Assalamualaikum wbt.

Perjalanan jemaah Haji Malaysia merupakan perjalanan yang panjang. Tempoh pergi dan balik biasanya antara 40 hari – 45 hari mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji. Perjalanan Haji lebih mudah dijelaskan mengikut beberapa Fasa. Fasa 1 ialah semasa keberangkatan jemaah ke tanah suci. Fasa 2 semasa di Madinah. Fasa 3 semasa di Makkah. Fasa 4 semasa waktu Wukuf di Arafah dan Hari Tasyrik dan Fasa 5 semasa keberangkatan pulang jemaah ke tanah air. Dan bagi setiap Fasa yang dilalui oleh jemaah, pasti akan menempuh beberapa kesulitan dan kepayahan yang menuntut jemaah sentiasa bersabar dan istiqomah dalam ibadah.

Kesulitan yang mungkin dihadapi oleh jemaah haji di Fasa 1 dan Fasa 2 telah saya terangkan dalam entry sebelum ini di bawah tajuk Kesulitan Yang Perlu diketahui Semasa Menunaikan Haji

Fasa 3 – Makkah al-Mukarramah

Suasana di bandar Makkah amat jauh berbeza dari bandar Madinah. Bagi yang pertama kali boleh jadi kejutan kepada mereka. Suasana di bandar Madinah amat tenang dan mendamaikan. Pada setiap kali waktu solat jemaah berjalan kaki ulang alik ke Masjid dengan begitu santai dan relax. Keluar sahaja dari lobi hotel terus berjalan menyusuri beberapa hotel berhampiran sehingga melalui dataran Masjid tanpa bertemu dengan kesesakan jalan raya yang membingitkan dan memeningkan kepala. Kebiasaannya hotel penginapan jemaah Haji Malaysia terletak di sebelah belakang Masjid Nabawi. Memudahkan jemaah wanita untuk masuk ke Raudhah.

Tawaf dalam musim Haji, penuh sesak dengan jemaah

Pertama kali sampai di Makkah, kita akan merasa takjub dan kagum demi melihat Masjidil Haram. Tak sabar rasanya nak memulakan tawaf. Tetapi suasana di Makkah tidak sama seperti Madinah. Jemaah Haji terpaksa berjalan kaki dari hotel penginapan ke Masjidil Haram dianggarkan sejauh 800 meter dan menempoh beberapa batang jalan raya yang sentiasa sesak dengan kenderaan dengan bunyi hon yang bising dan asap kenderaan yang menyesakkan. Dinasihatkan jemaah memakai topeng (mask) semasa ke Masjidil Haram kerana keadaan jalan raya di Makkah sekarang ini penuh dengan debu-debu berterbangan akibat dari kerja Pembangunan Semula Makkah.

Oleh kerana jarak yang jauh, kelazimannya jemaah tidak kerap ulang alik ke Haram. Jika dah ke Haram untuk solat Asar biasanya sehingga Isyak baru balik ke hotel.  Tidak seperti di Madinah yang jemaah pulang ke hotel sebaik selesai solat fardhu dan pergi semula apabila masuk waktu solat seterusnya.Ulang alik 5 kali sehari. Jika di Makkah dapat ulang alik 5 kali sehari setiap hari, jemaah ini benar-benar sihat dan cergas. Tetapi jika merasakan diri tidak mampu, sebaiknya jangan dipaksa untuk berbuat demikian. Dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan sehingga tidak cergas sepenuhnya apabila tiba Hari Wukuf.

Masjidil Haram di Musim Haji

Jarak yang begitu jauh untuk ke Masjid memang menyulitkan jemaah. Tambah lagi kepada jemaah yang tua dan uzur pula. Kerana itu Tabung Haji setiap tahun membawa Petugas Imam yang tugasnya ialah untuk mengimami solat berjemaah di Musolla dalam bangunan Hotel Tabung Haji. Ini bagi memberi kemudahan kepada jemaah Haji yang tidak mampu untuk selalu berulang alik ke Masjidil Haram. Memang ada yang mengatakan terasa rugi kerana tidak mendapat ganjaran pahala 100 ribu kali solat. Tetapi ada qaul yang menyatakan solat berjemaah di mana-mana Tanah Haram Makkah, ganjaran pahalanya tetap 100 ribu.

Jemaah Haji boleh melihat sendiri kesan-kesan runtuhan bangunan dan kerja-kerja pembinaan hotel-hotel baru,  jalan raya yang sentiasa penuh dengan kenderaan sehingga menyebabkan udara di kawasan bandar Makkah menjadi tidak sihat. Yang ajaibnya bagi saya ialah setiap tahun dalam musim Haji,  Allah akan menurunkan hujan di bandar Makkah. Sehinggakan pernah berlaku banjir di beberapa kawasan Makkah dan Jeddah akibat dari hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selepas hujan turun, barulah keesokkan harinya jemaah dapat menghirup udara segar Makkah. Subhanallah Maha Suci Allah.

Jumpa lagi di Fasa berikutnya, insyaAllah.