasah Arab Saudi yang boleh bertolak ansur dalam soal ini. Travel Agensi hanya memohon Visa Umrah sahaja melalui mereka dan Travel Agensi boleh mendapatkan Hotel pilihan sendiri. Tetapi syaratnya Travel Agensi berkenaan mestilah telah mengikat Perjanjian dengan Hotel yang berkenaan. “Aggrement” berkenaan dijadikan bukti oleh Travel Agensi  semasa proses Permohonan Visa di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. Jika tidak ada bukti Tempahan Hotel telah dibuat, maka Visa Umrah tidak diperolehi walaupun MOFA sudah diperolehi.

Masalahnya Peraturan Baru yang diumumkan secara mendadak ini menyebabkan banyak Travel Agensi yang tidak bersedia membuat ‘agreement” dengan pihak Hotel kerana kesuntukan masa. Jadi mahu tak mahu terpaksa juga lah mengambil Hotel yang dicadangkan oleh pihak Muasasah dalam usaha mendapatkan Visa.

Seperkara lagi Travel Agensi kena pastikan Hotel yang dipilih sudah mendaftar dengan Kementerian Haji di sana. Maknanya Nama Hotel berkenaan mesti sudah ada dalam “sistem komputer” Kementerian Haji. Sebenarnya di bawah Peraturan Baru ini, banyak lagi Hotel-hotel ekonomi yang belum mendaftar dengan Kementerian Haji Arab Saudi.

Ada juga kes Travel Agensi telah membuat Tempahan dengan Hotel Pilihan tetapi Hotel yang berkenaan tidak/belum lagi mendaftar dengan Kementerian Haji. Maka keadaan ini tambah sukar kerana untuk mendapatkan wang kembali dari pihak Hotel memang mustahil. Dah jadi resmi orang Arab yang tidak akan memulangkan wang bayaran hotel sekiranya kita membatalkan tempahan atau tidak jadi menginap di Hotel berkenaan.

Mengapa perlu didaftarkan ?

Tujuan utama ialah untuk memastikan bangunan Hotel selamat untuk didiami kerana telah lulus dari pemeriksaan Bomba dan sebagainya. Atau mengikut istilah kita bangunan Hotel berkenaan telah ada “CF” ataupun Tasnif mengikut istilah di sana.

Kabarnya ada Muasasah yang telah digantung sementara kerana kesalahan yang dilakukan oleh Travel Agensi juga. Dalam permohonan Visa, Travel Agensi berkenaan menyatakan akan tinggal di Hotel A misalnya dengan mengemukakan dokumen sokongan iaitu Tempahan Hotel yang sebenarnya palsu. Setelah diperiksa oleh Kementerian Haji, tidak ada jemaah Travel Agensi berkenaan yang menginap di Hotel yang dinyatakan. Maka kesalahan ini terus ditujukan kepada pihak Muasasah kerana Travel Agensi berkenaan bernaung di bawah mereka.

Kesimpulan

Saya melihat tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi bertujuan untuk mengelakkan Jemaah Umrah dari kena tipu kerana tidak memperoleh Hotel di Makkah ataupun Madinah. Dengan kata lain, mereka bertujuan untuk menjaga kebajikan Jemaah Umrah yang datang ke negara mereka. Cuma Peraturan yang dikuatkuasa sekarang ini sememangnya menyebabkan Travel Agensi berada dalam keadaan sukar. Tetapi saya percaya lama kelamaan kita juga sudah terbiasa dengan Peraturan Baru ini. Mudah-mudahan.

Wassalam dan Jumpa lagi, insyaAllah.