Assalamualaikum wbt dan bertemu lagi.

Tak lama lagi bermula musim Haji 1438H. Kebiasaannya penerbangan awal KT1 akan mula berlepas pada 1 Zulkaedah sesudah habisnya bulan Syawal. Syukur alhamdulillah, kabarnya tahun ini Visa Haji ada penambahan. Dan saya percaya masing-masing yang sudah menerima Tawaran Menunaikan Haji pastinya teruja dan tidak sabar untuk ke Tanah Suci.

Sebelum bakal jemaah Haji berangkat ke Tanah Suci ada baiknya diketahui terlebih dahulu beberapa perkara yang saya kira penting untuk diketahui. Saya percaya antara masalah yang sering dihadapi oleh jemaah Haji ataupun Umrah ialah tidak mendapat maklumat yang sepatutnya atau secukupnya.

Pihak Yang Bertanggungjawab ?

Tabung Haji

Pihak utama semestinya Tabung Haji (TH). TH berperanan bermula dari membuat Tawaran Haji, menguruskan soal Penerbangan Haji, mendapatkan Visa Haji, menguruskan hal jemaah (dari segi penginapan, kebajikan, kesihatan, keselamatan dan urusan haji) di Tanah Suci.

Sebaik sahaja jemaah sudah mendapat Tawaran Haji daripada TH, maka ia mesti mengetahui Jadual Penerbangannya dari segi tarikh dan masa daftar di Kelana Jaya, no. KT, tarikh dan masa berlepas ke Tanah Suci, tarikh dan masa keberangkatan pulang dan sehingga tiba mendarat di KLIA.

Jemaah Haji juga mesti (tidak boleh lupa) membawa bersama Buku Rekod Kesihatan Jemaah Haji yang telah disahkan oleh Doktor Panel TH selain dari Pasport Antarabangsa yang akan diperolehi semasa mendaftar di Kelana Jaya.

Travel Swasta atau disebut Pengelola Jemaah Haji (PJH)

Setiap tahun TH akan memberi lesen kepada beberapa PJH yang berkelayakan. PJH ini terdiri dari syarikat Travel Swasta yang dikenali ramai. Lesen yang diberi oleh TH ini diperbaharui setiap tahun dan setiap kali musim Haji PJH ini akan dinilai prestasinya oleh TH melalui sistem merit.

Andaikata ada PJH yang melanggar atau tidak mematuhi Terma & Syarat TH yang menyebabkan banyak markah yang dipotong atau demerit maka pada tahun hadapan berkemungkinan PJH yang berkenaan tidak akan diperbaharui lesennya. Oleh yang demikian, setiap PJH akan cuba memberikan khidmat yang terbaik kepada jemaah hajinya dengan memenuhi Terma & Syarat TH supaya tahun hadapan dan seterusnya lesen PJH kekal dan tidak digantung.

Tanggungjawab PJH

PJH bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal atau penginapan jemaah Hajinya selama di Makkah dan Madinah, selain dari memberi makan dan minum kepada Jemaah. Kelazimannya mereka yang memilih menyertai PJH ini mengharapkan PJH menyediakan Hotel Penginapan yang dekat dengan Masjid.

Selain itu PJH juga bertanggungjawab menjaga urusan kebajikan, keselamatan dan juga keperluan haji jemaahnya di Tanah Suci. PJH bertanggungjawab memastikan kesemua jemaahnya dapat menyempurnakan ibadah haji. Dan yang paling penting semasa menjaga jemaah Hajinya, setiap PJH mematuhi Terma & Syarat oleh TH.

Untuk makluman, semua Jadual Penerbangan Jemaah Haji dikawal oleh TH. Maknanya Jadual Penerbangan Jemaah Haji PJH juga ditentukan oleh pihak TH. PJH hanya boleh mengusulkan Jadual Penerbangan yang ia mahu akan tetapi kuasa penuh terletak di tangan TH yang menentukan.

Tidak kira samada kita ni jemaah Haji TH atau PJH, setiap jemaah Haji perlu mengetahui bahawasanya ada satu Badan yang dilantik oleh Kementerian Haji Arab Saudi bagi menjaga segala urusan Jemaah Haji yang dipanggil Muasasah.

Siapa itu Muasasah Haji ?

Muasasah Haji ialah satu syarikat yang dilantik oleh Kementerian Haji Arab Saudi untuk menguruskan hal ehwal Jemaah Haji. Setiap Muasasah Haji ini yang menerima Tawaran menjaga Urusan Haji ini akan diberi number Maktab oleh Kementerian Haji. Sebagai contoh, Muasasah A diberi no. Maktab 88 dan sebagainya.

