Assalamualaikum wbt.

7eed86a227d2be71a475043e4df8ea47_crop

Lama betul tak menulis blog sehingga nak memulakan penulisan rasa kekok dan kaku. Sepanjang musim 2015 ada beberapa catatan pengalaman yang belum lagi dikongsi bersama dengan pembaca. Antaranya ialah pengalaman saya membawa rombongan ke Hatyai dengan Keretapi Tanah Melayu, pengalaman mengikuti Rombongan Menjelajah 6 negara di Eropah dan pengalaman mengendalikan Umrah bulan Disember 2015.

Saya sendiri tak tahu nak mula cerita yang mana dulu..kesibukan menguruskan pakej Umran dan non Umrah Ajwa Travel menyebabkan saya hilang fokus untuk menulis blog. Malah banyak juga soalan di ruangan komen yang lambat saya jawab. Maaf banyak2 kepada yang bertanya..ada soalan yang mampu saya jawab dan ada juga soalan yang saya tangguh untuk jawab kerana ingin mendapat nasihat dari Pakar Rujuk..al-maklum saya ni bukannya seorang yang arif atau pakar mengenai Hukum Hakam yang berkaitan Umrah. Bimbang jawapan yang diberi tidak betul nanti..

Apapun ianya memberi ilham pada saya untuk kupas tajuk entry kali ini. Saya cuba memberi pencerahan dalam kes ragu-ragu ini, dan jika saya tersilap dalam memberi pandangan atau ilmu, maka pembaca yang arif boleh membuat teguran atau komen mereka demi kebaikan bersama.

Masalah ragu-ragu dalam ibadah ?

Sebagai hamba Allah yang lemah kita tidak terlepas dari merasa ragu-ragu atau was-was dalam ibadah. Semasa di Tanah Suci adakalanya perasaan was-was ini boleh mengganggu ibadah kita di sana. Tambah teruk apabila masalah was-was dalam mengerjakan ibadah Umrah ini terbawa-bawa hingga kembali ke Tanah Air. Malah merasa seperti menanggung dosa atas kesilapan yang ia sendiri tidak pasti, masalah seperti merasa ibadah Umrah yang dilakukan tidak sah..dan jika tidak sah, bagaimana pula cara untuk menebusnya. Lagi tragis, apabila ada yang takut melangsungkan perkahwinan, bimbang takut berdosa nanti apabila sudah berkahwin kerana merasakan dirinya seperti masih menanggung Ihram yang tidak selesai.

Bagi menghuraikan kekusutan di atas, ada baiknya saya ulas pada isu yang selalu timbul.

masjid bir ali

Masalah Niat Umrah

Yang selalu terjadi ialah jemaah merasa seperti tidak berniat di Miqat. Ada juga ragu-ragu samada sah atau tidak niat Umrah dalam bahasa Melayu ? Ada pula yang ragu-ragu bila niat Umrah dilafaz dalam bahasa Arab oleh Mutawwif lalu ia diikut secara beramai-ramai oleh jemaah tapi Si Mutawwif tak lafaz pula dalam bahasa Melayu. Memang berat jika jemaah awal-awal lagi sudah merasa ragu-ragu samada niat Umrah bagi dirinya sah atau tidak ?

Sebenarnya niat adalah kerja hati. Begitu juga dengan niat Umrah. Perlakuan kita dari Madinah menaiki bas dengan berpakaian ihram Umrah sudah jelas menampakkan niat kita ke Bir Ali ialah untuk berniat Umrah. Cuma bagi memberi lebih keyakinan pada hati maka kita lafazkan niat Umrah itu dalam bahasa yang kita faham. Supaya kita sedar apabila telah berniat Umrah maka bermula larangan Ihram yang sebelumnya boleh dilakukan.

Tak kisah nak cakap bahasa apapun dalam dunia, lafaz niat Umrah yang diucapkan tetap sah. Jika tak lafaz pun niat Umrah tetap sah. Melafazkan niat Umrah hukumnya sunat tetapi berniat dalam hati untuk menunaikan Umrah ialah Rukun Umrah yang pertama.

