Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah Pakej Umrah Idaman benar-benar menambat hati ramai orang. Ramai yang memberi maklum balas kepada saya mengenai keazaman mereka menyertai Pakej Umrah Idaman pada masa-masa akan datang. Ada juga yang sedang berusaha untuk memujuk rakan-rakan mereka yang memilih Pakej Umrah Harga Rendah supaya membatalkannya dan mengikuti bersama-sama Pakej Umrah Idaman yang saya anjurkan. Seperti yang diwar-warkan sebelum ini Pakej Umrah Idaman akan menaiki flight Saudi dari KLIA terus ke Madinah dan menginap di hotel bertaraf bintang di Makkah. Hotel depan laman Masjidil Haram. Yang menariknya pakej idaman ini ditawarkan pada harga yang terendah berbanding seumpamanya di pasaran.

Apa jadi dengan Pakej Umrah Super Ekonomi ?

Ramai yang menunjukkan reaksi berbelah bagi apabila saya beritahu hotel di Makkah agak jauh, tetapi pihak Hotel menyediakan kemudahan bas percuma yang beroperasi 24 jam. Yang penting jemaah berjalan kaki tidak jauh hanya sekitar 100 meter sahaja ke Haram. Walaupun bas hotel melalui laluan khas terowong yang tembus di depan Haram (kenderaan awam tidak boleh masuk laluan ini)  ramai yang ragu-ragu untuk menerimanya. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu menaiki bas untuk ke Haram. Katanya jauh sikit tidak mengapa, yang penting jemaah jalan kaki sahaja.

Begitu juga ramai yang tidak suka flight transit walaupun masa transit kurang dari 2 jam. Ramai yang mahu flight terus ke Arab Saudi walaupun mahu pakej yang berharga rendah. Kadang-kala saya merasa dalam persimpangan. Antara nak ikut kehendak jemaah atau ikut kehendak saya sendiri tetapi jemaah tidak mahu. Atau mungkin jemaah tidak faham dan tidak boleh menerima hasrat saya yang sebenarnya. Tetapi dalam perniagaan, yang penting adalah kehendak pelanggan. Bukannya meniaga syok sendiri dengan mengharapkan jemaah akan berpuas hati dengan apa yang kita tawarkan. Walaupun ikut logik apa yang bakal kita tawarkan boleh menggembirakan jemaah, tetapi jika belum dicuba kita belum tahu lagi hasilnya. Maka Pakej Umrah Super Ekonomi terpaksa saya buat penilaian semula.

Bilik di Hotel Qasr Qamar

Seperti pada awal tahun 2012, Pakej Umrah berharga rendah menawarkan Hotel Qasr Qamar yang jaraknya 150 meter ke Masjidil Haram. Kemudahan bilik penginapan yang luas, dewan makan yang luas dan selesa di Tingkat M, jarak yang hampir dengan Haram benar-benar menambat hati saya. Tetapi hotel ini sentiasa menjadi rebutan. Dan yang paling saya bimbang, harga bilik di hotel ini akan meningkat kerana hotel-hotel bertaraf ekonomi semakin berkurangan di kawasan berhampiran Masjidil Haram. Kawasan Misfalah yang begitu popular kepada jemaah Malaysia sudahpun dimusnahkan. Yang tinggal hanya kawasan sebelah Ajyad sahaja.

Dewan Makan di Tingkat M

Saya begitu bimbang sekiranya apa yang kita janjikan tidak dapat dipenuhi. Kegagalan bukan disebabkan oleh kehendak kita tetapi ianya di luar kawalan kita. Seperti yang berlaku di awal tahun baru-baru ini. Hanya sebahagian Kumpulan sahaja yang dapat menginap di hotel ini. Manakala kumpulan lain terpaksa dicari alternatif hotel lain kerana hotel ini penuh pada tarikh kemasukkan. Syukur alhamdulillah jemaah redha dengan ketentuan ini dan memahami permasalahan. Malah mereka tersangat gembira kerana mendapat hotel yang serba canggih walaupun agak jauh sedikit berbanding hotel Qasr Qamar.  Saya rasa pada tahun hadapan masalah yang sama juga bakal berlaku.

Saya seboleh-bolehnya mahu sesuatu yang kita rancang dan janjikan menjadi kenyataan. Apabila janji menginap di Qasr Qamar maka di situlah jemaah bakal menginap. Kegagalan mendapatkannya mesti diganti dengan hotel yang lebih baik lagi, walaupun mungkin jaraknya agak jauh sedikit. Yang penting jemaah berpuas hati dan menyedari keikhlasan kita untuk melakukan yang terbaik.Yang penting saya harus jujur dan berterus terang dengan jemaah. Tiada apa yang perlu disembunyikan.

Yang selalu membuatkan jemaah marah dan terasa hati apabila penganjur menyembunyikan fakta. Hotel yang jaraknya 800 meter dikabarkan hanya 300 meter sahaja kepada jemaah. Jika beritahu fakta yang sebenar dibimbangi tiada jemaah yang akan menyertai mereka. Saya jarang jumpa Iklan Umrah yang memberitahu hotel mereka jaraknya jauh dari masjid. Masing-masing mendakwa hotel dekat dengan masjid, walaupun menyedari hakikat yang sebenarnya. Pada hemat saya, lebih baik saya berterus terang walaupun memperolehi jemaah yang sedikit. Daripada mendapat jemaah yang ramai tetapi semuanya mengutuk saya kerana merasa tertipu dengan fakta yang salah.

Jumpa lagi dan Wassalam.