Assalamualaikum wbt.

Peluang untuk ke Negara-negara Balkan datang secara tiba-tiba apabila pihak Andalusia Travel menganjurkan FAM Trip ke negara-negara Balkan dengan mendapat penajaan Turkish Airlines. Ketika itu saya berada di Tanah Suci menguruskan jemaah Ajwa Travel yang datang mengerjakan Umrah.

Tawaran yang disampaikan melalui aplikasi Whatsapp Group Travel Agency yang hadir ketika Kursus Pemantapan Umrah pada bulan September 2017, (syarat bagi memohon Lesen Khas Umrah) segera dijawab oleh saya bagi pihak Ajwa Travel. Dimaklumkan awal satu Travel Agency (TA) hanya dibenarkan menghantar seorang wakil sahaja. Maka dengan sedikit bayaran penyertaan setelah tiket ditaja oleh Turkish Airlines, maka rombongan pertama berlepas pada 29 Disember 2017 yang lalu, kira-kira 5 hari sekembalinya saya dari Tanah Suci. Sempat juga saya ambil kesempatan bercuti 3 hari 2 malam di Melaka bersama anak-anak yang ditinggalkan sebulan.

Hari Pertama – 29 Disember 2017

Kapalterbang TK61 Turkish Airlines dijadualkan berlepas pada jam 11.55 malam, 29 Disember 2017 yang terdiri 18 peserta rombongan yang datangnya dari Travel Agency tempatan. Untung juga dapat berkenal-kenalan dengan anggota rombongan dari TA yang lain. Oleh kerana saya peserta yang paling akhir datang untuk “check in” bagasi maka tak pasal-pasal saya digelar Mr Presiden oleh ahli rombongan yang lain. Saya gelak aje la..tak sangka gelaran tu lekat sehingga kami balik dari Trip Balkan.

Penerbangan Turkish Airlines

Penerbangan ke Istanbul mengambil masa 10 jam perjalanan dari KLIA. Saya dapati “seat” ekonomi Flight TK61 mempunyai 2 “seat” di sebelah kiri, ada 4 “seat” di tengah dan 2 “seat” lagi di sebelah kanan, menjadikan satu baris ada 8 “seat” kesemuanya. Kebiasaannya satu baris ada 9 “seat” maka boleh dikatakan “seat” ekonomi Turkish Airlines agak luas sedikit berbanding “seat” ekonomi pada Flight yang lain.

Tak hairanlah saya boleh tidur nyenyak dalam flight sehingga terlepas hidangan makan yang pertama dan nyaris tak dapat hidangan yang kedua sekiranya saya masih tidur lagi dalam flight. Patutlah Turkish Airlines diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia baru-baru ini.

Tiba di Istanbul (Hari kedua 30 Disember 2017)

Flight tiba di Istanbul sekitar jam 6 pagi waktu tempatan dan kami sempat Solat Subuh di Airport. Syukur alhamdulillah ahli rombongan kesemuanya mengutamakan solat. Saya dapat rasakan keseronokan pabila bersama ahli rombongan sebegini yang mementingkan solat walau di mana jua berada. Mudah-mudahan sepanjang perjalanan Trip Balkan ini dalam keberkahan Allah.

Suhu di Istanbul

Ketika sampai dan keluar dari bangunan Terminal, suhu di Istanbul amat sejuk sekali, sekitar 5 darjah celcius. Memang kena pakai baju tebal dan sarung tangan gamaknya. Sejuk giler. Sebaik dibawa menaiki bas yang disediakan oleh Turkish Airlines, lokasi awal kami pastinya Restoran Tempatan untuk kami bersarapan pagi.

Oleh kerana penerbangan seterusnya lama lagi iaitu pada jam 8 malam, maka selepas sarapan pagi kami dibawa menziarahi beberapa tempat tumpuan utama di Istanbul seperti di Masjid Biru, Hagia Sofia dan kawasan sekitar yang berkenaan. Kami tidak masuk ke Hagia Sofia dan Istana Top Kapi atas faktur masa.

