Nasihat Penting Sebelum Berangkat ke Tanah Suci

Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana sambutan yang menggalakkan atas promosi Umrah bersama DZ Travel. Semoga apa yang bakal saya sampaikan dapat memberikan manfaat kepada bakal Tetamu Allah. Menjadi Tetamu Allah adalah pilihan dari Allah. Allah yang menjemput kita ke sana. Allah yang ilhamkan kepada kita mengenai hasrat untuk bersegera ke tanah suci melakukan ibadah Umrah. Justeru itu, maka kitapun mula mendaftar untuk pergi ke sana dengan agensi Umrah pilihan kita. Maka kita pun membuat pilihan mengikut citarasa dan budget yang kita ada.

Melakukan ibadah Umrah tidaklah sesusah mana. Tidak ada satu doa yang wajib kita hafal. Apa-apa bahasa pun boleh diguna ketika tawaf dan saie. Bagi yang pertama kali ke tanah suci, JANGAN PANIK. Tenang dan banyakkan bertaubat kepada Allah sebelum kita ke sana. Yang paling penting, ikhlaskan niat dan tujuan kita menunaikan Umrah semata-mata kerana Allah, menyahut seruanNya dan kerana menuntut keredhaanNya. Bukan kerana bermegah-megah atau niat seperti melancong di mana-mana negara. Tidak lupa, harta yang kita gunakan untuk ke tanah suci juga mestilah bersih.

NASIHAT SEBELUM BERANGKAT

Samada kita pernah ke tanah suci, lebih-lebih lagi yang pertama kali, mesti mengikuti Kursus Ibadah Umrah yang dianjurkan oleh penganjur. Kita jangan ambil mudah. Melalui kursus Umrah, kita lebih mudah memahami tentang ibadah Umrah dan Hukum Hakam yang berkaitan. Sungguhpun melakukan ibadah Umrah nampak mudah, tetapi kita mesti benar-benar faham syarat-syarat Sah ibadah tersebut. Jangan main ikut-ikutan. Dibimbangi ibadah Umrah yang kita lakukan boleh menjadi rosak dan batal, gara-gara tidak tahu sesuatu hukum dalam ibadah Umrah.

Contoh yang sering terjadi, jemaah Umrah yang masih dalam ihram Umrah ketika tawaf menyentuh Kaabah kerana melihat ramai jemaah lain yang berbuat demikian. Kerana tidak tahu perbuatan itu dilarang bagi jemaah Umrah ketika melakukan tawaf, maka ia pun meneruskan pusingan Tawaf seperti biasa dan seterusnya melakukan Saie dan bertahalul, kembali ke hotel dan menukar kepada pakaian biasa. Sedangkan salah satu Syarat Sah Tawaf ialah tidak boleh menyentuh Kaabah ketika sedang tawaf. Maka ibadah Umrahnya jadi batal kerana tawafnya tidak cukup 7 kali pusingan (ini kerana 1 pusingan tawaf jemaah Umrah yang menyentuh Kaabah dikira batal)  dan saie juga menjadi sia-sia kerana syarat sah saie ialah dilakukan sesudah sempurnanya Tawaf. Maka jemaah berkenaan akan dikenakan Dam kerana melanggang pantang larang dalam Ihram iaitu bergunting sebelum masanya dan menukar ihram dengan memakai pakaian yang berjahit. Tambah parah jika jemaah tersebut sudah menyentuh isterinya, alamat Dam seekor Unta la jawabnya. Harga unta sahaja dianggarkan SAR 3000. Amat malang nasib jemaah yang berkenaan.

Sebelum berangkat ke tanah suci, jangan lupa beritahu dan meminta izin kepada ibubapa kita lebih-lebih lagi jika mereka di bawah pemeliharaan dan tanggungan kita. Minta maaf kepada kedua-duanya dan meninggalkan perbelanjaan yang diperlukan sepanjang peninggalan kita. Kita juga sebolehnya beritahu saudara-mara, jiran-jiran dan rakan-rakan tentang pemergian kita, minta maaf dan menyelesaikan hutang piutang, memberi nafkah yang cukup kepada tanggungan yang ditinggalkan, di samping itu mengucapkan selamat tinggal dan berharap agar mereka mendoakan kita.

Manakala bagi jemaah wanita, hendaklah dipastikan telah mendapat izin dari suami atau wali. Jangan lupa berwasiat kepada kaum keluarga (anak-anak dan isteri) supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan jangan sekali-kali melakukan kemungkaran.

Elakkan membawa wang tunai yang banyak untuk ke tanah suci. Jemaah dinasihatkan buka akaun simpanan di Bank al-Rajhi dan dapatkan kad ATM bank tersebut. Aktifkan kad ATM sebelum berangkat ke tanah suci. Had pengeluaran maksima untuk sehari di tanah suci ialah SAR 5000.

Berhenti di sini dahulu, insyaAllah selepas ini saya akan tulis tajuk Nasihat Penting Semasa Berangkat ke Tanah Suci pula. Harapan saya semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada bakal-bakal jemaah.

Category: Tips Umrah

Tempah produk beauty umaira sekarang