Assalamualaikum wbt.

Tinggal berapa hari lagi menjelang Hari Wukuf bagi musim 1434H ini. Pastinya semangat Jemaah Haji berkobar-kobar untuk berangkat ke Arafah dan seterusnya ke Muzdalifah dan Mina. Hari Wukuf ialah kemuncak kepada ibadah Haji dan tidak sah Haji tanpa Wukuf di Arafah. Kerana itu para Petugas Haji samada Tabung Haji mahupun Pakej Swasta selalu mengingatkan Jemaah Haji supaya mendapat rehat yang cukup. Jaga tahap kesihatan dan juga kecergasan fizikal Jemaah Haji. Ini kerana selama tempoh dari 8 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah, tenaga fizikal Jemaah Haji akan digunakan secara “extra ordinary”.

Saya selalu percaya antara punca yang menyebabkan Jemah Haji berkeadaan marah sehingga ada yang bertindak di luar kawalan disebabkan mereka tidak arif mengenai sesuatu perkara semasa dalam Kerja Haji. Sememangnya sepanjang Kerja Haji di Arafah dan Mina, banyak perkara yang Jemaah Haji tidak ketahui dan tidak faham sehingga ada yang menganggap mereka telah diberi layanan “double standard” berbanding jemaah lain.

bas ke arafahBas yang digunakan semasa Pergerakan Haji

Segalanya Di bawah Bidang Kuasa Kementerian Haji Arab Saudi

Untuk makluman, segala urusan Pergerakan Jemaah Haji bermula dari 8 hingga 13 Zulhijjah adalah di bawah seliaan Kementerian Haji Arab Saudi melalui Muasasah yang dilantik. Muasasah ialah satu syarikat milik rakyat Arab Saudi yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan jemaah Haji dan biasanya untuk satu Maktab Muasasah diperuntukkan 2500 orang jemaah.

Semasa Hari Masyaer, pihak Tabung Haji dan juga PJH (Pakej Swasta) tidak mempunyai kuasa langsung. Kedua-dua badan ini hanya mengikut segala arahan yang telah diputuskan oleh pihak Maktab Muasasah dan juga Kementerian Haji Arab Saudi.

Pakej dalam Pakej untuk Arafah dan Mina

Mengikut kebiasaan bagi jemaah Haji Muasasah Tabung Haji, perkhidmatan yang diambil dengan Pihak Muasasah ialah Perkhidmatan yang Asas sahaja iaitu Perkhidmatan Khemah Arafah termasuk makan minum jemaah, pengangkutan bas bermula dari pergerakan Makkah ke Arafah, Arafah ke Muzdalifah, Muzdalifah ke Mina dan juga kembali pulang dari Mina ke Makkah dan perkhidmatan Khemah di Mina termasuk makan minum jemaah.

Khemah di-ArafahKeadaan Khemah di Arafah

Semasa di Khemah Arafah, biasanya Pihak Muasasah hanya menyediakan Kemudahan Khemah beserta Carpet sahaja (seperti gambar di atas). Tetapi biasanya pihak PJH demi memberi nilai tambah dalam Perkhidmatan Haji mereka , maka dibekalkan kemudahan tilam dan bantal seperti keadaan dalam gambar di bawah. Sungguhpun begitu ada juga pihak PJH yang tidak berbuat demikian.

mina-khemahMaka semasa di Arafah lagi, wujud rasa tidak puas hati di kalangan Jemaah kerana mendapati dalam Khemahnya tiada kemudahan tilam dan bantal, sedangkan di Khemah bersebelahan pula ada kemudahan tersebut. Dan biasanya selepas selesai di Arafah, tilam dan bantal ini akan diangkut semula ke Khemah Mina oleh Petugas Muasasah untuk kemudahan jemaah yang berkenaan semasa di Mina pula nanti.

khemah aircond ArafahKhemah Aircond di Arafah

Keadaan Khemah di Arafah adalah bersifat sementara dan tiada “aircond”. Namun begitu ada PJH yang mengambil Perkhidmatan Jenis Khemah yang ada “aircond”. Dan biasanya pihak PJH ada mengenakan bayaran tambahan kepada jemaah Hajinya untuk kemudahan tambahan ini.  Maka ada jemaah Haji yang tidak mengetahui mengenai Perkhidmatan Tambahan ini akan mula menyalahkan pihak Pengurusan Hajinya (samada Tabung Haji atau PJH) kerana tidak menyediakan Khemah Beraircond.