Kami seterusnya dibawa ke Grand Bazar yang rupa-rupanya tidaklah terlalu jauh dari kawasan dataran 3 tempat yang berkenaan. Jalan kaki aje dan sekitar 10 minit dah sampai di Grand Bazar yang terkenal tu. Kabarnya Grand Bazar ada 5000 outlet yang menjual pelbagai jenis barangan. Kami diberi masa 1 jam setengah aje kat sini kerana selepas itu kami dijadualkan akan solat Jamak di Masjid Biru dan Makan Tengahari pula. Mana cukup masa nak shoping !

Suasana dalam Masjid Biru

Penerbangan selanjutnya  !

Kami menaiki pesawat seterusnya yang lebih kecil menuju ke Skopje, ibu negara bagi Republik Macedonia. Sebutannya ialah “Skopia” walaupun ianya dieja Skopje. Penerbangan hanya mengambil masa 2 jam sahaja dengan Turkish Airlines juga. Ketika kami sampai di Airport Skopje yang agak kecil dan sunyi, suhu tempatan (yang tertera di gadget) ialah 1 darjah celcius. Lagi sejuk dari Istanbul.

Setelah disambut oleh Tour Guide yang bernama Adolf (orang Albania yang menemani kami sepanjang perjalanan Trip Balkan). Kami dibawa “check in” di Hotel Holiday Inn di Skopje. Setelah mendapatkan kunci bilik, masing-masing pun bersegera memasuki bilik dan saya terus tidur kerana kepenatan.

Hari ketiga di Skopje (31 Disember 2017)

Waktu Subuh di Skopje sekitar jam 5.25 pagi dan suhu ketika tu yang tercatat ialah negatif 5 celcius. Selepas sarapan pagi, kami diperkenalkan Tour Guide di Macedonia yang bernama Igor, seorang lelaki muda yang fasih berbahasa English. Igor menemani kami sepanjang “city tour” di Skopye hingga ke Ohrid.

Jumlah penduduk Skopje hanyalah sekitar 500 ribu orang, tidak terlalu ramai bagi sebuah kota yang mencapai status ibu negara Macedonia. Kami dibawa berjalan kaki di kawasan sekitar bandar Skopje yang dilihat sepi. Boleh jadi kerana hari minggu, maka tiada orang yang datang ke bandar untuk bekerja. Saya dapati bandar peninggalan rejim komunis ini di suatu ketika dahulu banyak dibuat patung monumen bagi memperingati pahlawan terkenal mereka suatu ketika dahulu.

Yang tak seronoknya banyak anjing-anjing yang sentiasa mengikut kami berjalan kaki di bandar Skopje ni. Boleh jadi anjing-anjing ni lapar agaknya dan mengharapkan memperolehi makanan dari pengunjung yang tiba di bandar ni. Mujur anjing-anjing ini tidak ada yang menyentuh ahli rombongan, sekadar ikut sama kami berjalan kaki sepanjang “City Tour” di Skopje ini.

Meninggalkan Skopje menuju Ohrid

Hampir 2 jam juga kami berjalan kaki dibawa oleh Tour Guide yang bernama Igor dan Adolf menjelajahi sekitar bandar Skopje. Perjalanan kemudian diteruskan menuju ke Ohrid pula dengan bas persiaran yang tidak dihidupkan penghawa dingin kerana cuaca di luar sudah sedia sejuk.

Sepanjang perjalanan yang panjang, kami boleh melihat banjaran gunung yang bersalji di bahagian atas puncaknya. Sesekali berhenti di stesen minyak kerana memberi peluang ahli rombongan membuang air kecil atau istilah saya turun bas untuk “tanda kawasan”. Almaklum cuaca sejuk.

Tiba di Ohrid

Kami tiba di Ohrid ketika sudah tengahari. Ohrid ialah bandar ketiga terbesar di Macedonia dan memiliki jumlah penduduk sekitar 50 ribu orang sahaja. Sebaik tiba di Ohrid, pastinya lokasi yang dituju dahulu ialah restoran tempatan yang halal untuk makan tengahari. Kami berjalan kaki lebih dari 500 meter untuk sampai ke restoran yang berkenaan selepas melewati beberapa blok deretan kedai di bandar kecil ini.

