Assalamualaikum wbt. dan bertemu kembali.

Pakej Hatyai ini bermula dari inisiatif seorang Ahli Kariah Surau di Taman TTDI Jaya, Shah Alam yang meminta saya untuk set satu Pakej Melawat Hatyai selama 3 hari dan 2 malam untuk ahli kariahnya. Ironisnya mereka mahu ke sana dengan menggunakan Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu dari KL Sentral dan balik dari Padang Besar dengan ETS iaitu Sistem Keretapi Elektrik.

ETS

Maka pada 27 November 2015, kami pun ke sana dengan Keretapi yang bertolak pada jam 1 pagi. Saya sendiri tidak menyangka rombongan ke Hatyai boleh mencapai 100 orang jemaah yang kebanyakkannya terdiri dari Warga Emas.  Rata-rata menyatakan tarikan utama mereka menyertai rombongan ini kerana ingin merasai pengalaman menaiki Keretapi dan pulang nanti dengan menaiki ETS (Keretapi Eletrik)

Untuk makluman, sebenarnya telah ada Perjanjian di antara KTMB dengan Kerajaan Thailand iaitu hanya 2 gerabak sahaja yang dibenarkan memasuki Hatyai. Oleh kerana bilangan ahli rombongan yang ramai, hanya seramai 35 orang sahaja yang berjaya mendapatkan tiket Keretapi ke Hatyai, manakala bakinya terpaksa “stop” sehingga Padang Besar sahaja. Dan dari Padang Besar ke Hatyai, jemaah diambil dengan Bas Persiaran dari Thailand.

Cabaran Awal

Keretapi bergerak dari KL Sentral pada jam 1 pagi dan sampai di Padang Besar pada jam 10.30 pagi. Sampai di sana, kami harus melepasi 2 tempat Imigresen iaitu Imigresen Malaysia di bangunan milik KTMB (check out Malaysia) dan Imigresen Thailand yang lokasinya boleh dikatakan agak jauh juga.

Oleh kerana ahli rombongan terdiri dari majoriti warga emas, maka pergerakan dari bangunan KTMB hingga ke Imigresen Malaysia memang menyukarkan dan memenatkan. Jemaah terpaksa naik tangga, berjalan sambil membawa bagasi dalam jarak yang agak jauh untuk ke sana.

Selepas melepasi Imigresen Malaysia, kami harus menyediakan Van untuk membawa jemaah bersama bagasi dari sempadan Malaysia hingga ke kawasan Imigresen Thailand yang jaraknya saya anggarkan lebih dari 500 meter. Ini kerana Bas Persiaran dari Thailand idak boleh memasuki sempadan Malaysia di Padang Besar.

Tiba di Sempadan Thailand

Sampai di Imigresen Thailand, kami terpaksa beratur panjang dan mengambil masa yang lama pula untuk Proses Cop Pasport memasuki Thailand. Sabar aje la. Syukur alhamdulillah jemaah dapat bersabar dengan suasana yang berlaku di Pintu Masuk Thailand. Nak buat macam mana..kami bukan VIP yang boleh mendapat layanan istimewa. Kami ahli rombongan seramai 65 orang ini terpaksa beratur panjang bersama-sama dengan rakyat Thailand yang ingin memasuki Thailand.

Selepas selesai urusan di Imigresen Thailand, kami terus menaiki bas dan sebahagian menaiki Van menuju ke Hatyai. Oleh kerana kelaparan, maka tempat utama yang dituju ialah Restoran Makanan Halal. Sampai di Restoran Maroc, sekali lagi kami diuji dengan hidangan makanan yang belum siap sepenuhnya. Walhal dari Padang Besar sudah dimaklumkan supaya menyediakan makanan lebih awal.

Tetapi apabila hidangan makanan sudah sampai, kami tidak dapat menafikan sesungguhnya masakan Thai memang sedap. Saya ingat ada 5 jenis menu yang dihidangkan dan diletakkan di atas meja kami. Rupa-rupanya memang stail Restoran di sini yang menghantar makanan secara beransur-ansur (boleh jadi kerana tiada ruang di atas meja Makan), bukan seperti di tempat kita yang menghidangkan kesemua menu sekali gus.

20151009_090957

Lawatan ke Perkampungan Gajah

Selepas Makan, kami dibawa ke kawasan Perkampungan Gajah. Sesiapa yang ingin menaiki Gajah boleh membeli tiket yang berharga 500 Thai Baht (lebih kurang RM60). Hanya 2 orang sahaja dibenarkan untuk menaiki Gajah. Bagi yang tidak mahu menunggang Gajah ada beberapa aktiviti lain di sini. Antaranya menunggang APV (motor 4 roda) di laluan off-road, memanah, menembak atau memberi makan kepada gajah.

Kami menghabiskan masa lebih kurang 1 jam di sini dan selepas itu kami menuju ke Hotel untuk urusan “check in”. Selepas jemaah mendapat bilik masing-masing. Dan selepas Maghrib kami keluar semula untuk Makan Malam di Restoran Tempatan yang menyediakan Juadah Makanan yang berbeza pula menunya.

20151127_194055

Catatan Hari ke2 dan ke3 di Hatyai

Pergerakan bermula selepas sarapan pagi di Hotel VL yang memang mendapat Sijil Makanan Halal oleh pihak yang berwajib. Destinasi lawatan bermula di Kedai Menjual Madu Lebah. Uniknya di sini, pengunjung diberi penerangan mengenai Produk Madu Lemah di dalam bilik Kuliah khas. Oleh kerana bilangan kami ramai, maka terpaksa dipisahkan kepada 2 kelas. Dah macam masuk Universiti pulak. Yang memberi ceramah ialah Tuan Punya Kedai dan juga kakitangan Kedai Madu yang berkenaan.