Semasa di Malaysia ketika kita baca buku mengenai Umrah maka kita ada baca lafaz niat Umrah. Hal sebegini bukan dikira kita berniat Umrah. Walaupun kita melafazkannya ia tidak dikira sudah berniat Umrah kerana ianya sekadar untuk belajar dan memang tiada niat langsung untuk melakukan Umrah. Sama juga seperti Ustaz yang memberi Kursus Umrah, ia juga ada melafazkan Niat Umrah tetapi dengan tujuan untuk mengajar, bukannya mahu melakukan Umrah.

Masalah Niat Bersyarat

Niat bersyarat berlaku apabila seorang wanita yang sedang didatangi Haid atau merasa bimbang didatangi Haid.

Bagi yang pertama  iaitu wanita yang sedang Haid ia tetap wajib berniat Umrah apabila ingin memasuki Kota Makkah. Ia boleh berniat bersyarat seperti lafaz ” sahaja aku melakukan Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala dan sekiranya Haid ini tidak kering sehingga aku meninggalkan Makkah, maka halallah bagiku ” . Ia boleh berlepas diri dari menanggung Ihram Umrah apabila balik ke Tanah Air dan tidak dikenakan dam.

Sekiranya wanita Haid ini sudah suci bersih dari Hadas semasa di Makkah ia boleh meneruskan ibadah Tawaf dan Saie serta bertahalul bagi menyempurnakan Umrahnya yang tertangguh beberapa hari sebelumnya. Ia tidak perlu ke tempat Miqat bagi memperbaharui niatnya.

Bagi wanita yang bimbang didatangi Haid ia boleh melafazkan niat bersyarat seperti lafaz ” sahaja aku mengerjakan Umrah dan berihram dengannya dan jika berlaku Haid keatasku maka halallah aku “. Sekiranya Haid betul-betul datang sebaik ia sampai Makkah maka ia berlepas diri dari ihram Umrah. Jika ia sudah suci dari Haid dan ingin melakukan Umrah maka ia kena keluar ke Tanah Halal untuk berniat Umrah.

Masalah menanggung Hadas atau najis

Masalah ini kerap berlaku kepada Kaum Hawa dan juga jemaah yang bermasalah kencing tak lawas. Isu yang selalu menjadi masalah bagi kaum wanita ialah masalah cecair keputihan yang keluar dari arah depan. Sehinggakan apabila disedari ianya sudah terlewat kerana sudah selesai Umrah dan bertahalul. Apabila kembali ke hotel didapati ada cecair keputihan pada seluar dalam yang dipakai..Malah ada pula yang didatangi haid ? Jadi soalan yang bermain di fikiran mereka ialah sah atau tidak Umrah mereka ?

Memang rumit nak jawab persoalan ni. Sebab jemaah sendiri tidak pasti bila cecair keputihan atau haid mula keluar. ” Sebelum turun tawaf, di hotel dah check memang tak da tapi bila balik selesai Umrah, pergi toilet check ada pula ” Agaknya dailog macam ni yang selalu diucapkan oleh mereka yang berkenaan.

Tak kan setiap kali lepas Tawaf kena balik hotel untuk periksa samada ada cecair keluar atau tidak ? Haru biru dibuatnya jika kena buat macam tu.

Saya ada bertanyakan seorang Ustazah mengenai persoalan di atas. Sebagai seorang wanita yang arif mengenai hukum-hakam jemaah wanita maka ia bagitahu saya begini :

” bagi wanita yang menghadapi masalah cecair keputihan, maka sebelum turun Tawaf hendaklah diperiksa dan dibersih faraj terlebih dahulu, kemudian tampal pelapik atau “panty liner” di bahagian yang sepatutnya. Pakai seluar dalam dan ambil wuduk. Dah siap maka pergi turun ke Haram untuk lakukan tawaf dan saie hingga selesai Umrah. Jika kembali ke hotel ada berlaku keputihan maka ia dimaaf dan sah umrah yang dilakukan ”

Ustazah ni cakap kat saya ” orang perempuan memang selalu macam tu. Mungkin sebab berjalan banyak masa saie maka cecair keputihan itu keluar. Lagipun jika keluar masa saie pun kira o.k sebab tawaf sahaja yang mesti ada wuduk..saie tak da wuduk pun sah ”

Jika ia keluar masa Tawaf ? Serah pada Allah yang lebih mengetahui. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah Umrah kita. Jemaah mana la sedar cecair ni keluar atau tidak ? Yang penting sebelum memulakan Tawaf jemaah yakin tidak ada cecair keputihan yang keluar.