Ketika tiba di Ohrid baru saya dapat jawaban mengapa Trip Balkan ini digemari oleh pelancung-pelancung Malaysia dan dunia umumnya. Pemandangan di Ohrid Lake amat cantik, memukau pandangan dan mendamaikan. Suasana Danau Ohrid yang dikelilingi oleh banjaran gunung yang bersalji dari kejauhan dan deretan kapal atau bot di jeti menambah seri bandar Ohrid.

Kami dibawa menaiki bot menyusuri Ohrid Lake sambil menikmati pemandangan indah alam semulajadi ciptaan Ilahi. Sayang sekali bateri hand phone saya kehabisan bateri sebaik memulakan pelayaran. Jadi tak dapat tangkap banyak gambar pemandangan di sini.

Selesai belayar dengan bot tak lama hari sudah menjelang senja dan semakin gelap. Bayangkan waktu Maghrib di sini seawal 4.30 petang dan jam 6.30 petang dah masuk Isyak. Kami menaiki bas lagi bagi meneruskan perjalanan seterusnya ke bandar Tirana.

Tiba di Tirana

Tirana ialah ibu negeri bagi Albania. Jarak antara Skopje ke Ohrid ialah 180km dan Ohrid ke Tirana sekitar pula dalam anggaran 140km. Satu perjalanan yang panjang iaitu bermula awal jam 8 pagi dan sampai di Tirana pada jam 8 malam iaitu 12 jam perjalanan. Memang meletihkan.

Sebelum “check in” Hotel Te Stela di Tirana (bertaraf 4 bintang), kami sempat dibawa makan malam di Restoran Tempatan yang bernama “Sofra Turke” yang terletak sekitar 10 minit perjalanan menuju ke Hotel.

Menu Hidangan

Cuaca yang sejuk dan perjalanan yang panjang dari Skopye ke Ohrid dan seterusnya ke Tirana sememangnya membuatkan perut kami lapar. Tetapi kami harus ikut rentak orang sini, apa saja yang dihidang itulah yang kami makan..yang penting dijamin halal.

Menu pertama yang diberikan ialah sepinggan Sup. Kami pun makan aje la..ada juga yang ambil roti bercicah dengan sup yang diberi. Dah habis sepinggan sup, kami diberi makan sayur-sayuran pula. Saya campurkan dengan sedikit cuka, minyak zaitun, sedikit lada sulah dan gaul. Akhirnya hampir habis juga saya makan sayur-sayuran.

Selesai sayuran, baru dihantar hidangan utama iaitu Ikan Trout Bakar dengan sedikit nasi. Ciput aje nasi yang diberi. Saya ingat dua tiga kali suap dengan sudu dah habis nasi. Apa pun jangan merungut di depan rezeki. Yang penting tak lapar. Sengeh aje la.

Apa pun sebenarnya gaya menu orang sini saya rasa baik untuk sistem penghadaman makanan. Kami diberi jenis makanan yang mudah hadam dahulu, kemudian last sekali baru menu utama. Itu pun saya rasa sekadar jangan bagi kita lapar. Syukur atas rezeki yang ada.

Hotel Te Stela bertaraf 4 bintang di Tirana

“Check in” Hotel di Tirana

Ketika kami “check in” di hotel, masing-masing dah tak sabar nak mendapatkan bilik. Almaklum penat. Demi mendapat bilik aje, kami langsung tidur kerana kepenatan selepas selesai Solat Jamak Takhir di bilik. Tiba-tiba saya terjaga kerana mendengar bunyi letupan…Rupa-rupanya masyarakat di Tirana ni menyambut ketibaan Tahun Baru 2018. Maka tepat bermula jam 12 tengah malam, mereka sudah membakar mercun dan bunga api sebagai tanda sambutan Tahun Baru.

Sempat juga saya rakam detik yang bersejarah sambutan Tahun Baru tu dalam Hand Phone saya. Terasa macam membazir kerana percikan bunga api yang dilihat saya rasa lebih berdurasi 10 minit…punyalah lama dan terlalu banyak bunga api di ruang angkasa..tak tahu berapa kos yang dibazirkan hanya kerana keseronokan sambutan Tahun Baru.

Bersambung …..untuk cerita pengalaman melawat Tirana dan yang lainnya..