Assalamualaikum wbt.

Masalah Kouta Umrah yang semakin kritikal terutama untuk Musim Cuti Sekolah Mei/Jun ini membuatkan Pengendali Pakej Umrah dan jemaah yang terlibat resah gelisah. Jika musim lepas masalah kouta Umrah yang terhad berlaku pada bulan Ramadhan, tetapi untuk musim ini sudah bermula di bulan Rejab lagi. Satu masalah di luar jangkaan bagi Pengendali Pakej Umrah. Untuk makluman, beribu-ribu bakal jemaah yang tidak dapat ke Tanah Suci pada musim cuti sekolah Mei/Jun ini lantaran tidak mendapat Visa Umrah. Amat menyedihkan sekali.

Maka bermacam-macam cerita dan andaian timbul disebabkan masalah ini. Sebelum kita menuding jari menyalahkan sesiapa, ada baiknya kita fahami dahulu Modus Operandi Pengurusan Umrah supaya masing-masing dapat memahami Permasalahan ini. Bila dah faham baru boleh terima hakikat mengapa ianya terjadi. Jika tak faham, macam mana kita nak terima ? Tetapi jika dah faham dan tak mahu terima, maka masalahnya ialah pada diri kita sebenarnya.

flight saudi

Tempahan Tiket Penerbangan

Biasanya Pengendali Pakej awal-awal lagi akan membuat tempahan Tiket Penerbangan bagi memastikan “seat” untuk musim Cuti Sekolah selamat. Jika lambat buat tempahan dibimbangi Tiket Penerbangan sudah “sold out”. Booking tiket ini melibatkan wang tunai dan bukannya secara lisan saja. Ada Airlines yang menetapkan bayaran deposit Tempahan seat sebanyak RM300 untuk 1 seat dan ada yang RM500 untuk 1 Seat. Jika “booking” 40 seat maka RM300 x 40 seat atau RM500 x 40 seat.

Dan dalam tempoh 30 hari atau 21 hari sebelum tarikh berlepas, agensi diminta oleh Pihak Airlines untuk menjelaskan bayaran penuh Tiket Penerbangan yang dibeli atau ditempah tadi. Ketika itu, Visa Umrah jemaah belum lagi diperolehi. Yang dah dilakukan barangkali ialah agensi “key in” maklumat Pasport Jemaah dan dihantar kepada Pihak Muasasah di Arab Saudi untuk mendapatkan MOFA (no rujukan kelulusan Visa).

Proses Permohonan Visa

Biasanya MOFA tidak mengambil masa yang lama untuk diperolehi. Paling cepat antara 24 jam hingga 48 jam. Dan apabila MOFA sudah diperolehi barulah agensi akan menghantar Pasport dan dokumen sokongan ke Pejabat Konsul Kedutaan Arab Saudi untuk mendapatkan “sticker Visa Umrah”. Biasanya jika Pasport masuk ke Kedutaan sebelah pagi maka sebelah petang Pasport sudah keluar bersama dengan Visa.

Masalah timbul  apabila MOFA yang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba. Ada agensi yang sudah “key in” 500 maklumat Pasport , tetapi MOFA yang keluar tak sampai 30. Maknanya daripada 500 permohonan yang berjaya mendapat Visa hanya 30 sahaja.

Kos perbelanjaan yang terlibat

Kos Tiket Penerbangan

Pihak Agensi telahpun membayar Kos Tiket Penerbangan Jemaah dalam keadaan masih menunggu-nunggu MOFA yang biasanya tiada masalah untuk diperolehi. Dan apabila Visa Umrah tidak diperolehi sehingga ke tarikh penerbangan, maka sudah pasti pihak Agensi menanggung beban kerugian yang bukan sedikit. Di pihak Jemaah pula sudah pasti mereka mengharapkan Agensi memulangkan semula duit mereka kerana kegagalan menunaikan Umrah.

Pihak Airlines juga turut sama-sama merasai tempiasnya kerana flight kosong lantaran jemaah tidak memperolehi Visa. Ada Airlines yang memahami permasalahan ini dan bertolak ansur dengan menawarkan ke penerbangan yang seterusnya (bila sudah memperolehi Visa). Dan ada Airlines yang menerima jika kos tiket (bagi tarikh yang tidak dapat pergi itu) ditunda ke bulan Disember nanti. Tetapi bukan semua Airlines yang bersikap demikian. Ada yang dianggap lupus kerana diistilah “no show”. Sedihnya..

Kos Tempahan Bilik Hotel

Dan dalam masa yang sama pihak Agensi juga telah membuat tempahan bilik-bilik hotel di Madinah dan Makkah. Tempahan bilik-bilik hotel ini juga melibatkan wang tunai dan bukannya “booking” secara lisan sahaja. Jika ambil Hotel 5 bintang di sana, boleh jadi bayaran penuh telahpun dibuat. Tiba-tiba tak dapat Visa ! Maka bayaran penuh tadi juga dianggap lupus kerana Tuan Punya Hotel memang tak akan memulangkan semula bayaran wang yang telah dibuat.

Ada juga agensi yang cuba mengambil langkah selamat dengan tidak membuat tempahan bilik selagi Visa tidak diperolehi. Tetapi apabila Visa sudah diperolehi, ia menghadapi kesukaran pula untuk mendapatkan hotel pilihan. Mana-mana hotel yang “available” maka itulah yang ditempah. Dalam keadaan ini yang penting jemaah mendapat penginapan baik di Madinah mahupun di Makkah.

Masalah Visa

Peraturan Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji menetapkan setiap Permohonan Visa Umrah mesti melalui Muasasah yang telah dilantik. Sebagai bakal jemaah, kita tidak boleh memohon Visa tanpa melalui agensi yang telah mengikat Perjanjian dengan Muasasah di sana. Nak mohon sendiri memang tidak boleh.

Disebabkan oleh Kouta Umrah yang semakin terhad ini ada Muasasah yang memberi syarat “jika mahu Visa maka kena mengambil Hotel Muasasah di Tanah Suci”. Pastinya Hotel Muasasah ini tidak sama dengan Hotel yang Agensi janjikan dengan Jemaah. Jika dekat dengan Masjid tak jadi masalah, tetapi jika jauh ?

Dan tambah mendukacitakan apabila Muasasah menaikkan caj Perkhidmatan untuk memperolehi Visa kerana mereka juga turut mengalami kerugian kerana Kouta Umrah yang semakin terhad. Jika dahulu kos antara RM250 hingga RM300 tetapi untuk musim cuti sekolah yang baru ini sudah meningkat kepada RM450 hingga RM600 untuk 1 visa. Maka Agensi tiada pilihan terpaksa menerima kenaikan harga ini kerana yang penting Visa diperolehi.

Kesimpulan

Masalah berlaku apabila jemaah tidak mendapat maklumat yang sebenarnya mengenai Permasalahan Umrah di Sebalik Tabir ini. Saya berpendapat apabila jemaah diberi penerangan yang jelas mengikut fakta mengenai Permasalahan Umrah di Sebalik Tabir ini maka insyaAllah ianya akan difahami oleh jemaah. Dan apabila jemaah memahami permasalahan ini mudah-mudahan jemaah dapat menerimanya dengan redha dan lapang dada.

Tetapi apabila jemaah tidak memahami maka wujudlah rasa tidak puas hati di kalangan jemaah sehingga menuduh Agensi cuba menipu mereka dengan mencipta berbagai-bagai alasan.

Sekian dan Wassalam.