Assalamualaikum wbt.

Orang yang datang ke tanah suci samada mengerjakan Haji atau Umrah dianggap sebagai Tetamu Allah. Tetamu yang datang menyahut panggilanNya.   Kita jika dijemput sebagai Tetamu orang-orang besar dan kenamaan pun sudah seronok dan bangga. Inikan pula menjadi Tetamu Allah. Bayangkan dalam ramainya hamba Allah di muka bumi ini, Allah pilih kita sebagai TetamuNya. Sewajarnya kita bersyukur atas nikmat dan rahmat yang besar ini. Alangkah beruntung dan bertuahnya badan. Sesungguhnya penantian selama ini menjadi kenyataan.

Sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita menjaga segala adab sopan dan tingkah laku kita di tanah suci. Jika kita bertandang ke rumah orang pun kita kena jaga adab sopan, inikan pula menjadi Tetamu Allah. Tetapi mampukah kita menjaga perilaku kita di tanah suci ? Andai kehidupan kita sebelum ini bergelumang dengan dosa dan maksiat ? Solat selalu cuai atas alasan kesibukan urusan dunia. Malah jahil pula mengenai ilmu agama. Baca al-Quran pun tak tahu walaupun usia semakin senja. Apa yang harus kita lakukan di tanah suci, sekiranya hidup kita selama ini lalai dari perintah Allah ?

Kerana itu, ramai yang takut untuk ke tanah suci. Takut tak nampak Kaabah. Bimbang berlaku sesuatu yang mengaibkan diri semasa di sana. Tambah lagi cerita-cerita yang didengar dan dibaca. Bila diajak ke tanah suci, macam-macam alasan diberi. Yang peliknya isteri diizinkan pergi, malah diberi tambang dan belanja lagi.

Sebenarnya untuk ke tanah suci jangan bayangkan perkara-perkara negatif. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, lagi Maha Pengampun. Diriwayatkan, orang yang pernah membunuh 100 orang pun, Allah mengampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga. Kenapa kita harus putus asa dengan rahmat Allah? Sedangkan Allah beri kita banyak nikmat di dunia ini. Nikmat kekayaan harta yang melimpah ruah, usia yang panjang, tubuh badan yang sihat, masa lapang yang banyak kesemuanya sepatutnya digunakan untuk berbakti kepada Allah. Sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada Allah.

Maka sebelum ke tanah suci, insaf dan bertaubatlah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Berazam untuk tidak lagi melakukan maksiat. Malah benci akan maksiat yang pernah dilakukan. Setengah orang kata mahu bertaubat tetapi suka menceritakan kehebatan masa lampau kepada orang lain.  Seperti menyatakan ” aku masa muda dulu jahat, samseng, kaki perempuan, minum arak lagi, sebut aje nama aku semua orang kenal, tapi sekarang aku dah bertaubat tak mahu buat perkara-perkara tu lagi “. Hakikatnya dia bercerita seolah-olah bangga dengan kisah silamnya. Sepatutnya orang yang mahu bertaubat, merasa malu atas perbuatannya, bukannya bangga. Mesti ada kerisauan dalam diri alangkah malang nasib diri seandainya Allah tak terima taubatnya. Maka dengan itu ia akan beribadat dengan bersungguh-sungguh dan memohon ampun dengan sepenuh jiwa dan raga kepada Allah. Seolah-olah esuk ia akan mati.

Serentak dengan itu ia harus berazam untuk mendalami ilmu agama. Nabi s.a.w bersabda, ” sesiapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, ia akan diberi keluasan faham dalam agama “. Orang yang bertaubat, harus memperbanyakkan amalnya. Tetapi beramal tanpa ilmu adalah sia-sia. Contoh mudah, orang yang tidak tahu bacaan solat, pasti amalannya tertolak. Begitu juga dalam kerja Haji dan Umrah. Amalan akan tertolak jika tiada ilmu mengenainya. Hanya ikut-ikutan. Orang pegang Kelambu Kaabah, dia pun mahu pegang Kelambu Kaabah, sedangkan dia melakukan tawaf dalam ihram Haji atau Umrah, misalnya.

Kerana itu menuntut ilmu itu jadi wajib ke atas semua orang Mukmin, tambah lagi kepada orang yang mahu bertaubat kepada Allah. Hanya dengan ilmu dapat memimpin kita ke jalan yang benar. Nabi s.a.w bersabda, ” barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga. Dan sesungguhnya Malaikat membentangkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana merasa puas dengan apa yang dilakukannya, dan bahawasanya penghuni langit dan bumi hatta ikan-ikan di lautan meminta ampun kepada orang yang berilmu dan berbuat kebaikan.” (Riwayat Tarmizi)

Selamat Beramal.