Bagi kes jemaah yang kencing tak lawas kaedahnya pun sama. Biasanya kencing tak lawas atau diistilah “Salasil Baul” kerap terjadi kepada jemaah lelaki. Jemaah berkenaan harus membersihkan kemaluannya terlebih dahulu, kemudian dibungkus kepala zakarnya dengan kain atau tisu seperti ikat serban dan kemudiannya ambil wudu’. Ia dibolehkan bungkus dengan tuala kecil yang disisip atau diikat dipinggangnya. Ketika sedang Tawaf, andai ada terkeluar juga air kencing ianya dimaaf dan Umrahnya dikira sah. Tetapi jika ia memakai Napkin pakai buang atau “pampes” ia dikenakan dam kerana diistilahkan memakai pakaian yang bersambung.

tawaf1

Masalah Tawaf ?

Jemaah juga sering was-was samada tawaf yang dilakukan sah atau tidak ? Jika tawaf tak sah maka Umrah yang ia lakukan juga tidak sah ? Lagi serabut bila jemaah ini dah kembali ke Malaysia dalam keadaan ia ragu-ragu Tawaf yang ia lakukan sah atau tidak ? Yang lucu ada yang rasa macam terkentut, tiba-tiba nak sedapkan hati kata bukan pula..lepas tu mula bimbang jika betul dah kentut camna pula ?

Ada yang rasa macam tak cukup 7 pusingan. Ada yang rasa tawaf dah batal di pusingan tertentu atas sebab sudah teralih bahu dari kiri Kaabah..ada yang rasa wuduk dah batal sebab tersentuh lelaki dan perempuan, dan macam-macam keraguan yang memungkinkan datang perasaan yang tawaf yang ia lakukan tidak sah.

Pengertian Tawaf

Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali pusingan dan dimulai dari sudut Hajar Aswad. Maksud mengelilingi ialah bergerak ke hadapan samada dengan berjalan kaki atau ditolak dengan Kerusi Roda. Jadi jika ada jemaah yang berhenti seketika lalu ia memegang Kaabah, tawafnya tidak batal kerana takrifan tawaf ialah harus berjalan bergerak ke hadapan. Jika ia berhenti seketika itu bukan tawaf namanya..kerana tawaf harus dengan bergerak.

Tetapi jika ia berjalan sambil meletakkan tangannya di Kaabah atau Hijir Ismail misalnya. maka pusingan tawaf yang berkenaan jadi batal. Ia harus menambah atau menggantikan pusingan tawaf yang berkenaan dengan pusingan tawaf yang baru.

Bagi menyakinkan tawaf yang dilakukan itu sah maka jemaah mesti terlebih dahulu memahami syarat sah tawaf. Antaranya sebelum memulakan tawaf mesti ada wudu’, suci bersih segala-galanya dari segi pakaian dan juga badan. Tawaf mesti bermula di sudut Hajar Aswad, sentiasa menjadikan Kaabah sebelum kiri kita, niat semata-mata Tawaf dan bukan tujuan lain dan mesti cukup 7 pusingan dengan yakin.

Sekarang ini ramai yang berselfie ketika tawaf. Ada yang merakam video perlakuan tawaf mereka. Bimbang ianya boleh terpesong niat dari nak buat tawaf kepada berselfie pula. Saya rasa Tawaf yang dilakukan tetap sah tetapi dari sudut akhlak atau adab saya rasa ianya kurang manis.

Persoalan Tawaf Wada’

Satu lagi isu yang banyak menyebabkan ramai jemaah susah hati samada Tawaf Wada’ yang dilakukan sah atau tidak. Ada yang dah bergambar selepas Tawaf Wada’, ada yang dah beri sedekah kepada petugas Masjidil Haram dalam perjalanan balik selepas selesai Tawaf Wada’, ada yang dah beli minuman dan macam-macam lagi perbuatan yang dilakukan menyebabkan jemaah ragu-ragu samada sah atau tidak Tawaf Wada’ yang ia lakukan.

