Assalamualaikum wbt.

Sementara belum ada idea nak tulis mengenai hal-hal Umrah maka ada baiknya di pagi Jumaat ini saya tukar angin. Nak cerita mengenai Muhasabah Diri semoga kita tidak lalai walau sedetik dari mengingatiNya. Sengaja saya pilih tajuk ni iaitu “Mengharap Pertolongan Allah”.dan saya berdoa semoga ianya dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

Sebagai hamba Allah yang imannya lemah, kita sering mengeluh apabila dtimpa sesuatu masalah atau musibah. Ketika kita dalam kesusahan, kepada siapakah tempat kita meminta pertolngan ? Siapakah yang dapat dijadikan sandaran apabila kita dalam kesedihan ? Kepada siapakah tempat kita bergantung dan meminta ? Pastinya kita akan jawab “Allah”.

doaSebenarnya kita punya banyak peluang untuk berdoa kepada Allah. Kita juga sentiasa ada hak untuk meminta kepadaNya samada ketika kita sedang susah ataupun senang. Kita juga boleh memohon pertolongan Allah agar segala kesusahan yang kita alami diganti dengan kesenangan. Pasti doa kita akan dimakbulkan oleh Allah ! Syaratnya kita mesti beriman dengan Allah dan menjalankan segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Allah bertambah suka apabila ada hambaNya yang selalu ingat kepadaNya dalam apa saja keadaan samada susah ataupun senang. Allah akan memberikan yang terbaik untuk kita kerana rahmat dan kasih sayang Allah amat luas. Walaupun kita banyak melakukan kesilapan lantas kita bertaubat, dan kemudiannya mengulangi kesilapan yang sama tetapi Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas.

Muslim Menangis

Pertolongan Allah akan datang apabila kita selalu ingat kepadaNya saat susah dan senang. Tetapi hakikatnya ramai yang hanya ingat Allah ketika susah. Ketika senang, Allah dilupakan. Itupun Allah masih beri peluang untuk kita bertaubat dan mendekatkan diri kepadaNya. Maka diuji kita dengan sedikit kepayahan. Kerana dengan kepayahan dan kesulitan, kita akan ingat semula dengan siapa patut kita mengadu dan meminta.

Tetapi apabila kita sudah berada di atas, sudah punya banyak harta, sudah punyai rezeki yang melimpah ruah sehingga kita lalai semula dari mengingati Allah. Ingatlah ketika susah, itu ialah ujian dari Allah. Dan ketika senang pun itu adalah ujian dari Allah. Samada kita terus bersyukur atau semakin kufur. Nauzubillah..

Manusia yang didatangkan kesenangan kepadanya sering menjadi sombong dan takbur. Seolah-olah segala kekayaan dan kemewahan yang dimiliki datangnya dari usahanya sendiri dan tanpa pertolongan sesiapa. Sedangkan segala-galanya datang dari Allah. Disebut kisah dalam al-Quran bagaimana manusia sombong seperti Firaun dan Namrud dimusnahkan oleh Allah kerana kesombongannya.

Sebenarnya mendapatkan Pertolongan Allah itu mudah. Akal logik kita selalu percaya setiap sesuatu itu terjadi pasti ada sebab dan akibat. Apabila kita inginkan sesuatu, pasti kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Tidak ada sesuatu yang kita perolehi dengan cara tidak melakukan apa-apa kecuali memang Allah takdirkan begitu.

Untuk selalu mendapat pertolongan Allah ialah dengan selalu taat dan ingat selalu kepadaNya. Jika kita sebagai pekerja yang bekerja dengan rajin dan taat kepada setiap arahan majikan, pasti akan disenangi oleh majikan. Dan majikan yang baik pastinya akan memberikan imbuhan yang setimpal dengan usaha kerja kita.

Inikan pula Allah yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah dan Maha Penyayang. amat mudah bagi Allah untuk memberi kepada siapa yang Ia kehendaki. Tidak ada yang susah bagi Allah. Allah akan memberi apa yang kita minta tanpa berkurang sedikitpun kekuasaanNya. Janji kita sentiasa patuh dan taat kepadaNya.

Hadis Riwayat Tirmizi mengisahkan bahawa ” dari Ibnu Abbas berkata “pada suatu hari, saya pernah berada di belakang Nabi, Nabi Muhammad saw bersabda”: Saya hendak mengajar engkau beberapa Kalimat : Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah nescaya engkau akan mendapatkanNya di hadapanmu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Jika engkau minta tolong, mintalah tolong kepada Allah.

Ketahuilah bahawa walaupun seluruh manusia bersatu untuk memberikan manfaat kepadamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat melakukannya, kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah. Dan walaupun seluruh manusia bersatu untuk memudaratkan kamu dengan sesuatu nescaya tiadalah dapat mereka memudaratkan kamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah kepadamu.

Peliharalah selalu ingatan engkau pada Allah, nescaya engkau mendapatiNya di hadapanmu. Hendaklah engkau mengenal Allah di waktu lapang, Allah akan mengenal engkau di waktu susah.

Ketahuilah bahawa apa yang luput darimu tidak akan mengenai engkau dan apa yang harus mengenai engkau tidak akan menyimpang darimu. Dan ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu selalu bersama kesabaran dan sesungguhnya bagi setiap kesenangan itu ada beserta kesusahan dan setiap kesulitan itu ada bersamanya kemudahan.”

Wassalam dan Jumpa Lagi. Salam Jumaat.