Assalamualaikum wbt..

Jika sebelum ini kami menginap di hotel bertaraf 4 bintang tetapi di Pamukkale kami menginap di hotel bertaraf 5 bintang. Sebenarnya saya tak kisah sangat sebab bukannya kami menginap lama..hotel hanya sekadar tempat persinggahan untuk istirehat dan banyak masa dihabiskan di luar untuk menziarahi tempat-tempat menarik yang belum pernah kami kunjungi.

20161013_094313

Selepas sarapan pagi sekitar jam 8 pagi kami sudah “check out”. Lokasi yang pertama diziarahi di Pamukkale ialah sebuah Shopping Mall untuk membeli belah. Yang bestnya barangan yang dijual di sini sememangnya murah dan diberi diskaun yang menambat hati kami. Harga yang dipamir dalam USD tetapi kami hanya perlu membayar amaun dalam matawang Turki Lira. Sebagai contoh harga USD30 dibayar hanya 30 Lira sahaja iaitu lebih kurang RM40 aje..memang murah sangat. Tak ingat pula apa nama Shopping Mall berkenaan.

20161013_100713

Sebelum sampai di tempat tujuan sempat juga rombongan kami berhenti sebentar melawat Ladang Buah delima yang terdapat di tepi jalan.  Kebetulan pula ramai pekerja ladang sedang bertugas memetik buah delima, jadi kami ambil kesempatan untuk bergambar kenangan di situ.

20161013_110658

Sejarah Pamukkale

Kunjungan ke Turki dikira tidak lengkap jika tidak menziarahi Pamukkale. Ini kerana Pamukkale terkenal dengan keindahan alam semulajadinya dan juga kesan peninggalan sejarah silam. Nama Pamukkale dalam bahasa Turki bermaksud “benteng kapas” atau “cotton castle”.

20161013_111429

Terdapat 2 bahagian utama yang kami ziarahi iaitu di Hierapolis dan Travertines. Ziarah kami bermula dari Pamukkale Hierapolis iaitu satu kota tua yang berdiri megah pada zaman Empayar Rom dan Empayar Byzantine. Kami memasuki Pintu Gerbang utama yang terletak di bahagian atas puncak bukit. Terdapat Papan Tanda atau Papan Maklumat yang menceritakan sejarah kota Hierapolis ini dan di sini Mr Sakir telah memberikan penerangan mengenai sejarah kota ini dengan begitu baik sekali.

20161013_110719

Kita boleh saksikan kesan sisa-sisa runtuhan bangunan, pintu gerbang kota, tiang-tiang Roman, kuil, pentas teater dan tembok-tembok pertahanan kota. Kami berjalan kaki meninjau keadaan sekeliling kota ini yang amat luas sekali sambil menuju ke satu lagi bahagian yang paling indah iaitu Pamukkale Travertine.

20161013_113045

Bahagian Pamukkale Travertines pula ialah kolam bertingkat air panas yang amat indah dan memukau pandangan mata. Kolam air panas bertingkat-tingkat ini terjadi berpunca dari sumber air panas yang kehilangan karbon dioksida dan mengalir menuruni lereng bukit membentuk lapisan kalsium karbonat berwarna putih.

20161013_113053

Adalah dipercayai dan diyakini oleh ramai pengunjung bahawasanya kolam air panas ini baik untuk kesihatan dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Kolam air panas ini pernah digunakan sebagai tempat mandi sejak dari zaman Empayar Rom dan Empayar Byzantine yang menguasai kota ini suatu ketika dahulu. Maka tidak hairan saya lihat ramai pengunjung Eropah yang ambil peluang untuk mandi manda di sini dengan hanya berpakaian bikini.

20161013_113056

Kami diberitahu oleh Mr Sakir yang kami perlu berjalan kaki tanpa kasut menuruni lereng-lereng kolam air panas bertingkat ini hingga ke bahagian bawah. Nasib baik kami mulakan aktiviti ziarahi bermula dari atas puncak bukit dan bukannya dari bawah mendaki ke atas. Maka ianya tidaklah membebankan sangat. Ini kerana selepas tiba di kawasan bawah, kami akan dibawa makan tengahari pula.

20161013_120554

Seronok juga berjalan kaki menuruni bukit dengan berkaki ayam. Kami harus berhati-hati menuruni bukit kerana bimbang juga tergelincir, almaklum kawasan ini berair. Sepanjang laluan turun kami terpaksa menempuh ramai pengunjung Eropah yang berbikini mandi di kolam ini sambil melumurkan badannya dengan lumpur sulfat barkabonat yang ada di kolam ini.

20161013_120638

Kami mengambil masa sekitar 1 jam juga untuk sampai di bahagian bawah Pamukkale Travertine ini. Sepanjang laluan menuruni lereng-lerang kolam air panas ini kami ambil peluang mengambil gambar untuk diabadikan sebagai kenangan. Ketika sampai Mr Sakir sudah sedia menunggu di bawah untuk membawa kami ke Restoran Tempatan tidak jauh dari kawasan ini untuk makan tengahari.

20161013_122823

Selepas makan tengahari, perjalanan diteruskan menuju ke kota Bursa pula. Sekali lagi kami menempuh perjalanan yang panjang kerana kami tiba di Bursa ketika sudah menjelang masuk waktu Maghrib.

20161013_123702

bersambung….