Setiap Maktab Muasasah Haji ini akan menjaga 2500 orang jemaah Haji dalam satu musim. Jika jemaah Haji Malaysia berjumlah 30 ribu maka dianggarkan akan ada 12 Maktab Muasasah yang akan menjaga urusan dan kebajikan jemaah Haji Malaysia.

Tugas Muasasah Haji ?

Segala urusan jemaah Haji di Tanah Suci dikawal sepenuhnya oleh pihak Maktab Muasasah yang berkenaan. Sebaik jemaah Haji sampai sahaja di Madinah atau Jeddah, semua pasport Jemaah Haji akan diambil dan disimpan oleh pihak Maktab Muasasah dan jemaah Haji akan diberi gelang getah atau sebagai ganti pengenalan diri semasa di Tanah Suci. Tidak ada seorang jemaah Haji pun yang memegang Pasport semasa berada di Tanah Suci.

Urusan Pengangkutan

Setiap urusan pengangkutan Jemaah bermula pergerakan jemaah Haji dari awal masuk hingga akhir keluar akan dikawal sepenuhnya oleh pihak Maktab Muasasah. Dari urusan memasuki Madinah, kemudiannya keluar dari Madinah, memasuki Makkah, bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan seterusnya ke Mina dan urusan keberangkatan pulang jemaah, kesemuanya di bawah kawalan dan pengetahuan pihak Maktab Muasasah.

Contoh :-

Pergerakan jemaah Haji dari Madinah menuju ke Makkah ! Setiap jemaah akan ditentukan No. Bas masing-masing dan jemaah tidak boleh sesuka hati menaiki Bas pilihannya (mungkin kerana ingin mengikut kawan baiknya). Sebelum bergerak setiap bas akan diperiksa dan Petugas Muasasah atau TH dengan dibaca Nama Pemilik Pasport jemaah yang berada di dalam bas berkenaan. Bas tidak akan bergerak selagi bilangan Pasport tidak sama dengan bilangan Jemaah dalam bas.

Begitu juga semasa pergerakan balik nanti. Prosedur yang sama digunakan. Setiap pergerakan masuk dan keluar jemaah akan sentiasa dikawalselia oleh Petugas Muasasah.

Urusan Arafah, Muzdalifah dan Mina

Semasa Hari Tasyrik bermula dari 8 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah, semua urusan pergerakan dan logistik dikawal sepenuhnya oleh pihak Muasasah Arab Saudi melalui arahan Kementerian Haji Arab Saudi. Maknanya pihak TH dan PJH hanya perlu mematuhi segala arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh Muasasah Arab Saudi.

Bermula 8 Zulhijjah kesemua jemaah Haji Malaysia akan dibawa menaiki bas yang disediakan oleh pihak Maktab Muasasah menuju ke Arafah. Untuk makluman biasanya hanya 18 hingga 20 bas sahaja yang dibekalkan oleh Muasasah dan sistem ini dipanggil sistem “Taradudiyyah” atau “penggiliran bas”. Ketika ini pihak TH dan PJH akan membuat agihan atau pembahagian jemaah mana yang perlu naik bas dahulu dan begitulah seterusnya.

Jemaah haji diminta bersabar semasa menunggu ketibaan bas yang berpatah balik dari Arafah ke Makkah semula kerana keadaan traffik yang semakin lama semakin sesak dengan kenderaan. Jangan dimarah petugas TH atau PJH kerana urusan bas bukan dibawah kawalan mereka.

Khemah di Arafah

Jemaah Haji Malaysia akan ditempatkan di kawasan khemah Penempatan Jemaah Asia Tenggara dan ianya jauh dari kawasan Jabal Rahmah. Jemaah Haji dinasihatkan supaya menerima seadanya khemah yang disediakan oleh Muasasah. Biasanya secara asasnya kemudahan dalam khemah hanya ada carpet sahaja sebagai alas tidur.

Ada juga jemaah yang mengambil Pakej VIP di mana khemah yang disediakan ada kemudahan aircond, ada tilam dan bantal dan makanan secara buffet. Biasanya untuk services tambahan ini dikenakan sedikit caj tambahan dari pihak Muasasah.

Semasa di Arafah, pihak Muasasah akan menyediakan kemudahan makan dan minum jemaah. Setiap jemaah biasanya akan dibekalkan satu bungkusan yang mengandungi uncang teh, kopi dan gula untuk keperluan di Arafah. Makanan pula jenis Nasi Bungkus yang dimasak oleh petugas Muasasah dengan menggunakan Dapur Kayu. Untuk bekalan air panas jemaah boleh dapatkan di kawasan yang disediakan oleh Muasasah di kawasan Khemah.

