Assalamualaikum wbt. dan bertemu kembali.

Setinggi-tinggi syukur saya panjatkan ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat dan kasihsayangNya, rombongan Umrah Ajwa Travel telah selamat pergi dan selamat kembali ke Tanah Air. Berlepas pada 1 April dan sampai KLIA pada 12 April 2015. Alhamdulillah apa yang Ajwa rancang dan Allah memberi izinNya. Boleh dikatakan segalanya berjalan lancar dan berjaya, sungguhpun berlaku sedikit ujian pada awal keberangkatan.

Perancangan Awal

Sepatutnya kesemua jemaah Ajwa menaiki Pesawat Saudi Airlines sektor Kuala Lumpur ke Madinah dengan Pesawat SV829. Di saat akhir rezeki yang Ajwa dapat ialah hanya sebahagian yang dapat Penerbangan terus ke Madinah, manakala sebahagian lagi terpaksa menaiki Penerbangan Saudi tetapi sektor Kuala Lumpur ke Jeddah.

Namun begitu semasa keberangkatan pulang kesemua jemaah menaiki satu Pesawat yang sama iaitu SV832 sektor Jeddah ke Kuala Lumpur.

Mengapa berlaku ?

Penerbangan Kuala Lumpur ke Madinah telah penuh kesemuanya. Maka Ajwa menerima suratan ini dengan penuh redha. Yang penting jemaah masih dapat bersama di sepanjang berada di Tanah Suci. Apabila flight Saudi ke Jeddah telah berlepas, kami dapati dalam pesawat penumpang tidak penuh dan terlalu banyat seat yang kosong. Untungnya kami kerana ramai jemaah yang dapat tidur dengan berbaring pada 3 kerusi yang bersebelahan termasuklah saya.

Bernasib baik ?

Kami terbang pada 1 April 2015 yang jatuh pada hari Rabu. Kabarnya keesokan harinya iaitu Khamis dan Jumaat telah berlaku ribut pasir yang amat dahsyat di Arab Saudi terutamanya di Riyadh menyebabkan banyak flight yang mahu terbang ke Arab Saudi telah menangguh atau menunda Jadual Penerbangan mereka.

Syukur Alhamdulillah kami terselamat kerana berangkat awal sehari dari kejadian ribut pasir di Arab Saudi. Ketika kami di Madinah, ada jemaah Malaysia yang memaklumkan bahawa beliau lewat 2 hari dari Jadual asal kerana Kapal terbang tidak jadi terbang keadaan faktor di atas. Maka jemaah berkenaan menginap 2 hari di Hotel Airport.

20150402_114945

Ketibaan di Madinah

Kami sampai di Madinah dari Jeddah pada waktu hampir Subuh. Alhamdulillah jemaah sempat Solat Subuh di Masjid Nabawi. Bagi jemaah yang menaiki Pesawat terus ke Madinah, mereka telahpun sampai awal lagi di Madinah iaitu pada jam 9 malam lagi. Kami pula “check in” hotel pada waktu sebelum Subuh keesokkan hari. (Hari ke 2)

Alhamdulillah, Jemaah Pakej Idaman dapat menginap di Hotel Ansar Golden, manakala Jemaah Pakej Ekonomi menginap di Hotel Mubarak Madinah iaitu di sebelah Hotel Ansar Golden. Maknanya kedudukan kedua-dua hotel berdekatan dan memudahkan untuk Ajwa melaksanakan Program Ziarah di Madinah.

Suhu di Madinah

Ketika mula kami tiba di Madinah, suhu di waktu Subuh sekitar 24 darjah Celcius. Dingin tetapi tidak terlalu sejuk seperti kunjungan saya sebelumnya di bulan Januari. Tetapi pada hari ketiga dan seterusnya suhu di Madinah sudah mulai panas.

Keadaan Hotel di Madinah

Syukur alhamdulillah, kedua-dua Hotel tidak penuh dengan jemaah. Maka keadaan masa menunggu di lif tidaklah terlalu lama atau seteruk mana, berbanding pada bulan Disember yang lepas. Al-maklum Hotel-hotel di Madinah ini boleh menampung 2000 hingga 3000 jemaah, sedangkan lif yang ada hanya sedikit. Masalah menunggu di lif yang lama memang dah jadi masalah yang biasa dihadapi oleh jemaah di Madinah.

Menu Makanan

Syukur alhamdulillah semua jemaah Ajwa termasuk yang menginap di Hotel Mubarak Madinah dibenarkan untuk makan di tempat Makan Hotel Ansar Golden. Amat melegakan sekali kerana jemaah tidak perlu beratur panjang bersama-sama jemaah Indonesia yang ramai kerana mengambil syarikat Catering yang sama. Jemaah Ajwa dapat menikmati makanan mereka dengan santai dan tak perlu beratur panjang semasa di Ansar Golden.