Malah ada pembaca yang meminta saya keluarkan dalil-dalil mengenai Wajib atau tidak Tawaf Wada’ ini dilakukan. Mana nas atau dalil mengenainya. Saya rasa persoalan Hukum mengenai Nas atau dalil mengenai Tawaf Wada’ sudah banyak dikupas dalam blog Islam yang lain. Pembaca boleh search “google” dan boleh jumpa blog mengenainya.

Tawaf Wada’ atau “perpisahan” sebagai menunjukkan rasa hormat kita kepada Kaabah. Di zaman dahulu, selesai Tawaf Wada’, jemaah terus mendapatkan untanya yang ditambat lalu terus meninggalkan Makkah. Zaman kini berbeza keadaannya. Jemaah terpaksa menunggu Bas Muasasah yang ada kala terlalu lama selepas selesai Tawaf Wada’. Dan kerana menunggu lama inilah maka banyak berlaku persoalan samada perbuatan atau pelakuan jemaah selepas Tawaf Wada’ ini dibenarkan atau tidak ?

Bagi merungkai permasalahan ini hendaklah difahami bahawa jemaah harus tahu bezakan antara hajat, kehendak dan juga keperluan dalam sesuatu pelakuan itu. Jika selepas selesai Tawaf Wada’ jemaah mahu melepaskan Hajat seperti buang air kecil atau besar, memang tidak menjadi masalah. Begitu juga pelakuan kategori keperluan seperti membeli makanan dan minuman kerana lapar dan dahaga, maka ia dibolehkan.

Tetapi perlakuan kategori Kehendak seperti membeli barang, tidur baring-baring di bilik sambil menunggu bas, mengambil gambar kenang-kenangan di kawasan Masjidil Haram selepas selesai Tawaf Wada’, maka ia dianggap kesalahan dan boleh membatalkan Tawaf Wada’ yang telah dilakukan.

Sekiranya sudah batal, maka ia kena ulang semula Tawaf Wada’ yang berkenaan. Dan jika sudah kembali ke Tanah Air, maka ia harus menyempurnakan Dam Sembelihan seekor Kambing bagi menebus Tawaf Wada’ yang telah terbatal. Wajib disempurnakan sembelihan di Malaysia dan boleh juga jika mahu wakilkan di Makkah. Kesalahan ini tidak boleh ditebus dengan berpuasa atau memberi makan atau sedekah kepada fakir miskin.

Masalah batal atau tidak Tawaf Wada’?

Tip untuk mengetahui samada Tawaf Wada’ kita batal atau tidak  ialah dengan mengimbas kembali pelakuan kita selepas selesai Tawaf Wada’ .

Mengambil gambar sambil berjalan pulang atau ber’selfie” sambil berjalan pulang ke Hotel tidak membatalkan Tawaf Wada’ kita. Begitu juga semasa berjalan pulang ke hotel di hadapannya ada fakir miskin yang ia ingin bersedekah, ia boleh lakukannya di sepanjang jalan pulang dari Haram ke Hotel. Tidak jadi masalah !

Kecuali sekiranya selepas selesai Tawaf Wada’ sambil berjalan pulang ke hotel, jemaah berkenaan berhenti seketika sambil mencari-cari sudut-sudut  yang menarik lalu diambil gambar, maka Tawaf Wada’ boleh jadi batal.

Begitu juga jika sambil keluar Masjid selepas selesai Tawaf Wada’, jemaah berjalan keluar lalu mencari-cari orang yang mahu diberi sedekah atau memanggil-manggil fakir miskin sehingga menyebabkan laluan balik sudah berbeza dari laluan asal, maka baru dikira Tawaf Wada’ jadi tidak sah.

Sementara menunggu bas ?

Banyak pelakuan yang berlaku dalam tempoh antara selesai Tawaf Wada’ hingga menaiki bas meninggalkan Makkah. Ramai di antara kita yang masih tidak tahu atau keliru perlakuan manakah yang boleh membatalkan Tawaf Wada’. Ketika ini harus diingat, jemaah sudah bersedia meninggalkan bumi Makkah, hanya menunggu bas yang belum sampai.