Saya percaya sekiranya pihak PJH menawarkan Kemudahan Khemah Beraircond dengan mengenakan sedikit bayaran tambahan, pasti ramai yang menolak. Ini kerana jika tidak silap saya (semasa bertugas dahulu), jemaah diminta membuat bayaran tambahan SR800 untuk Khemah Aircond di Arafah selama 2 hari dan 1 malam.

Sajian Makanan

Bagi Jemaah Haji biasa, sajian makanannya ialah Nasi Bungkus dan menu biasa ialah Nasi Putih, Ikan atau Ayam atau Daging (goreng atau rebus) dan sedikit sayur. Dibekalkan juga kemudahan uncang teh, kopi dan juga gula selain kemudahan air panas. Jemaah Haji juga dibekalkan makanan kering seperti biskut, makanan segera Indomee dan buah-buahan serta air mineral.

makanan arafah

Sungguhpun demikian, bagi Pakej Biasa ada juga PJH yang mengambil servis cara makan sistem Buffet dan bukannya Nasi Bungkus. Saya berpendapat cara ini agak leceh kerana jemaah Haji terpaksa beratur panjang sedangkan sajian menunya biasa-biasa sahaja. Bagi yang tidak sabar pasti merasakan sistem Nasi Bungkus lagi OK kerana jemaah boleh mendapatkan makanan tanpa perlu beratur panjang.

Manakala bagi jemaah yang mengambil Pakej VIP, semasa di Arafah biasanya sajian menu makanan agak mewah berbanding jemaah Haji biasa. Menu yang dibekalkan adalah seperti hidangan Nasi Mandy beserta kambing dan nampak eksklusif.

Kemudahan Tandas di Arafah

Bagi jemaah Haji biasa mahupun Pakej, mereka terpaksa berkongsi kemudahan tandas yang terhad dalam satu kawasan Khemah Maktab Muasasah yang berkenaan. Jika tidak silap saya, hanya ada 20 bilik Tandas untuk kegunaan 2500 orang jemaah. Memang menyulitkan. Tetapi saya kira keadaan ini jauh lebih baik berbanding zaman datuk nenek moyang kita dahulu mengerjakan Haji.

tandas di arafahJemaah terpaksa beratur untuk menggunakan kemudahan Tandas

Berbeza bagi jemaah VVIP. Biasanya kemudahan tandas untuk mereka ada disediakan di dalam Khemah dan terasing dari Jemaah Haji biasa. Almaklum mereka membayar Pakej pada harga yang jauh lebih mahal berbanding Jemaah Haji Muasasah ataupun Pakej Biasa.

Keadaan Perkhidmatan Khemah Arafah yang berbeza antara Jemaah Haji sememangnya boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Jemaah Haji. Pastinya yang tidak puas hati ialah jemaah yang tidak mendapat kemudahan istimewa berbanding yang lain. Sedangkan yang Jemaah Haji tidak ketahui ialah bagi setiap keistimewaan yang dinikmati pasti ada kos yang terlibat dan bukannya percuma. Dan jika ditawarkan kepada Jemaah Haji belum tentu mereka bersetuju kerana terpaksa membayar tambahan kos yang bukan sedikit. Malah ada jemaah yang merasakan satu pembaziran pula dengan mengeluarkan kos yang banyak untuk hanya menginap 1 malam sahaja di Arafah.

Jumpa lagi, insyaAllah..