Khemah di Mina

Khemah di Mina berkeadaan lebih baik berbanding di Arafah. Khemah yang dibina jenis kekal dan ada kemudahan aircond dalam khemah. Kebiasaannya penempatan di Mina agak sempit dan jemaah dinasihatkan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Sama seperti di Arafah, di Mina ini juga Muasasah akan membekalkan satu uncang mengandungi uncang teh, kopi dan gula kepada setiap jemaah.

Bila masa melontar ?

Semasa di Mina, pihak Muasasah akan memaklumkan kepada TH dan PJH waktu yang dibenarkan melontar untuk lontaran 10 Zulhijjah, 11 – 13 Zulhijjah. Jemaah Haji kena tunggu arahan TH atau PJH dan tidak boleh sesuka hati pergi ke Jamrat untuk melontar.

Biasanya selepas Muasasah memutuskan waktu yang sesuai untuk melontar maka barulah petugas TH dan PJH akan membawa jemaah secara berkumpulan berjalan kaki dari khemah Mina Muassim ke Jamrat untuk membuat lontaran.

Hal Kesihatan Jemaah Haji

Setiap tahun TH membawa bersama kakitangan perubatan yang terdiri dari doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang lain. Mereka bertugas di Hospital TH di Aziziah dan sebahagiannya di Hotel Penginapan Jemaah Haji TH atau PJH.

Bagi jemaah haji yang sakit kuat kebiasaannya mereka akan ditahan di Wad Hospital TH di Aziziah. Tetapi jika ada keperluan ada juga jemaah haji yang dimasukkan ke Hospital milik Kerajaan Arab Saudi.

Sebaiknya jemaah peka dengan masalah kesihatan. Berdasarkan pengalaman saya semasa bertugas dahulu ramai jemaah Haji yang sakit batuk, demam dan selsema selepas kembali dari Mina.

Urusan Penerbangan Balik Awal

Andai ada jemaah yang mahu pulang awal selepas selesai Haji, permohonan boleh dibuat ke Bahagian Penerbangan Jemaah Haji di Ibu Pejabat TH di Makkah. Ketika saya bertugas dahulu ramai jemaah Penerbangan Akhir yang tidak sabar mahu pulang segera selepas selesai Haji atas sebab hal-hal tertentu. Ada permohonan balik awal yang berjaya dan ada yang tidak. Ianya tergantung kepada kekosongan “seat” dalam Penerbangan KT yang berkenaan.

Kebiasaannya KT awal banyak seat yang kosong kerana semasa awal keberangkatan dahulu KT Awal ini membawa petugas-petugas TH yang akan tinggal lama di Arab Saudi kerana tugas dan mereka ini biasanya balik lewat dan tidak pada KT yang sama mereka datang. Ikut sistem First in & Last Out.

Ada juga jemaah wanita yang memohon dilewatkan keberangkatan pulang disebabkan masih ada Haid sedang Tawaf Rukun belum disempurnakan lagi sebaik kembali dari Mina. Jadi “seat” yang kosong ini boleh diisi oleh jemaah yang memohon untuk pulang awal.

Pentingnya Maklumat

Setiap jemaah haji mesti peka dengan maklumat yang disampaikan oleh TH atau PJH. Saya biasa melihat jemaah yang marah2 atau hilang sabar dan apabila diselidiki kes ini berpunca dari tidak mendapat maklumat yang sepatutnya.

Kerana itu jemaah Haji dinasihatkan supaya sentiasa menghadiri Kuliah atau Ceramah yang disampaikan oleh Guru Bimbingan Haji kerana semasa berkumpul ramai inilah pihak TH atau PJH memberikan maklumat terkini dari masa ke semasa.

Kesimpulan

Pengalaman saya semasa bertugas Haji dahulu, negara kita amat dikagumi oleh jemaah negara-negara lain dari segi pengendalian urusan jemaah Haji. Pabila jemaah haji kita bertemu dengan jemaah haji negara luar pasti isyarat ibu jari tanda bagus diberikan..dengan kata “Malaysia Bagus”. Dan kita hanya tersengih sahaja.

Kekurangan dan kelemahan pasti ada dalam setiap proses pengendalian jemaah haji akan tetapi sama-sama kita muhasabah diri bahawasanya keadaan yang kita alami kini sebenarnya jauh lebih baik berbanding jemaah masa lampau yang serba kekurangan. Jaga adab dan akhlak sebagai jemaah Haji yang datang dengan membawa banyak dosa dan pulang nanti dengan penuh harapan memperolehi Haji Yang Mabrur. Ibarat bayi yang baru lahir langsung tiada dosa, begitu jugalah harapan jemaah haji hendaknya..

Jumpa lagi dan Wassalam.