20150404_095542

Program Ziarah Luar Madinah

Oleh kerana bulan April sudah masuk permulaan musim Panas, maka waktu siangnya lebih panjang berbanding waktu malam. Waktu Subuh sekitar jam 4.54 pagi. Selesai solat Subuh jemaah boleh santai menikmati Sarapan Pagi kerana waktu mula Ziarah ialah pada jam 7.30 pagi.

Kami beruntung kerana mendapat Pemandu Bas orang Indonesia. Mudah untuk kami berkomunikasi dan lazimnya mereka ini lebih lemah lembut berbanding jika Pemandu Bas orang Arab.

Program Ziarah Luar Madinah bermula pada jam 7.30 pafgi dan berakhir sekitar jam 11.30 pagi. Ada masa 1 jam lagi sebelum Zohor. Dan yang menariknya saya dapat bawa jemaah ke Kedai Kebun Tamar pilihan saya kerana hanya di Kedai ini yang menjual Kurma Ajwa dan yang lainnya sama harga dengan Pasar Tamar. Biasanya Kurma Ajwa yang dijual di Kebun Tamar berharga mahal antara SR100 ke SR120 sekilogram. Tetapi jemaah Ajwa dapat membeli pada harga SR60 untuk 1 kilogram Kurma Ajwa. Alhamdulilllah.

20150406_022318

Keberangkatan ke Makkah

Kami check out Hotel pada hari Ahad 5 April 2015, iaitu selepas solat Zuhur dan makan tengahari. Bas ke Makkah lazimnya akan singgah sebentar di Masjid Bir Ali bagi membolehkan jemaah berniat Umrah di tempat Miqat. Sebahagian jemaah solat Asar di Masjid ini, manakala sebahagian lagi telah pun melakukan Solat Jamak Qasar di Masjid Nabawi pada waktu Zuhur tadi.

Syukur alhamdulillah jemaah selamat sampai di Makkah pada jam 9.30 malam dan jemaah di Makkah telah selesai menunaikan Solat Isyak mereka. Kesemua jemaah baik yang di Hotel Safwah Orchid (Pakej Idaman) dan juga Hotel Jawad altaj (Pakej Ekonomi) telah dapat menyempurnakan Umrah mereka pada malam itu juga.

20150410_174409

Keadaan Masjidil Haram

Bolehlah dianggarkan hanya 30% kawasan dalam Masjidil Haram yang boleh digunakan, manakala di kawasan yang lain masih dalam kerja-kerja pengubahsuaian. Pintu 1 Malek Abdul Aziz sehingga ke kawasan belakang Istana Raja telah diruntuhkan.

20150410_174337

Keadaan dalam Masjid masih terkawal. Di kawasan Mataf iaitu tempat jemaah melakukan Tawaf hampir setiap masa penuh sesak dan padat dengan jemaah yang bertawaf. Jika nak lancar pergerakan kena guna Mataf di Tingkat 1 atau nak lebih lapang lagi guna Mataf di sebelah paling atas.

20150409_182737

Kawalan oleh Tentera

Boleh dikatakan kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu Solat Fardhu didirikan, petugas Masjid yang berpakaian Tentera Arab Saudi akan menutup semua Pintu Masuk Masjid. Saya fikir langkah ini diambil bagi mengelakkan berlaku kesesakan di dalam Masjid ketika solat fardhu akan didirikan nanti.

20150410_044248

Yang kesian ialah jemaah yang terpaksa akur lalu duduk di luar kawasan Masjidil Haram menunggu waktu solat Fardhu didirikan. Jika pada waktu solat Subuh, Maghrib dan Isyak saya kira O.K kerana keadaan cuaca yang tidak panas.

20150410_044306

Tetapi yang kesiannya ialah pada waktu Zohor ketika matahari berada tegak di atas kepala. Saya dapati ramai jemaah kekal duduk di dataran luar Masjid yang panas terik sehingga suhu mencapai 40 darjah Celcius. Kuatkan iman mereka, kata saya dalam hati. Boleh jadi iman yang kuat dapat menyejukkan suasana panas dalam diri mereka. Iman saya yang lemah ini hanya tahu mencari kawasan teduh dan ada “aircond” kerana tidak tahan dengan suhu panas di Makkah.

AllahuAkbar ! Semoga Allah melimpahkan ganjaran pahala yang sebanyak-banyaknya kepada jemaah yang begitu sabar menghadapi cuaca panas dengan ikhtikaf di luar Dataran Masjidil Haram.