Jika semasa tempoh menunggu kedengaran Azan menunjukkan telah masuk waktu Solat, jemaah hendaklah kekal dalam Hotel dan boleh bersolat di Hotel. Jika ia turun menuju ke Masjidil Haram untuk solat berjemaah, maka Tawaf Wada’ dikira batal dan ia wajib mengulang semula Tawaf Wada’nya.

Semasa tempoh menunggu bas, tidak jadi satu kesalahan yang membatalkan Tawaf Wada’ andai jemaah mengambil gambar di kawasan Hotel.  Tetapi tidur atau baring-baring di dalam bilik sudah tidak dibenarkan. Jika jemaah lakukan juga maka Tawaf Wada’ boleh dikira batal.

Bolehkah Tawaf Wada’ dilakukan secara beransur-ansur dan tidak berturut-turut?

Keputusan Muzakarah Perkursus Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 22 pada tahun 2015 di Alor Setar Kedah membolehkan Tawaf Wada’ dilakukan secara beransur-ansur dan tidak berturut-turut.

Sekiranya jemaah bimbang tidak dapat menyempurnakan Tawaf Wada’ kerana kesuntukan waktu, sebagai contoh, bas dijangka bergerak meninggalkan Makkah selepas waktu Solat Subuh atau Zohor misalnya. Jika jemaah melakukan Tawaf Wada’ selepas selesai Solat Fardhu didirikan, dibimbangi kesuntukan waktu untuk menyelesaikannya.

Jika dilakukan awal sebelum masuk waktu, jemaah berkenaan tidak boleh menunggu lama duduk di dalam Masjidil Haram.  Jika ia tunggu dan duduk lama maka Tawaf Wada’nya dikira batal dan ia wajib mengulangi semula.

Maka satu kaedah yang dibenarkan ialah dengan melakukan 6 pusingan Tawaf kemudian berhenti seketika. Selepas selesai solat fadhu berjemaah dikerjakan, maka jemaah ini terus menyempurnkan 1 pusingan Tawaf lagi bagi mencukupkan 7 pusingan.

Begitu juga jemaah boleh melakukan 6 pusingan Tawaf Wada’ kemudian ia balik semula ke hotel melakukan aktiviti seperti biasa, sehingga mengambil tempoh yang lama, kemudian ia sempurnakan 1 pusingan lagi, maka kaedah ini juga dikira sah. Ada waktu bas bergerak pada jam 3 pagi misalnya, jemaah tua dan ada masalah dari segi kudrat seperti cepat letih mungkin merasa tidak berdaya menyelesaikan 7 pusingan serentak pada waktu tengah malam. Maka ia boleh buat 6 pusingan pada waktu siang dan kemudiannya sempurnakan 1 pusingan lagi pada jam 1 atau 2 pagi megikut keadaan dirinya.

Mengapa boleh ?

KIta lihat takrifan yang dikira Tawaf iaitu mesti cukup 7 pusingan. Apabila jemaah sudah melakukan 6 pusingan ketika itu ia belum lagi dikira Tawaf Wada’nya sebagai sempurna. Sehinggalah jemaah berkenaan membuat 1 pusingan Tawaf lagi maka baru ia dikira sudah menyempurnakan Tawaf Wada’nya.

Kursus Mutawif ?

Bagi pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih detail hal-hal yang berkaitan dengan Hukum hakam dalam ibadah Umrah boleh menyertai Kursus Mutawwif di Akademi Mutawwif Seksyen 13, Shah Alam. Kursus dikendalikan oleh Ustaz Haji Samsudin Sidek iaitu seorang Pakar Rujuk Haji dan Umrah. Maklumat lanjut mengenainya boleh hubungi beliau di no.hp 016-2204349. Sebenarnya banyak permasalahan Umrah yang saya rujuk kepada beliau bagi mendapatkan jawapannya. Jadi saya tolong war-warkan kepada yang berminat.

Semoga apa yang saya huraikan boleh memberikan lebih pencerahan kepada pembaca dan mereka yang berkenaan. Jumpa lagi dan Wassalam.