Assalamualaikum wbt.

Ramai jemaah Malaysia yang ke tanah suci menunaikan fardhu haji terdiri dari golongan tua dan sudah berpencen. Tidak ramai golongan muda yang berumur bawah dari 40 tahun. Tidak seperti jemaah dari negara-negara lain seperti Indonesia yang jemaah hajinya muda-muda belaka, sama nisbahnya dengan yang tua. Bila difikirkan, banyak faktor yang menyebabkan terjadinya demikian. Lupakan masalah kouta haji. Selain dari faktor kewangan dan juga hal ehwal keluarga, kesediaan masyarakat kita untuk menunaikan haji pada usia muda juga amat berkurangan. Pergi umrah boleh, tetapi pergi haji belum mahu lagi.

Dan yang menunaikan umrah pada usia muda juga amat berkurangan. Lebih ramai yang tua dan sudah berpencen. Anak-anak muda yang masih bujang amat jarang pergi umrah secara bersendirian. Jika ada pun, ikut keluarga. Samada ia pergi umrah atas keinginan sendiri atau kerana ajakan dan tajaan orang tua, hanya empunya diri yang tahu jawapannya. Jadi, apa masalahnya ?

Tanyalah kepada mereka yang sudah menunaikan haji atau umrah, pergi masa tua atau masa muda yang lebih baik ? Pasti ramai yang bersetuju, pergi masa muda lebih baik. Kenapa ? Tentu ramai yang berkata, ” masa muda lah yang terbaik kerana tenaga masih kuat dan kesihatan masih baik.” Tetapi kenapa golongan muda yang bertenaga ini masih lagi belum tanam azam untuk ke Makkah menunaikan umrah ataupun haji ?

Saban tahun saya mendengar keluhan jemaah yang berusia ini, kerana tidak larat untuk berulang-alik ke masjid melakukan ibadah. Kekadang tu saya kesian kepada jemaah yang sudah tua ke tanah suci menunaikan haji atau umrah tanpa ditemani oleh anak-anak atau mahramnya. Bagaimana jemaah tua ini nak menguruskan dirinya sendiri ? Tambah haru bila jemaah ini ada masalah kesihatan pula. Dan yang sedihnya, ada jemaah muda yang tinggal sebilik dengannya merungut. “Aku datang sini nak beribadah, bukan nak jaga jemaah tua ini”. Sedihnya bila saya mendengar keluhan sedemikian. Walhal sebenarnya Allah nak beri dia ganjaran mudah mendapat pahala di tanah suci, sedangkan dia tidak sedari. Kasihan..

Berjalan kaki bersaie ulang-alik dari Safa dan Marwah adalah sejauh 4km

Menunaikan umrah, tambahan lagi haji memerlukan kecergasan fizikal dan kekuatan mental atau rohani. Bayangkan untuk bersaie iaitu berjalan kaki berulang-alik dari Safa dan Marwah sebanyak 7 kali dinisbahkan sejauh 4km. Belum lagi dikira 7 kali pusingan tawaf dan juga jarak hotel ke masjid. Maknanya ketika mula sampai di Makkah dan melengkapkan Umrah, jemaah berjalan kaki lebih dari 5km. Jika jarak hotel penginapan dengan masjid 500 meter, maknanya pergi balik sudah 1km. Jika jemaah solat 5 waktu di Masjidi Haram, sudah dikira 5km lagi. Jarak yang begitu jauh bagi mereka yang tidak pernah berjalan kaki sejauh itu semasa di tanah air.

Ibadah haji lebih lagi. Berjalan kaki dari khemah di Mina hingga ke kawasan Jamrah (tempat melontar) dan patah balik ke khemah Mina semula adalah dianggarkan 6km. Jika setiap hari selama 3 hari, sudah kira 18km jemaah berjalan kaki. Kerana itu ramai jemaah yang berusia sesuka hati kata dirinya uzur dan minta lontaran Jamrah diupahkan. Jika pun boleh diupah atas sebab syarak sekalipun, cuba tanya kepada jemaah berkenaan adakah dia berpuas hati. Pasti terbuku di dalam hatinya, “alangkah baiknya jika semua ibadah dapat dilakukan sendiri tanpa mengupah orang lain melakukannya”.

Berjalan kaki ulang alik dari Khemah di Mina dan Jamrah adalah sejauh 6km

Ibadah haji iaitu dengan melakukan tawaf, bersaie, melontar 3 Jamrah di Mina dan lainnya seeloknya dilakukan oleh empunya badan. Ianya lebih memberi kepuasan berbanding jika diupahkan. Nasihat saya kepada yang masih muda, tanam azam untuk melakukan ibadah umrah dan haji pada usia muda seperti sekarang. Jangan sampai kita kesal ketika sudah tua dan kesihatan tidak mengizinkan, baru tergerak hati untuk melaksanakan haji ataupun umrah. Ketika itu punya banyak wang pun sudah tidak memberi makna kerana semua ibadah diupahkan, disebabkan sudah tidak mampu melakukan sendiri.  Alangkah beruntungnya bagi mereka yang masih muda dan cergas dapat menunaikan ibadah haji ataupun umrah.

Jumpa lagi dan wassalam.