20150410_113939

Solat Jumaat di Masjidil Haram

Sesiapa yang datang ke Makkah pasti teruja untuk dapat Solat Jumaat di Masjidil Haram. Bagi bakal-bakal jemaah boleh ambil ingatan bahawa kira-kira 2 jam sebelum masuk waktu Zuhur (pada hari Jumaat) kesemua pintu-pintu masuk telah ditutup kepada jemaah untuk memasukinya. Kami yang datang pada waktu yang berkenaan mendapati Pintu-pintu Masjid telah ditutup.

Boleh jadi awal dari masa 2 jam tersebut. Maknanya ramai jemaah yang tiba lewat dari tempoh 2 jam sebelum masuk waktu Zuhur terpaksa solat Jumaat di dataran luar Masjid yang panas terik. Bagi yang tak tahan panas, ada yang mengundur diri lalu membentang sejadah di kawasan dalam bangunan ZamZam Tower kerana ingin berteduh dari panas matahari. Yang penting dapat Solat Jumaat ianya masih sah kerana saf jemaah tidak terputus.

Suhu di Makkah

Pada sebelah pagi waktu Subuh, suhu yang ditunjukkan ialah 33 darjah Celcius. Agak panas sedikit berbanding di Madinah. Manakala pada waktu Zohor antara 37 hingga 40 darjah Celcius. Suhu di Makkah akan bertambah panas lagi selepas ini terutama pada bulan Ramadhan mendatang. Teringat di Ramadhan yang lepas, suhu di Makkah sudah mencapai 50 darjah Celcius.

20150409_084539

Program Ziarah di Makkah

Ada 2 program Ziarah iaitu Ziarah Manasek Haji dan Ziarah tambahan Hudaibiyah. Kedua-dua program ini dipimpin oleh saya sendiri. Jika dahulu biasanya program Ziarah dipimpin oleh orang Makkah (biasanya Mutawif Indonesia atau Patani), tetapi semenjak saya tubuhkan Ajwa Travel, kesemua program Ziarah di Makkah dipimpin oleh saya sendiri. Rasa puas apabila dapat membimbing jemaah sendiri menjelaskan maklumat mengenai tempat lawatan dan sejarah mengenainya.

Tambahan pula jemaah lebih mudah memahami apa yang disampaikan berbanding jika tugas memimpin Ziarah ini saya serahkan kepada Mutawif Indonesia atau Patani. Bukan menidakkan mereka, cuma jemaah Malaysia selalunya sukar memahami percakapan bahasa mereka.

Menu Makanan di Makkah

Sajian Makanan dibekalkan oleh Suhaimi Catering iaitu orang Kedah yang menetap di Makkah. Syukur alhamdulillah saya boleh beri 5 bintang untuk sajian makanan yang ia bekalkan kepada jemaah. Memang sedap. Dan kunjungan kali ini saya langsung tidak membeli makanan luar kerana makanan di tempat makan lebih sedap berbanding yang dibeli di kedai-kedai makan.

Air Zam Zam untuk Jemaah

Kali ini air Zam Zam kami beli terus di tempat jualan di Terminal Airport Saudi Airlines. Nak beli kena tunjuk Pasport baru boleh beli. Benar-benar mereka mengetatkan kawalan untuk membawa air Zam Zam yang original.

Kepulangan ke Tanah Air

Sebaik kami tiba di Terminal Saudi Airlines sudah ada petugas yang menunggu untuk mengangkut semua bagasi Jemaah Ajwa untuk dibawa masuk ke dalam tempat Kaunter ‘Check in”. Kami sampai di Terminal pada jam 3.30 petang. Sangka kami dah sampai awal kerana flight berlepas jam 11 malam. Rupa-rupanya kumpulan lain sudah sampai awal dari kami dan sedang dalam proses timbang barang ketika itu.

Syukur alhamdulillah tiada jemaah yang dikenakan lebihan bagasi kerana masing-masing telah mematuhi peringatan awal yang kami berikan. Iaitu berat bagasi jemaah jangan melebihi 30 kg seorang. Manakala berat sebuah beg jangan melebihi 25 kg. Jika lebih maka pihak Saudi Airlines tidak membenarkan beg berkenaan dibawa masuk dalam kargo flight.

Saya melihat ada satu beg jemaah syarikat lain yang terpaksa dibuka secara paksa kerana berat beg berkenaan mencapai 38kg. Mujur petugas Travel ada lagi dan mereka mengeluarkan isi kandungan beg yang berupa kurma-kurma sehingga beg berkenaan kurang dari 25kg dan barulah beg tersebut dibenarkan masuk ke dalam kargo.

Jumpa lagi dan Wassalam.