20151128_083251

Plaza Nora

Lokasi ini sememangnya tarikan utama pengunjung yang datang ke Hatyai. Sebaik sahaja sampai di sini, saya dapati sudah ada 5 buah bas Persiaran yang sudah parkir di sini. Dan apabila turun sahaja dari bas, kami disambut oleh seorang Petugas Plaza Nora yang memberikan Kad diskaun 20%. Kaum wanita memanglah seronok di sini. Pelbagai barangan dijual di sini dan yang paling popular ialah barangan kulit.

20151128_112555

Selesai aktiviti membeli belah di Plaza Nora, jemaah dibawa membelibelah di Kedai Menjual Makanan Kering Pula..memang Hari ke2 ini agenda membelibelah aje.

Kemudian rombongan bergerak ke Pantai Songkhla untuk makan tengahari pula. Makan tengahari di kedai makan di tepi pantai sememangnya mengasyikkan. Memang tidak boleh dinafikan restoran Makan Halal yang kami masuk kesemuanya menghidangkan menu sajian yang amat lazat sekali. Masing-masing punya kelebihan tersendiri.

Solat Jamak di Masjid

Kami singgah untuk Solat Jamak Takhir di sebuah Masjid yang kami tidak pasti nama lokasinya. Bangunan Masjid 3 tingkat ini sememang cantik dan luas. Di bahagian bawah bangunan ialah tempat parkir kereta, di tingkat 1 ialah bahagian kelas pengajian dan dewan solat di tingkat atas sekali.

Bagi warga emas memang memenatkan untuk menaiki tangga menuju ke dewan solat utama. Ramai muslimah yang hanya solat di coridor tingkat satu sahaja. Rekabentuk bangunan masjid memang mengkagumkan tetapi tidak ramai yang solat di Masjid ini. Mungkin kerana lokasinya yang jauh dari kawasan perumahan. Tambahan pula penduduk Hatyai bukan majoritinya Muslim.

20151128_173634

Pasar Terapung

Satu tempat yang menjadi tarikan utama ialah Pasar Terapung. Sebaik kami sampai di sini, ada berbelas Bas Persiaran yang majoritinya dari Malaysia sudah sedia parkir di sini. Keunikan pasar terapung di sini ialah pelbagai jenis juadah makanan dijual di dalam Perahu dan pengunjung mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati makanan yang ia sukai.

Majoriti peniaga di atas perahu ialah Muslimah yang memakai Tudung, jadi pengunjung dari Malaysia tidak perlu ragu-ragu akan status Halal. Ini kata Tour Guide Bas kami, seorang Musimah dari Patani yang fasih berbaasa Melayu.

20151128_181323

 

Selesai aktiviti di Pasar Terapung, rombongan kami dibawa Makan Malam pula di suatu kawasan Restoran yang seperti Rumah Banglow tidak jauh dari Masjid yang kami singgah tadi. Sungguhpun kami tak kenal apa nama menu yang disajikan kepada kami, tetapi hidangannya memang lazat sekali.

20151128_192923

Selesai menjamu selera, atas kehendak majoriti jemaah yang tidak puas membelibelah maka masing-masing mahu diturunkan di kawasan Pasar Malam pula. Layan aje la..penat memangla penat tetapi kepuasan hati jemaah lebih utama.

Hari terakhir di Hatyai, selepas aktiviti membelibelah di kawasan Pasar berhampiran Hotel, kami dihidangkan makan tengahari pula di sebuah Restoran Halal Tempatan. Sekali lagi jemaah merasa Menu Sajian yang berbeza dari Restoran sebelumnya. Tetapi memang lazat. Habis licin semua hidangan yang disajikan.

Urusan Imigresen Thailand di Padang Besar

Oleh kerana Bas Persiaran Thailand tidak boleh memasuki sempadan Malaysia di Padang Besar, maka sekali lagi kami harus menyewa Van Khas untuk mengangkut jemaah bersama dengan bagasi mereka dari kawasan Thailand untuk masuk ke sempadan Malaysia. Mana mungkin saya nak biarkan jemaah berjalan kaki dengan membawa bagasi mereka ke sempadan Malaysia yang jaraknya sejauh melebihi 500 meter. Memang kesian.

Agaknya sebab itu, ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk menaiki bas sahaja ke Hatyai. Tetapi jika saya diberi pilihan saya lebih suka naik ‘Train” dari menggunakan Bas. Naik ‘train’ pada saya tidaklah membosankan. Kita boleh santai berjalan-jalan antara gerabak ke gerabak dan ruangan untuk sembang sambil menjamu selera.

20151129_162415_001

Kami menaiki ETS iaitu sistem Keretapi Elektrik dari Padang Besar pada jam 4 petang menuju ke KL Sentral. Sepanjang perjalanan kita boleh lihat pemandangan indah mukabumi Malaysia yang indah permai. Teringat pula lagu “Ekspress Rakyat” dendangan Kumpulan Kembara suatu masa dahulu. Kami sampai di KL Sentral sekitar jam 10 malam. Pulang dengan membawa pengalaman manis semasa di Hatyai.

Wassalam.